Friday, December 25, 2009

Usah Melawan Takdir

Daripada al-Hassan bin Ali bin Abi Talib r.a, Nabi SAW bersabda : "Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu. Sesungguhnya kebenaran adalah ketenangan, dan pembohongan adalah keraguan" ( Riwayat al-Tarmizi dan Ahmad).


Adakalanya kita menjadi manusia degil yang cuba menentang 'hipotesis' dunia dan cuba 'menepis' fakta sejarah dari cerita teladan yang pernah terjadi dikalangan manusia. Apa yang cuba kita nyatakan di sini ? Adakah ingin dilihat sebagai 'Hero'? ataupun menjadi salah satu daripada lagenda hitam yang tertulis sebagai 'mangsa keadaan'?


Di suatu ketika malah sehingga hari ini, Vie banyak belajar dari kesilapan dan kedegilan sama ada yang pernah Vie lakukan dulu ataupun mengutip cerita dari teman-teman yang berkongsi keadaan, walhal Allah SWT telah memberikan tanda jelas bahawa 'langkah' yang diambil itu adalah 'salah' mahupun 'silap' Tidak keterlaluan jika Vie turut menyatakan bahawa 'langkah' itu juga akibat daripada sikap terburu-buru untuk berbuat keputusan sedangkan keputusan itu adalah soal maruah, tanggungjawab, dan masa depan. Malah 'langkah' itu juga mempengaruhi corakkan emosi, kepanjangan akal, dan kegagahan fizikal untuk mengharungi onak-duri dari kepergian 'langkah' yang salah.


Pada saat itu berlaku seakan menjadi manusia yang hidup hanya kerana bernyawa tetapi telah lama berhadapan dengan 'arwah' sedangkan ketika itu kita masih boleh menikmati dunia, namun kerana 'langkah' kita sendiri maka kita harus mempertanggungjawabkannya. Dan pada saat itu jugalah kita menjadi insan yang matang lebih dari usia kerana kepahitan dan kesengsaraan yang kita lalui, menjadi makanan minda pada setiap saat dan detik kerana asyik mencari jalan untuk patah kembali dari 'langkah' salah yang kita pilih.


Mungkin kita patut menteladani cerita ibubapa kita itu, Nabi Adam r.a serta Hawa r.a apabila berjaya digoda oleh syaitan untuk memakan buah dari sepohon pokok yang dilarang oleh Allah SWT sehingga mereka telah dikeluarkan dari syurga ke Bumi.


Seperti dalam surah al-A’raf ayat 23 yang berbunyi : "Wahai Tuhan kami ! kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampunkan kami dan berikan kami rahmat, nescaya jadilah kami orang-orang yang rugi".


Mungkin kita harus membuka naluri 'ke-enam' kita untuk melihat tanda-tanda daripada Allah SWT sebelum kita melangkah jauh dari landasan kehidupan kita. Lihatlah pada keluarga, usah terlalu mementingkan soal nafsu sendiri semata-mata sehingga sanggup bertindak diluar batasan tanggungjawab kita. Lihatlah pada kebaikan, usah terlalu memaksa diri mejadi Hero menentang segalanya sedangkan kudrat kita tidak sekuat mana. Lihatlah pada agama, Allah SWT menyukai hambaNya yang sabar.


Daripada Anas bin Malik r.a, Nabi SAW bersabda : "Permudahkanlah, jangan manyusahkan, tenangkanlah dan jangan melakukan sesuatu yang menyebabkan orang menjauhkan diri dari kamu"(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Vie juga amat memahami bahawa kita sama sekali tidak mempunyai kuasa untuk mengetahui apa yang terjadi di masa hadapan, tetapi kita mempunyai daya untuk bertanya kepada Allah SWT tentang apa yang kita lakukan itu benar-benar terbaik ataupun tidak iaitu dengan banyakkan berdoa serta bersembahyang istikharah. Berlapanglah dada kepada Allah SWT, kerana Dia yang menentukan segalanya.


Seperti firman Allah SWT "Jangan takut, jangan berdukacita" (Al-Ankabut 29:33).


