Friday, February 27, 2009

Siapa Kita Untuk Menilai Orang Lain

Erm.. kenapa perlu celik akal?. Allah SWT menciptakan manusia dan binatang dengan otak namun, yang membezakan antara manusia dengan binatang adalah akal. Sebab tulah Vie pilih celik akal sebagai 'pencuci mulut' buat santapan minda kita. Bagi Vie, semua manusia itu mempunyai akal namun hanya sebilangan sahaja daripada kita yang benar-benar menggunakannya. Tahukah kamu bahawa otak kita merupakan bahagian tubuh yang sangat penting dan sebagai pusat pengatur dari semua kegiatan manusia. Otak terletak di dalam rongga tengkorak kepala, beratnya lebih kurang 1/50 dari berat badan 'Popper K.R. and J.C. Eccles 1977'. Tapi, bagaimana pula kita hendak mengukur akal? Itulah salah satu kuasa Allah Azza Wajallah Maha Besar.

Sejenak diri ini memikirkan tentang manusia yang bijak menggunakan akal untuk merosakkan hidup orang dengan menabur fitnah, mencaci, menghina, dan sebagainya demi untuk memuaskan nafsu dan kepentingan diri sendiri. Meningkatkan diri sendiri dengan hasil daripada kejatuhan orang lain untuk mendapatkan perhatian masyarakat dan mengecapi kesenangan dengan mengambil kesempatan kotor atas nama penipuan dan penindasan. Menutupi kelemahan dan dosa sendiri sedangkan bersenang-senang bercerita tentang hal orang lain dan menuding satu jari menandakan 'kau yang melakukan segalanya' sedangkan empat jari memantul balik ke arah diri sendiri, bijak kan? Mungkin ini yang mereka belajar di dalam hidup mereka dan mereka membawa bukti bahawa inilah NILAI diri mereka dan keadaan ini juga membuktikan bahawa mereka sebagai Lawyer Buruk... Tahu kenapa? Sebab secara tidak langsung mereka sudah melakukan sikap negatif, yang suka menghukum dan menghakimi orang lain.

Jika kita insan yang waras, kita akan sedar bahawa tugas yang seberhaknya menghukum adalah urusan Allah SWT kerana Dia yang menciptakan kita dan padaNya lah tempat kita kembali kelak. Bukankah Dia yang Maha Mengetahui atas segala perkara? Siapa dan apa hak kita untuk menghakimi kehidupan orang lain? Sesuci manakah diri kita sehingga menghina orang lain dan mulia sangatkah kita apabila bergelar penghina? Jika kita tidak dapat mencerminkan 'siapa' diri kita yang sebenarnya, sekurang-kurangnya renungilah sejarah silam tentang apa yang pernah kita lakukan dulu. Maka dengan itu mereka akan sedar bahawa 'ludah' mereka yang sememangnya berbau yang selama ini hanya asyik 'meludah' ke arah orang lain. Buktinya sudah ada 'apabila sering mengata dan mencari kelemahan orang lain' dan sesekali tanyalah diri kita sendiri, 'baik sangatkah aku nie?' Kesimpulanya disini, marilah kita fikir mengunakan akal kita sebelum hati kita menjadi hitam akibat jauh daripada mendapat hidayah daripada Allah SWT.

'Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu. Sesungguhnya kebenaran adalah ketenangan dan pembohongan adalah keraguan' (Riwayat al-Tirmizi dan Ahmad)...

Monday, February 23, 2009

Pelajaran Menjamin Ke Syurga?

Teori tanpa praktikal atau praktikal tanpa teori. Pertaruhkan pendidikan sebagai satu kebanggaan tapi tidak meletakkan di tempat yang betul. Seperti teori kosong yang disangkal di dalam kajian dan hanya mendapat kerugian. Namun, sesuatu yang berbeza jika praktikal yang diangkat menjadi teori dan menjadi ikutan orang. Seperti pertaruhkan kemahuan sebagai pembuka jalan untuk mencari pengalaman sehingga berada di mercu kejayaan. Adakah taraf pendidikan yang di ukur sebagai kebijaksanaan seseorang, jika sering mereka hanya melihat kepada kelemahan orang lain? Kemana hilangnya taraf pendidikan yang menjadi ukuran jika ianya langsung tidak menunjukkan kematangan seseorang itu yang kononnya berpendidikan tinggi?.

Kekadang bila ianya di renungkan kembali, seolah-olah mereka yang berpendidikan punya kuasa untuk menghina dan merendahkan martabat orang lain. Adakah ini yang mereka belajar di menara gading sehingga tercapainya impian menggengam segulung ijazah?.Sebagai manusia kita masing2 diberikan kelebihan dari pelbagai aspek yang berlainan dan berbeza di antara satu sama lain. Lagipun tidak kita di bezakan di sisiNya, melainkan amalan kita yang akan di hisab kelak. Pelajaran (yang tidak digunakan ke jalan yang benar) juga tidak menjanjikan kita syurga apatah lagi nanti jika kita kembali kepadaNya, hanya kain putih yang akan membaluti tubuh kita kelak. Ijazah, rupa paras, harta, pangkat, kemewahan dunia akan kita tinggalkan buat selama-lamanya kecuali anak yang soleh, amal jariah kita dan ilmu yang memberi manfaat jugalah yang akan berkekalan sehingga ke akhir zaman. Kesimpulannya di sini, janganlah sesekali kita riak dan mendabik dada dengan apa yang telah di anugerahkan oleh Allah SWT pada kita, kerana semua itu hanyalah pinjaman semata-mata. Ikutlah resmi padi, makin berisi makin menunduk menyembah bumi.

