Monday, August 8, 2011

Siapa kah kita INSAN ataupun NAS ?

'Dipetik dari yang berbahagia Dato' Dr Ustaz Haron Din : 'insan' adalah manusia yang mencari kebenaran dan sentiasa untuk memuhasabah dirinya di jalan Allah SWT dan 'Nas' adalah manusia yang jahil yang enggan mengikuti perintah Allah SWT (4.24pm, 8/8/2011, Astro Oasis).

Jika kita sedar Allah SWT melihat apa yang kita lihat dan kita sedar Allah SWT mendengar apa yang kita dengar, maka kita akan tahu betapa dekatnya Allah SWT pada kita sehingga kita takut untuk berbuat kemungkaran.. Wallahua’lam

Alhamdulillah, dapat juga Vie mengupdate blog Vie kali ni maklumlah dah ada dua orang anak ni susah sikit nak curi masa.. Tambahan pula kerja Vie yang meminta Vie kesana-kemari untuk diselesaikan dengan cepat, teratur dan sebaik yang mungkin. Baru-baru ni Vie dan EY balik ke Sabah untuk menjenguk mak dan adik-adik Vie.. Lagipun Zaara dah terlalu rapat dengan Omanya 'mak Vie', tujuan Vie balik ke kota kinabalu adalah untuk merehatkan badan dan minda lagipun kak Ziah ada memberitahu tentang 'Asma Ul’-A’zim' tempat perubatan Islam. Apa yang Vie boleh cakap, tempat tu banyak mengajar kita dari segi persiapan rohani dan jasmani bagaimana untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT dan syukur Alhamdulillah, banyak Vie bermuhasabah dengan diri sendiri tentang setiap perbuatan dan amalan yang pernah Vie lakukan.

Izinkan Vie perkenalkan 'Asma Ul’-A’zim' sedikit, setiap malam Vie, EY dan anak-anak datang ke sana untuk menyucikan diri dari sisa-sisa permainan duniawi seperti sihir, jin dan qharin kita sendiri dengan cara berzikir, berwhirid, bertahmid, berselawat dan bersolat hajat. Ya Allah.. tenangnya Vie rasakan sehingga sehari tidak datang ke rumah Khalifah Sari Safar buat Vie rindu dan sebak. Keluarga khalifah meyambut Vie dan keluarga dengan penuh rasa sayang, hormat dan harmoni..

Namun, disebalik keceriaan Vie itu ada sesuatu yang mencemarkan keadaan iaitu Vie terdengar pelbagai cerita jahat yang dilemparkan keatas kakak Vie, kak Razziah Khan sehingga hampir setiap hari ada saja cerita daripara saudara terdekat dan kawan-kawan mengkhabarkan berita yang tidak sihat. Dulu dan kini cerita pasal Vie tidak pernah habis diconteng dan kini seolah-olah giliran kakak Vie pula untuk dibuat buku baru bagi mereka. Erm, nampaknya selagi kertas terus dikeluarkan selagi itulah cerita akan dicetak…

Vie yakin bahawa sesiapa saja yang terlibat dengan cerita yang tidak sihat itu tahu bahawa Allah SWT memerhati setiap perbuatan mereka tetapi oleh kerana nafsu jahat mereka lebih kuat maka mereka ketepikan soal ini semua.. Ternyata bahawa semakin nipis benteng keimanan kita maka semakin jauhlah dia kepada tuhannya… naudzubillahiminzaiq…

Mari sama-sama kita bertanya terhadap diri kita masing-masing dan renungkanlah bersama…

Lupakah engkau di saat engkau cipta fitnah itu kemudian menyebarkannya kepada orang lain bahawa Allah SWT sentiasa melihat dan mengetahui perbuatan engkau ? Lupakah engaku bahawa segala perbuatan engkau akan diperhitungkan di padang Mahsyar nanti ? Tidak pernahkah engkau mendengar bahawa para pemfitnah akan pulang ke akhirat sebagai seorang Muflis ?