Setiap 'langkah' kita itu jadikanlah satu pengajaran yang terbaik kerana 'guru' yang terbaik adalah dari pengalaman kita sendiri. Seperti yang tertulis dalam firman-Nya di atas, 'jangan takut' kerana Dia sentiasa bersama-sama dengan kita dan 'Jangan berdukacita' kerana kedukaan itu boleh menghapuskan dosa serta menyucikan diri dari kesilapan kita yang lepas. Sesungguhnya Allah SWT mempunyai satu rahsia yang kita tidak ketahui namun sentiasalah berfikiran positif dengan hikmah disebalik semua kejadian.


WAllahua'lam bissawab...

Thursday, November 12, 2009

BUDI apa ?

Di suatu perjalanan masa dari parut luka,

Tersingkap kesedaran luka yang berdarah,

Ibarat pasir digenggam dalam lautan,

Ibarat air menyimbah daun keladi,

Tiada manis harus disimpan kerna yang tinggal..

Hanya sepah untuk dibuang..


Bagaimana harus Vie mula dengan coretan ini ? kerna pangkalnya bukan tercipta 1 tapi lebih dari itu Cuma yang Vie pasti penghujungnya adalah satu, iaitu “kosong”. Keadaan ini ibarat seorang insan yang melangkah berpuluh tahun di bumi dengan kaum keluarga dan akhirnya pergi sebagai 1 hamba.


BUDI apa ? tatkala kita menabur benih di atas bumi untuk menyemai rasa riak, sombong dan bongkak dunia kepada apa-apa kebaikan yang kita lakukan sedangkan asalnya kita boleh mendapat ganjaran yang lebih besar daripada sasaran kita sendiri iaitu rezeki, redha dan keberkatan Allah SWT.


BUDI apa ? ketika bersedekah menghulurkan dua tangan yang diiringi dengan niat kanan untuk mengunjuk dan kiri untuk menghebohkannya perbuatan kita, sedangkan lebih baik memberi dengan tangan kanan yang seolah-olah tangan kiri tidak mengetahuinya.


BUDI apa ? ketika kita susah menumpang hidup pada yang mampu, dia menyambut baik kedatangan kita namun mengadu-domba dan berwas-was buruk dibelakang kita sedangkan lebih baik berterus terang daripada menjadi manusia yang munafik... hanya baik di depan mata tetapi betapa kedana dan laknatnya kita dibelakang mereka.


Dari Ummur Ra'ih dari Salman ibnu 'Amir r.a, dari Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya bersedekah kepada orang miskin itu pahalanya satu sedekah dan sedekah kepada sanak keluarga pahalanya dua kali sedekah, pahala sedekah, dan silaturrahim."

(Hadis Sunan An Nasa'iy Jilid 3. Hadis Nombor 2442)


BUDI apa ? berbuat 100 perkara baik lalu meninggalkan 1 kesan kotor yang menjatuhkan maruah, harapan dan kepercayaan sedangkan jika benar berdiri dengan keikhlasan maka tidak sesekali akan mencemarinya."Buat baik berpadah-padah, buat jahat jangan sekali" Jangan menjadi islam yang 1000 tahun menegakkan agama tetapi menjadi hamba yang murtad dipenghujungnya... Nau’dzubillahimin zaliqh...


Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. pernah ditanya orang: "Amal yang bagaimanakah yang paling disukai Allah?" Jawab beliau, "Amal yang dikerjakan secara tetap walaupun sedikit.

(Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0755).


BUDI apa ? Bila kita diberi kelebihan, kekuatan dan kesempatan untuk membantu kepada mereka yang memerlukan dan menjadi bahan 'ungkitan'. Apakah yang kita panggil sebagai 'Budi' sedangkan segalanya tidak lagi bererti dari seribu pahala yang kita cari akhirnya berakhir dengan sebuah dosa ?


Mewartakan kepada kami Muhammad bin Yahya, mewartakan kepada kami Abu Nuaim, mewartakan kepada kami Israil dari Al-Hakam, dari Abu Juhaifah, dia berkata: Rasulullah SAW. bersabda: "Barangsiapa yang bertindak dengan tindakan yang baik, kemudian diamalkan tindakan tersebut setelahnya, maka baginya mendapat pahala serta pahala amal mereka tanpa terkurangi sedikitpun pahala-pahala mereka." Dan barangsiapa yang bertindak dengan tindakan yang buruk, kemudian diamalkan tindakan itu setelahnya, maka baginya memperoleh dosa serta seperti dosa-dosa mereka tanpa terkurangi sedikitpun dosa-dosa mereka sama sekali." Dalam Az-Zawaid: Isnad hadis ini Daif.

(Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 1. Hadis Nombor 0207)


BUDI apa ? Dihiasai dengan dosa mengungkit, dosa riak, dosa sombong, dosa fitnah, dosa bohong dan akhirnya bergelar manusia munafik ! Hanya melewati hidup yang penuh KESEPIAN dari RIUHAN mulut kita sendiri ?, TANGISAN yang kita cari dari hilai KETAWA kita sendiri ?, dan dari himpunan GUNUNG pahala lalu terhakis menjadi sebuah tanah RATA kosong yang digali untuk KUBUR kita sendiri ?

Mungkin kita lupa, setiap orang yang berbudi berada nun di atas kerana ketika itu roda kehidupannya sedang berada di atas sana dan akan tiba harinya roda itu bakal berpusing meletakkan dia di bawah ? kerana dunia tidak ada janji kekalnya...


”Tuhan mencipta kita dengan dua pasang tangan, satu untuk memberi dan satu lagi untuk menerima”

Bak kata orang tua dahulu kala... ”orang berbudi kita berbahasa”

Thursday, October 15, 2009

Ibu Intanku (Juliah binti Ahmad)

Melangkah sepi di ruang lelah,
Meratapi sunyi tanpa cahaya,
Pada sudut hikmah panahnya doa,
Menunggu makbul kuasanya Allah (SWT).

Mengapaku Pilih tajuk ‘Ibu Intanku’ kerana kisah kali ini ku petik dari kesengsaraan ibu membesarkan kami semasa ketiadaan bapa di sisi. Bagiku, ibu ibarat intan yang dikubur diruang lumpur kehidupan namun intan tetap bersinar dan takkan sekali-kali bertukar RUPA. Intan, bukan setakat cantik, mahal tetapi juga kebal. Walau pecah seribu, serbuknya tetap dijadikan perhiasan.. begitulah ibuku.

Ibu, menjejak perkahwinan pada usia 17 tahun yang ketika itu dunia remajanya menjadi julangan dalam alam persekolahan, ibu menjadi ketua pengawas sekolah, sering mendapat anugerah pelajar terbaik, menjadi kesayangan guru-guru dan menjadi contoh kepada kawan-kawan. Namun ibu gagahi perjuangan untuk menduduki SPM walaupun hanya 3 bulan bergelar pelajar tingkatan 5. Dengan keberkatan dari Ilahi dan kebijaksanaan ibu, ibu telah lulus SPM. Beliau telah bergelar ibu diusia 18 tahun, mengorbankan cita-cita, masa dan impian. Mungkin sdh rezeki ibu, di usia Zia baru 11 bulan, ibu telah mengandungkan Vie. Malangnya, bapa telah meninggalkan ibu pada ketika ini yang terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki. Namun, setelah usiaku 10 bulan dilahirkan.. Bapa datang ke Sabah untuk mengambil kami tingal bersamanya di Kuala Lumpur.

Ibu telah meninggalkan kaum keluarganya di Sabah dan mengikuti suami ke Kuala Lumpur demi melengkapkan hidup anak-anaknya kerana takut tidak berbapa. Harapkan pagar boleh menjaga padi rupanya pagarlah punca kehancuran padi. Ibu perjudi nasib balik ke Sabah bersama Zia, Vie dan Adey yang baru 3 bulan dalam kandungan.

Perjuangan menjadi ibu tunggal berbekal harapan 5 tahun menanti khabar dan kepulangan bapa. Ibu yang nekad membesarkan kami dan telah membawa erti betapa besarnya kasih ibu. Ibu tidak kisah bergelar penjual kuih, sayur dan ikan serta pernah menjadi orang gaji demi mencari rezeki yang halal buat membesarkan kami. Akibat menjadi ibu tunggal, ibu dilontar bermacam-macam kata fitnah dan caci-maki dari saudara serta masyarakat.Kepayahan ibu, tiada siapa yang dengar atau simpati tapi ibu tetap gah berdiri.