Sunday, February 22, 2009

Kealpaan..

"Terdapat insan yang sering menyelam sambil minum air tapi insan itu lupa, akibat terlalu kenyang minum air, badan akan menjadi lemah, penat dan akhirnya mati akibat lemas."

Dimana kita meletakkan diri kita selepas sering kali melihat kekuatan seseorang itu menjadi kelemahan mereka sendiri? Menyempurnakan impian mereka daripada kelemahan orang lain dan mengambil juga kesempatan ke atas kesulitan orang lain? Tahukah kamu, setiap fitnah yang kamu sebarkan pada sekalian manusia akan kamu tanggung di dunia dan akhirat, sehinggalah orang yang kamu fitnah itu memaafkan kamu kelak. Sedangkan pada hakikat yang sebenar, mereka yang akan merana dari perbuatan mereka itu sendiri (walaupun jasad dipenuhi dengan kemewahan duniawi) dan 'mangsa' mereka yang akan merasai nikmat hidup dengan penuh kebahagiaan (kerana mendapat keredhaan daripada Illahi). Tepuk dada jangan tanya selera, tapi tanyalah minda dan sesungguhnya ikut hati mati, ikut rasa binasa..


Islam memandang tabiat manusia dari perspektif yang cenderung mengambil berat aspek-aspek realistik dan manusiawi. Islam mengingatkan manusia terhadap titik-titik kelemahannya, meskipun dia memiliki pelbagai kemampuan, kepandaian dan pancaindera yang telah dianugerahkan Allah SWT ke atas dirinya. Oleh itu, pemikiran Islam meletakkan manusia pada kedudukan yang realistik. Semoga Allah SWT akan memberi petunjukNya kepada setiap umat di dalam menunaikan amanah yang telah diberikanNya dengan sempurna dan menjadikan kita semua sebagai umat yang selamat di dunia dan akhirat... Amin


"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?" (Surah Fushshilat: Ayat 35)

Sekadar Renungan

Hadith qudsi yang diriwayatkan dari Abu Dzar Radhiyallahu'anhu dari Nabi Shallallahu'alaihi wasallam, sebagaimana yang diriwayatkan dari Allah Subahanahu wa Ta'ala, bahawa
Dia berfirman:


"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diriKu dan menjadikannya haram di antara kamu. Maka janganlah kamu saling berbuat kezaliman. Wahai hamba-hambaKu, kamu semua sesat, kecuali orang-orang yang Aku beri petunjuk. Maka mintalah petunjuk kepadaKu, nescaya Aku akan memberi petunjuk kepadamu. Wahai hamba-hambaKu, kamu semua dalam keadaan telanjang, kecuali orang yang Aku beri pakaian. Maka mintalah pakaian kepadaKu, nescaya Aku akan memberi pakaian kepadamu. Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu berbuat dosa pada malam dan siang hari, tetapi Aku bersedia mengampuni semua dosa-dosamu. Maka pohonlah keampunankepadaKu, nescaya Aku akan mengampunimu. Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnnya kamu tidak akan dapat memudharatkan Ku sehingga kamu dapat memberikan mudharat kepadaKu, dan kamu tidak akan dapat memanfaatkanKu sehingga kamu dapat memberi manfaat kepadaKu. Wahai hamba-hambaKu, seandainya orang yang pertama dan orang yang terakhir di antara kamu, manusia dan jin di antara kamu, semuanya memiliki hati sebagaimana yang dimiliki oleh orang yang paling bertaqwa di antara kamu, maka itu tidak akan menambah sesuatu pun dalam kerajaanKu. Wahai hamba-hambaKu, seandainya orang yang pertamadan orang yang terakhir di antara kamu, manusia dan jin di antara kamu, semuanya memiliki hati yang sebagaimana yang dimiliki oleh orang yang paling derhaka di antara kamu, maka itu tidak akan mengurangi sesuatu pun dalam kerajaanKu. Wahai hamba-hambaKu, seandainya orang yang pertama dan orang yang terakhir diantara kamu, manusia atau jin di antara kamu, semuanya berdiri di satu hamparan, lalu mereka memohon kepadaKu dan Aku memberikan kepada setiap orang apa yang dipohonnya, maka itu tidak akan mengurangi apa yang ada di sisiKu kecuali seperti berkurangnya jarum jika dimasukkan ke dalam lautan. Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya ini adalah amal-amal kamu. Aku telah mencatatnya untuk kamu dan memberi balasan kepadamu mengikut amalan-amalan itu. Barangsiapa memperolehi sesuatu yang baik, maka hendaklah dia memuji Allah. Dan barangsiapa memperolehi selain itu, maka janganlah dia mencela selain dirinya sendiri
."


Masya'Allah, terpegun aku seketika setelah membaca ayat ini. Terdetik di dalam hati ku berkata "Ingin aku berkongsi kepada semua pembaca yang beragama Islam". Semoga dengan demikian, matlamat utama kita mentaati Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah untuk melaksanakan perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Disamping manfaatnya kembali kepada diri muslim itu sendiri, samada kepada kesihatan jasad, kesucian jiwa mahupun keredhaan di bawah naungan ibadah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.