Andai engkau tidak bertaubat dari dosa fitnahmu serta tidak memohon kemaafan dari saudara yang kamu fitnahi itu baik berupa kata-kata, tulisan maupun gambar, maka ingatlah tempat tinggal kamu selepas mati adalah di dalam neraka yang menyakitkan. Syurga nan indah tidak pernah disediakan buat para pemfitnah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: 'Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah'.. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

'Sabar' itulah ungkapan yang selalu dan harus dilakukan bagi kami. Terus terang, tidak sedikit pun kami ada rasa marah atau hendak memberontak kerana kami telah immune dengan semua ni dan apa yg buat Vie rasa terharu bila kak Ziah Dia Cuma mengharapkan agar menghadapi semua ni dengan tenang.nas-nas yang melemparkan cerita itu diampunkan Allah SWT dan katanya sesiapa saja, walau apa pun, dan bagaimana cara pun mereka buat fitnah, umpatan atau membuka aibnya, dia ampunkan dr hujung rambut hingga ke hujung kaki dan dihalalkan dunia serta akhirat yang penting mereka taubat kepada Allah swt. Dia akur bahawa dia juga manusia yang lemah yang sering berbuat kesilapan. Dia memohon maaf kepada sesiapa saja yang pernah disakitinya” tahniah buat kak Ziah, sesekali perkara lihat dapat mendidik Vie untuk lebih positif dan redha dengan keadaan yang menimpa Vie sendiri.

Moga kita sedar, semakin dunia menjelang kiamat, perbuatan menfitnah sesama manusia telah menjadi penyakit sosial yang amat parah dan sukar dirawat. Cubalah kita bertanya pada diri kita sendiri, entah berapa ramai manusia yang disumbat ke liang lahad dalam keadaan dosa fitnahnya belum terampun dan entah berapa ramai pula mangsa fitnah yang telah bersemadi di alam Barzakh sana yang belum terbela haknya serta belum dibersihkan nama serta kehormatannya?

Vie mengambil kesempatan ini juga untuk menyusun sepuluh jari kemaafan diatas kedaifan, kekhilafan dan perbuatan Vie yang mungkin dalam keadaan sedar atau tidak sehingga telah menyakitkan mana-mana pihak baik zahir mahupun batin. Maafkanlah Vie, Vie juga dengan terbuka hati dibulan mulia ini memaafkan sesiapa sahaja yang pernah menyakitkan Vie baik zahir mahupun batin dan vie halalkan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya, hamba yang paling disayangi Allah SWT adalah hamba-Nya yang sedia memaafkan orang lain.

Sedangkan Rasulullah SAW ampunkan umat, inikan kita umat biasa di akhir zaman..

Inilah hasil tangan Vie, pedoman buat kita dari surah An-nas

Tuesday, July 5, 2011

Ruas 'RAJA' Bertemu Buku 'PERMAISURI'...

Bismillahirrohmannirohim...

Dengan izin Allah SWT aku menulis warkah ini dari lubuk hatiku yang terdalam. Mengeluh panjang yang tak sudah aku kali ini apabila sekali lagi aku terkena permainan kotor dunia dari insan yang aku mula percaya luhur dan telus terhadap ku. Mungkin kelemahanku untuk mempercayai seseorang insan tanpa meninggalkan syak atau kebarangkalian yang negatif apabila lahirnya hati yang ikhlas menjadikan mereka ini sebagai 'sabahat'..

Telah lama aku sedar bahawa dunia ini penuh dengan permainan dan dari kebijaksanaan kita untuk melihat, mendengar dan melangkah yang mana lebih baik atau terbaik kita lakukan dari setiap utaian perbuatan yang ingin kita lakukan. Ya Allah, padaMu jua aku berserah, padaMu jua aku berharap dan padaMu jua aku bermohon agar segalanya balik kepada jalan yang benar dan jatuh dikedudukan yang betul.

Sesekali terlintas di benakku seperti diatur dalam satu permaian catur yang tidak bebas bergerak untuk merebut tempat bagi mendapatkan hak yang sepatutnya dalam genggamanku sedangkan semua strategi telah aku rencanakan dengan baik seadilnya dalam undang-undang disetiap permainan. Namun, kerana keikhlasan dan keluhuran untuk mempercayai setiap permainan itu tertakluk kepada undang-undang, aku terlepas melihat di mana silapnya sehingga sebahagian askar-askar ku telah hilang. Tapi tak pengapa, kerana setiap pergerakan dan langkah itu mempunyai kesan-kesan dan bukti-bukti yang boleh dijadikan bekalan untuk membuat siraja mati di tengah perjalanannya.

