Monday, August 24, 2009

Bersyukurlah !

"Jika kita naik kereta, bersyukurlah kerana ada insan lain yang naik motor, jika kita naik motor, bersyukurlah kerana ada insan lain yang naik basikal, jika kita naik basikal, bersyukurlah kerana ada insan lain yang berjalan kaki, jika kita jalan kaki, bersyukurlah kerana ada insan lain yang tidak punya kaki"

Mengapa insan sering memikirkan kelebihan orang lain berbanding dengan kelebihan diri sendiri ? Sedangkan 'kelebihan diri sendiri' itulah yang boleh mendidik diri kita untuk menjadi insan yang bersyukur dan meredhai takdir. Mungkin kita lupa tentang kejadian alam yang ‘sementara’ ini sehingga kita lupa tentang erti ‘alam barzakh’, ‘kiamat’, dan ‘akhirat’ yang akan menyimpan jasad kita kekal kelak. Sehingga kita mengejar nikmat dunia berlebih-lebih lalu lupa bahawa nikmat Allah SWT jauh lebih besar dari apa yang kita bayangkan. Rumah ? kereta ? duit ? jenama ? pangkat ? itu semua sementara saja dan mungkin juga itu akan membawa kita kekal ke dalam neraka jika tidak pernah mengucapkan ‘SYUKUR ALHAMDULILLAH’ dengan apa yang telah dikurniakan kepada kita.

Sesekali kita lihat pada diri kita, Pernahkah kita bersyukur dengan apa yang kita ada sedangkan kita boleh lena dengan selesa, makan dan minum tidak pernah putus, pakaian yang lengkap, dan perlindungan yang selamat ? Tidakkah kita merasa bertuah kerana banyak perkara kita telah ‘rasa’ di dunia ini jika hendak dibandingkan dengan orang lain ? Mungkin bagi kita kecil apabila kita ‘diINSAFkan’ dengan nasib malang yang menimpa bumi Palestine, Kosovo, Bosnia, Pakistan, Myanmar, Vietnam, Filipina dan lain-lain apabila disentuh soal penindasan, peperangan, kurang upaya, nasib malang, kelaparan, miskin, teraniaya, penderitaan dan sebagainya. Tidakkah dengan hal begini kita boleh memikirkan bahawa kita bertuah tinggal di Malaysia yang aman damai tanpa sebarang peperangan ? Bukankah mereka juga layak mendapathak’ untuk hidup selesa dan tenang seperti kita ?

Itu menyentuh soal ‘secubit’ nasib malang dari negara lain untuk membandingkan dengan kelebihan yang kita ada. Jika dilihat dari kejadian yang berlaku dalam Negara kita, kita hanya berdepan dengan kejadian-kejadian yang kecil saja iaitu stress seharian dalam persekolahan, pekerjaan ataupun perkahwinan. Ini juga sering dikaitkan dengan ‘tak ada masalah, nak cari masalah’. Hal-hal kecil boleh diselesaikan dengan baik tetapi sering diperbesar-besarkan terutamanya dalam perhubungan. Hal ini berlaku kerana tiada nilai-nilai kesyukuran dalam diri masing-masing yang mana sering mengejar sesuatu yang lebih baik dari apa yang dimiliki. Bila hal ini wujud, tanpa sedar sesuatu perhubungan akan sering berhadapan dengan pergaduhan kerana tidak mempunyai persefahaman antara satu dengan yang lain. Mulalah jadi ‘seperti kucing dengan anjing’, tapi zaman sekarang anjing dan kucing pun dah mula berkawan kan ? manusia sesama manusia pula nak bercakaran.. Heran !

Tidak salah jika kita meningkatkan keselesaan diri Cuma biarlah hal itu dalam redha Allah SWT atau dengan kata lainnya ‘tidak melebihi batasan’ atau ‘memudaratkan’. Boleh juga kaitkan hal ini dengan ‘ukur baju biarlah di badan sendiri’. Individu yang sentiasa tidak bersyukur dengan pemberian Allah SWT sering dikaitkan dengan individu yang sentiasa memenangkan nafsu mereka kerana nafsu dicipta untuk melahirkan kemahuan kita yang tidak pernah puas, manakala akal pula untuk kita memikirkan tentang baik dan buruk sesuatu tindakan yang kita lakukan dan fungsi iman pula bertugas untuk mengawal ‘kemahuan’ kita. Secara ringkas, orang yang tidak pernah bersyukur adalah individu yang ‘kuat nafsu’ (yang sentiasa mencari keseronokkan) manakala bagi individu yang sentiasa bersyukur adalah individu yang beriman.

Ingat ! jika kita boleh membataskan kemahuan kita dan bersyukur dengan apa yang Allah SWT berikan buat kita, maka kita akan mula mengenal dan merasa erti ketenangan dan kebahagiaan. Kalau tak percaya… cubalah ! Vie alaminya sendiri sebab tu Vie kongsi bersama-sama pembaca semua.