"Teriak ibu, tiada siapa yang peduli..
menang lagi suara unggas dan kodok.

Suara ibu, tiada nilai dan hak..
kerana tempatnya bersedia untuk diganti..

Sedih ibu, tiada siapa yang paham...
menjadi lali ditelan masa.

Tangis ibu, tiada siapa yang padam...
didodoi masak oleh kepenatan.

Peperangan antara diri dan takdir,
habis mati segala keistimewaan..

Hanya tinggal tanggungjawab memimpin diri...
kerna..
menjadi keutamaan pada diri mereka !
Ibu, Zia, Vie dan Adey...hanya insan tumpangan...
Bagi mereka, Ibu harus paham, mengerti dan kebal..
Kerana tanggungjawab, nasib dan adat !!!"

Ibu bukannya bodoh, tetapi keadaan tidak mengizinkan.. ibu pernah dipanggil kerja di Penjara sebagai Pegawai tetapi terpaksa di tolak kerana tiada siapa mahu menjaga kami, ibu pernah ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Kent tetapi dia menutup mata menolak tawaran itu kerana ada 3 nyawa yang perlu dibesarkannya. Ibu pernah cuba untuk menitip kami tetapi kami hanya dijadikan mainan, gurauan dan ujian dari hinaan, sumpahan dan deraan masyarakat. Maka dengan itu, harapan ibu hanya pada kami.

"Pada siapa ibuku hendak luahkan ?
Jika telinga saja mendengar...
Mata kononnya dapat menyaksikan..
Sedangkan hati degil tertutup rapat !"

Harapan ibu perlahan-lahan kami kotakan. Suami kami berkat dari zat angan-angan ibu yang meniginkan suami yang soleh memimpinnya, yang telus menerima kami apa adanya, dan yang bertanggungjawab mengasihi kami. Kejayaan Kak Zia adalah berkat yang sentiasa diiringi restu dan doanya dari impian ibu yang pernah terkubur dulu.

"kami akan tetap menanti..
Selagi ada sebuah harapan..
Buta akan dapat melihat...
Pekak akan dapat mendengar...
Cuma... yang selama ini asyik bercakap mungkin akan terkelu bisu
Inilah kebenaran tidak pernah terkubur pada KENYATAAN !"

Thursday, October 8, 2009

ZIA Dan VIE

Kami ibarat,
Sepasang tangan antara kiri dan kanan...
Hubungan yang erat seperti nyawa dan badan..
Hidup pada satu hati dan satu impian..
Kerana kasih kakak dan adik akan kekal sepanjang zaman..
1 tahun 2 bulan beza usia kami..
Namun jalan cerita hidup yang hampir sama..
Kerana kami membesar bersama..
Jika,
Satu tangan jatuh, maka satu tangan akan memimpin..
Satu air mata jatuh, maka satu akan menjadi penawar..
Satu lemah, maka satu akan menjadi kekuatan..
Satu kekurangan, maka satu akan menjadi kelengkapan..
Mutlaknya ! kami tetap bersama..
Kerana duka antara kami adalah duka bersama..
Kerana tawa antara kami adalah tawa bersama..
Vie,
Kini pembawa puteri comel untuk Zia..
Kehadiran Zaara turut melengkapkan hidup Zia sebagai
'Mama Pinjam'..
Zia,
Telah memperlihatkan Vie pada keadaan..
Bagaimana bijak seorang anak membahagi masa.
Bagaimana besar pengorbanan seorang pelajar bergelar isteri..
Bagaimana kuat semangat seorang kakak memberi harapan kepada adik-adiknya..
Dan yang amat membanggakan Vie..
Anak, pelajar, isteri dan kakak itu adalah Zia.. kakak kesayangan Vie..
Terima kasih kepada Kak Zia,
Kerana membuka ruang semangat dan kebanggaan kepada keluarga serta Vie...
TAHNIAH ! diatas anugerah....
IJAZAH SARJANA MUDA PSIKOLOGI DENGAN KEPUJIAN
(PSIKOLOGI KAUNSELING),
Dari UNIVERSITI MALAYSIA SABAH pada Majlis Konvokesyen yang ke – 11..
Selepas 3 tahun berperang dengan buku dan komputer..
Kali ini,
Zia telah melengkapkan..
Impian Ibu dan Ayah..
Serta memberi semangat dan harapan..
Adik-adik untuk berani mengerjar cita-cita..
Kali ini juga,
Telah sekali lagi mencipta sejarah..
Zia telah membawa anugerah terindah kepadaku apabila melihat kejayaannya..
Vie pula melihat anugerah kedua dalam kandunganku..
Terima Kasih Ya Allah (SWT)..
Engkau telah memberi cahaya yang gemilang dalam hidup kami berdua..