Mungkin aku terlepas perhatian tapi aku tak akan terlepas dari kerugian. Aku ingin raja itu tau bahawa permaianan ini adalah catur kehidupan yang mana biasanya si raja akan mati apabila bertempur dengan permaisuri. Ketahuilah wahai raja, bahawa langkahmu amat singkat jika dibandingkan dengan kebesaran watak permaisuri. Ingatlah ! langkah seribu bunga yang dikau cuba kemaskan bakal dikusutkan dengan permainkan kotormu sendiri. Mungkin sebelum ini, kau tidak pernah melihat kerajaan permaisuri yang agung memerintah taktah sehingga kau mula naik kepala dan lupa pada asal usulmu lalu kau cuba untuk menyelewengkan dunia sekali lagi.

Aku terlupa sepekara bahawa insan itu sanggup dan pernah menjatuhkan nama dan maruah keluarganya sendiri yang aku percaya dia lakukan demi untuk menjamin keutamaan kepentingan dirinya. Bahkan, mengapa aku tidak pernah membuka mataku untuk melihat semua itu sehingga aku pula yang menjadi mangsa tuduhan omong kosong, delusi, dan menjadi papan lontaran anak panah yang tidak berarah itu. Mengapa aku mesti menutup telingaku dan cuba untuk mengaku yang selama ini aku telah diberi amaran dari setiap genap lidah yang mengungkapkannya padahal mereka juga pernah menjadi mangsa pukulan belakang mata parang dari insan lahap itu. Ya Allah, betapa daifnya aku. Benarlah kata-kata dari pendita agama bahawa 'disaat semua pancaindera telah tertutup cuma satu rongga yang masih terbuka iaitu hidayah daripada Allah SWT'.

Namun tidak ada yang pernah menjadi 'lewat' jika kita berani mengatur langkah untuk menghapuskan segala kekusutan jala permaianan ini, kekotoran najis dipermukaan air, dan himpunan sampah ditengah kota raya ini. Aku percaya pada Tuhanku, aku berserah kepadaNya untuk memberikan aku peluang dan ruang agar aku boleh membuktikan bahawa semua ini adalah dusta, nista, aniaya dan tipu daya. Aku percaya pada setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya, setiap persoalan ini pasti ada jawapannya dan setiap kesakitan ini pasti ada penawarnya. Aku berserah sebagai insan yang teraniaya kerana Allah SWTtelah berjanji seperti sabda Rasulullah bahawa 'Allah swt mengangkat doa orang-orang yang teraniaya' Aku redhakan apa saja yang berlaku ke atasku kerana aku percaya tiada yang lebih besar dan agung dari pembalasan Allah SWT

Kita tunggu dan lihat, aku tidak akan menyerah kalah kerana aku telah diundang bertempur disatu peperangan yang aku tidak tau mulanya daripada mana. Aku tersedar apabila dengan beraninya dia menikamku daripada belakang dan cuba untuk merampas apa yang sepatutnya menjadi milikku. Biasalah, hanya itu saja tindakan yang mampu dilakukan oleh insan pengecut sepertinya kerana dia tidak dapat memiliki keistimewaan setimpal dengan harga dirinya. Sedangkan setahu aku, aku telah memberinya peluang untuk bernafas, merasa tenteram, damai bahkan boleh menjadikan mimpinya kenyataan dan membangkitkan dia dari mimpi ngerinya sendiri.

Kesian melihatnya... menyatakan, merasakan dan membutakan orang dengan 'Keistimewaan' serta 'kesenangan' palsu yang dimilikinya kini. Aku mau lihat, sejauh mana dia boleh berlari kegarisan penamat sedangkan nafasnya tidak panjang untuk bertahan lagi, sepintar mana dia memainkan watak dari arahan lakonannya sendiri dan sedalam mana dia boleh menanam benih muslihatnya. Aku persilakan diatas semuanya sekalipun nyawaku telah menjadi ugutannya.

Akhir kataku, tidak ada sesuatu yang jahat itu kekal pada tempatnya kerana agama telah mengiktirafkan agar kita tau meletakkan sesuatu pada tempat, landasan, dan keadaan yang betul jika kita hidup bukan sebagai insan yang DAYUS ! Wallahua’lam...

Wednesday, May 4, 2011

Zareef Yusof '23.04.2011'


Suatu Potret,
Menceritakan tentang kebahagiaan sebuah keluarga...
Ayahanda, Ibunda dan seorang Puteri manis...
Dan ketika itu juga ada suatu ruangan kosong untuk melengkapkan seukir senyuman...

Suatu Hari,
Terdetak denyutan nadi dan teriakkan suara agung..
Yang Arif mengistiharkan satu kedaulatan seorang Putera...
Menjadi penyambung bagi suatu perjalanan panjang riwayat sebuah kehidupan...

Kehadirannya,
Memancarkan cahaya dimalam hari lalu melupuskan tanda tanya pada sesatan bintang yang tiada pentafsirnya...
Tidak pernah dalam sejarah manusia umat ke-3 melihat para penyampai agama..
Namun dia telah menjadi sebahagian daripadanya..

Wajah yang mendamaikan jiwa, menjadi doa pada semua yang memandangnya...
Senyuman yang membawa dunia erti bahagia, menghapus derita dan sengsara dalam kekusutan hati dan rasa..

Pesanku buat dia,
Jagalah zahir dan batinmu..
Angkatlah darjatmu setiap kali kau jatuh dalam ujian Allah SWT..
Bersyukurlah pada setiap kesakitan dan keperitan hidupmu kerna itu buktinya cinta Allah SWT padamu..

Harapan dan Doa ku iringkan,
Dia bakal menjadi pemimpin bagi setiap ahli dalam keluarga, agama, bangsa dan negaranya...

Dakaplah keluargamu sedamai aku melahirkan kamu wahai cinta hatiku..

Dia adalah puteraku
'Zareef Yusof'

Wednesday, February 23, 2011

Astagfirullah A'lazim.. !

Aduhai…… Izinkan Vie menghela nafas panjang dulu sebelum melakar lebih jauh tentang apa yang hati ingin bicara pada lembaran ini. Teringat satu kata-kata yang selalu bermain difikiran Vie 'Perwatakan kita mencerminkan keperibadian kita' Bijak atau Bodoh, Cantik atau Hodoh, dan apa-apa sahaja yang ditampilkan oleh perlakuan atau perbuatan kita mencerminkan apa yang terkandung disanubari (hati) dan akal kita. Bagi Vie, Darjat seseorang bukan diukur dari ‘nama’, ‘pangkat’, ‘rupa’, ‘harta’, mahupun ‘kedudukan’ tetapi diukur dari cara bagaimana kita BERFIKIR dan BERTINDAK SECARA MATANG DALAM MENANGGANI EMOSI KITA. Bukankah Kerendahan seorang insan itu terletak pada hatinya (nafsu) dan sejauhmana dia menggunakan akal untuk mentafsir dan mempersembahkan DARJAT dan MARUAHnya dalam bentuk PERBUATAN.

Dari Abu Mas'ud, Uqbah bin Amru Al-Anshari Al-Badri r.a, katanya :

"Telah bersabda Rasulullah SAW : ' Di antara sabda para Nabi yang terdahulu yang masih dipakai untuk orang ramai (sehingga kini) ialah : “ Jika engkau tiada malu, buatlah sesuka hati kamu !! "

Suka Vie dengan petikan kata-kata Hadith di atas, kadang-kadang tanpa kita sedar… ketika kita sibuk mengejar apa yang dituntut oleh hati demi kepuasan diri sehingga lupa bahawa akibat kebodohan kita dari perbuatan kita itu telah menjatuhkan Darjat dan maruah kita sendiri. Jika ia hanya melibatkan diri sendiri tanpa menarik insan lain dalam perlakuan bodoh sombong kita itu, itu antara dosa kita dengan diri dan Allah SWT tetapi jika tujuan kita mengikut gerak hati lalu mencalit tahi pada insan lain sehingga kita boleh menjatuhkan air muka insan tersebut, maka dimanakah tempat kita selepas itu ? Adakah kita akan menerima ‘anugerah’ dari segelintir masyarat atau selepas itu kita akan jatuh tersungkur kerana kedaifan dan kejahilan kita sendiri?? Mungkin, ada diantara mereka-mereka yang bersetuju dengan tindakan yang kita lakukan dan tidak kah kita terfikir bahawa insan-insan yang menyokong perbuatan sumbang kita itu adalah SEUMPAMA DENGAN KITA??? Lebih-lebih lagi perbuatan jahil kita itu boleh memutuskan silaturrahim antara satu insan kepada insan yang lain.

Dari Abdullah bin Abi Aufa RA, ia berkata, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :

“Rahmat tidak turun kepada kaum yang pada mereka ada yang memutuskan silaturrahim”. Dan satu Hadith yang lain Rasulullah ada menyebut : “Tidak masuk syurga sesiapa yang memutus silaturrahim ” ( al-Bukhari).

Vie bukan belagak alim atau warak untuk memperkatakan soal agama, apatah lagi Vie ini bukan bertitle HAJJAH untuk memberi ceramah dalam blog ini. Vie Cuma ingin berkongsi sedikit sebanyak maklumat tentang apa yang telah menjadi garis panduan dalam agama Vie tentang perbuatan kita di muka bumi Allah SWT.

Ibu pernah berkata pada Vie, begini bunyinya 'Syukur Alhamdulillah Allah swt mengurniakan mak anak yang cantik dan sempurna fizikal dari cacat-celah tapi mak harap anak-anak mak akan jadi lebih cantik dengan menjaga hati nurani kerana seseorang insan yang cantik itu terletak pada hati nya' Dalam agama kita juga mengajar kita bahawa segala perbuatan kita terletak pada NAWAITU. Jika niat kita baik, awal lagi malaikat dengan senang hati mencatat amalan kita dan jika niat kita kotor malaikat tetap menunggu sehingga kita tergamak untuk menurut kehendak hati yang kotor itu, waAllahua’lam.

Vie tidak mahu masyarakat cuba menghukum atau menghakimi penulisan Vie sama ada cuba untuk menunjukkan yang baik-baik belaka tapi jika anda semua boleh lihat, Vie banyak diajukan tomahan-tomahan yang tidak berasas, fitnah dan umpatan. Betapa peritnya kaki melangkah pada setiap hari Vie diperlakukan seperti itu dan pada saat ini pula kehidupan Vie seperti dijadikan bahan mainan. Vie tidak tahu dan tidak faham apa sebenarnya tujuan mahluk itu perlakukan Vie begini. Sedangkan tidak secuit pun rasa dihati untuk mengganggu kehidupan mahluk itu apatah lagi menjadikan dia sebagai batu asas disetiap siku-siku perjalanan hidup Vie. Cuma satu yang pasti di sini, mahluk itu seperti terlalu taksub untuk mengejar kepuasan hatinya sedangkan dia sendiri tahu apa dan siapa sebenar dia pada kedudukan kehidupannya. Jika dulu pernah menjadi perampas pada kehidupan orang lain, namun Vie percaya dia telah BERTAUBAT pada Allah SWT tambah-tambah lagi dia sudah bergelar HAJJAH iaitu satu pangkat suci dimata agama Allah SWT.

Ibu memberi Vie ketahanan hati dengan berkata, 'walau siapa pun dan apa pun yang mahluk itu lakukan, redhakanlah perbuatannya kerana sesungguhnya apabila Allah SWT telah menutup pintu derianya maka dia akan berbuat apa saja sesuka hatinya kerana jika fikiran dan hati dia kotor walau dihidang bersih pun tetap dilihatnya kotor. DOAKAN LAH DIA kerana disaat pintu derianya telah tertutup hanya ada satu yang masih terbuka iaitu HIDAYAH ALLAH SWT”. Pada saat ini Vie kembali tenang dan berfikir Vie tidak mahu meletakkan DARJAT DAN MARUAH VIE SETARAF DENGAN DIA.

Mujurlah ada Ibuku menjadi seorang pelembut hati dan penenang jiwa pada setiap masa dan itulah tujuan seorang ibu hadir di dunia ini. Menjadi idola pada anak-anak disetiap perbuatan mereka. Moga Vie juga boleh menjadi seorang ibu yang baik kepada anak-anak Vie dimasa akan datang.. InsyaAllah

Pesan Vie, hindarilah diri dari menjadi manusia yang suka berpuak puak dan berpecah belahkan orang.. Contohilah resam semut bila bertemu seakan bersalam dan suka bekerja sama di antara satu sama lain.. dan ikhlaskanlah hati kerana keikhlasan itu seumpama seekor semut hitam di atas batu hitam di malam yang amat kelam, ianya wujud tapi amat sukar dilihat. Jangan tertipu dengan terangnya bulan kerana di sebalik terang itu banyak kegelapannya..

"Dunia akhirat itu umapa rumput dan padi, tanam padi rumput kan tumbuh jua, tapi tanam rumput takkan TERtumbuhnya padi.. Begitulah jua dunia dan Akhirat, kejar akhirat dunia akan dapat bersama tapi kejar dunia, hanyalah dunia semata mata"


Wednesday, January 5, 2011

Hati Dan Perasaan Insan Yang Bergelar Isteri ?

Vie terpanggil untuk menulis satu tugasan yang agak penting yang telah menyetuh hati Vie untuk membincangkan hal ini dan menjadi santapan mata hati buat para pembaca yang sudih memberi ruang pada Vie kali ini untuk sama-sama saling ingat-mengingati antara kita. Kisah yang bakal Vie kongsikan ini dipetik dari pengalaman yang Vie dengar dari insan-insan yang berada di sekeliling Vie. Moga menjadi panduan mahupun iktibar untuk kita semua. Insyallah…

Biarlah Vie berbicara bagi pihak seorang sahabat Vie yang telah menjadi isteri dan sering merasa bahawa kehadirannya bagaikan hanya untuk melengkapi kehidupan si suami sedangkan si suami selalu mengabaikan dan memandang remeh terhadap perasaan dan hak isterinya.

Kita kebiasaannya terlepas pandang tentang apa yang kita ertikan sebagai ‘keluarga’. Bagi kita bernikah itu cukup untuk dianggap sebagai keluarga sedangkan ‘keluarga’ itu diibaratkan dua dunia yang bersatu dan bersedia untuk sama-sama memikul apa saja tanggungjawab, tugasan dan permasalahan yang bakal kita hadapi di masa akan datang bersama-sama dengan pasangan kita (baik ia datang dalam bentuk yang positif ataupun negatif). Bak kata pepatah 'ringan sama dijinjing, berat sama dipikul' begitulah yang diumpamakan dalam konsep kekeluargaan yang sebenar.

Allah SWT Berfirman :
'Di antara tanda-tanda kebesaranNya, diciptakanNya bagi kamu pasangan suami isteri dari diri kamu untuk kamu merasa ketenteraman di antara satu sama lain dan dijadikannya kasih sayang dari belas kasih antara kamu, sesungguhnya dalam hal itu menjadi ketenangan bagi orang yang berfikir'..


Kita selalu diingatkan tentang tugasan seorang isteri tentang bagaimana untuk menjaga hati, hak dan amanah suami kita dan amat jarang bagi kita melihat bagaimana penegasan hak dan amanah kepada seorang isteri yang wajib diadakankan oleh suaminya (mengikut kemampuan masing-masing). Memang benar, nafkah zahir dalam islam itu adalah si suami kena memberi tempat teduh (tempat tinggal), makanan serta pakaian yang cukup kepada isterinya, manakala nafkah batin yang selalu difahami adalah nafkah seks semata-mata sedangkan batiniah ini berkaitan dengan hati, perasaan dan naluri wanita yang mahukan perhatian, belaian dan kasih sayang.

Vie tidak mahu menyentuh panjang soal tanggungjawab seorang suami kepada isteri ataupun tanggungjawab seorang isteri kepada suami kerana bagi Vie kita sudah terlalu matang untuk mengetahui hal itu, dan cukuplah Vie menyentuh soal ‘hati’ dan ‘perasaan’ seorang isteri kepada suaminya dalam topik kali ini memandangkan hati Vie betul-betul terbuka untuk berkongsi satu teladan kepada kita semua.


Wahai para suami, dengarlah leteran isteri kamu kerana leterannya itu adalah sesuatu yang keluar dari jiwanya ketika dia merasa kosong dan tidak mampu lagi untuk berbuat apa selain cuba untuk menerangkan sesuatu kepada kamu. Bukankah isterimu itu asalnya dari kaum yang dilahirkan dengan membawa sifat kelembutan untuk mendidik anak-anakmu nanti ? dan bukankah kaum dari isterimu itu yang memberi ketenangan kepada jiwa dan penyejuk di hatimu. Mengapa mesti kau abaikan apa yang sepatutnya kau berikan kepada dirinya sekalipun melapangkan pendengaranmu untuknya?


Wahai suami, usah memandang remeh pada keluhan hatinya, walaupun pada dasarnya hati itu Cuma seketul daging yang tertanam dalam jiwanya. Dari keluhan itulah hatinya akan mudah rapuh, menangis, kecewa dan merasa binasa jika sering kali kau goreskan permukaannya. Bila hati telah ternoda maka yang seputih jernih pun akan kelam jadinya kelak. Dan ketika hal itu telah berlaku, jangan pula disalahkan dirinya tapi jawablah pada suatu persoalan yang kau bina sendiri dari setiap kali kau mengabaikan persoalan pada kelukaannya.

Wahai suami, tidakkah kau merasa bersalah dan berdosa apabila setiap kali kau membelai jemarinya yang bersedia untuk mempersiapkan apa saja tugasan sehariannya sebagai isteri untukmu lalu engkau sewenang-wenangnya membiarkan saja dia tercari-cari dan ternanti-nanti ketulusan sebenar kehadirannya dalam hidupmu ? apa sebenarnya dia untukmu ? siapa dia dihatimu ? dan apakah kehadirannya benar-benar memberi kebahagiaan kepadamu ? atau adakah dia sekadar hiasan dalam hidupmu ? atau sekadar pelengkap kepada kemahuan hatimu, impianmu dan cita-citamu ?

Ketahuilah ! bukan wang ringgit semata untuk memberi kebahagiaan, atau mempersiapkan kehebatan dirimu untuk menjadi keagungannya dimata masyarakat tetapi naluri seorang wanita adalah semata-mata mengharapkan belaian, sokongan dan perhatian untuknya. Bukankah kaum seperti kami ini sudah ditakdirkan menjadi pedampingmu, pengubat laramu, dan amanah Allah SWT kepadamu. Sesungguhnya hawa seperti kami mempunyai hati yang mudah rapuh, perasaan yang lemah dan jiwa yang lembut. Dan semestinya kami senantiasa menuntut hak kami untuk dibelai dan dimanja dari sedetik masa yang berputar. Jangan salahkan perasaan ini, sebagaimana kami kaum isteri akur bahawa kami bersedia mentaatimu dan sebagaimana kami maklum bahawa kamu wahai kaum suami yang Allah SWT ciptakan sebagai pemimpin, ketua yang menjadi pelindung dan tempat teduhan kepada kami.

Kita takkan mampu bernafas jika cinta itu telah hilang dari tempat letaknya hak si pencinta kepada tuannya. Maka peliharalah apa yang telah dihamparkan dan diriwayatkan kepadamu. Sedang kita asyik mengutip kerang ditepian pantai, lalu kita lupa bahawa mutiara yang berada digenggaman kita telah jatuh dari celahan jemari kita. Usah biarkan ini terjadi. Jagalah hati isterimu, kerana dia telah ditakdirkan untukmu.

Sesungguhnya cinta itu adalah anugerah yang terbesar Allah SWT beri kepada hamba-Nya. Jika cinta itu tidak dijaga dengan baik maka ia akan ditarik balik lalu diberikan kepada yang lebih berhak dan sudih untuk menghargainya. Jika sesuatu perkara buruk berlaku kepada kita akibat kealpaan kita sendiri maka jangan salahkan sesiapa kerana semasa mula kita memilikinya, kita yakin bahawa dia adalah pilihan muktamat yang terbaik untuk kita dan jika suatu masa ia akan hilang, hilangnya kerana keegoan kita sendiri. Bak kata pepatah 'Nak seribu daya, tak nak seribu dalih'.

Syukur alhamdulillah kerana Vie tergolong dalam individu yang paling bahagia. Vie telah melalui hidup yang terlalu sukar pada suatu masa dulu, menjadi individu yang sering kali mati sebelum ajal menemui jasad Vie dan kali ini, Allah SWT memberikan kebahagiaan yang berlipat kali ganda untuk dinikmati. Ya Allah SWT, betapa indahnya cinta suamiku EY yang rela berkorban zahir dan batin untuk kebahagiaan Vie. Vie ingin dia tahu bahawa kehadirannya adalah ANUGERAH TERBESAR DALAM HIDUP INI. Syukur sekali lagi, kerana Vie mengenal apa itu bahagia setelah mendapatkan ANUGERAH (EY) dari Allah SWT dalam hidup ini.

Vie harap, tidak keterlaluan untuk Vie katakan bahawa kehidupan Vie amat sempurna dengan adanya Eizlan Yusof dalam melengkapi dan menutupi setiap kekurangan diri pada Vie Shantie.