Monday, September 14, 2009

Apabila Nafsu Melampaui Kemampuan

"Jika kau merasakan diri kau adalah benar, Mengapa perlu bertanya dari suara insan lain sedangkan kau ada jawapannya"


Situasi di atas mengungkai satu cerita yang agak menarik untuk dibincangkan pada tajuk kali ini iaitu 'bila nafsu tinggi dari kemampuan'. Hal ini melibatkan 3 situasi yang kompleks tetapi pada dasarnya cerita ini hanya satu kes yang biasa. Mungkin inilah yang dikatakan 'hidup ini akan menjadi mudah jika kita menganggap ianya mudah dan hidup ini boleh menjadi rumit jika kita menganggap sedemikian'.


Bagi Vie, hidup ini ringkas dan ringan jika kita tahu bersyukur dari segala apa yang telah diberikan untuk kita. Tidak kah kita terfikir bahawa 'Allah SWT memberikan kita apa yang kita LAYAK dapat'.. Bukankah Dia maha mengetahui kerana Dia yang menjadikan kita ? Jika masih susah untuk kita faham, cuba kita imbas kembali dan nilaikanlah diri kita sendiri dari segala perbuatan yang pernah kita lakukan. Adakah perkataan BERBALOI hanya akan dipakai apabila berhadapan dengan 'hadiah-hadiah' yang istimewa ? Mengapa BERBALOI itu tidak diletakkan pada 'balasan' yang menimpa kita ?.


Tiga
situasi yang dimaksudkan Vie adalah, situasi 1- Sebagai suami isteri yang sering bertelaga untuk menyatakan dan membuktikan siapa diantara mereka yang lebih baik, mulia, dan amanah, Walhal mereka tidak pernah melihat kelemahan diri untuk diperbaiki. Bukankah dengan 'berbincang' dari hati ke hati, rumahtangga dapat dicegah dari perpecah-belahan antara fahaman dan hubungan ?


Situasi ke2
- Apabila sahabat mengharapkan yang terbaik dari sahabatnya sedangkan dia sendiri pun tidak memberikan 'kesan' yang baik sebagaimana yang diharapkan dalam perhubungan. Dia (sahabat) sering meminta 'pandangan' yang kononnya untuk memperbetulkan keadaan bagi membina dan merubah keadaan tetapi malang yang mendukacitakan apabila 'pandangan' yang diharapkan itu sebenarnya adalah suatu ’sokongan’ yang boleh membawa kepada kepincangan. Ingin Vie tegaskan, jika seorang kawan hanya membawa kepada KEMUSNAHAN, itu bukanlah dianggap sebagai kawan tetapi LAWAN. Kerana hadir seoarang kawan adalah untuk menerima kita dalam susah dan senang.


Situasi ke3
, Apabila berhadapan dengan insan yang suka menjaga tepi kain orang tetapi kain sendiri yang terlondeh. Mengapa ingin menjadi insan yang ayik mencari maklumat peribadi orang lain sedangkan hal sendiri belum pernah habis-habis ’kecewa’ ?. Adakah kita ingin dikenali sebagai insan yang 'berwajah cantik tetapi bermulut besar ?' atau 'kononnya berstatus tinggi tetapi berpesonaliti rendah ?'


Jika kita merasakan kita adalah SEMPURNA dalam semua sudut, maknanya kita akan menghampiri satu lembaran kehidupan yang dikenali sebagai KESUNYIAN. Kerana insan-insan yang sempurna tidak mempunyai ’warna’ dalam kehidupan mereka. Bukankah masalah datang sebagai ’Warna’ kehidupan ? Cuba bayangkan hidup kita sebagaimana yang kita impikan, mungkin kita akan mencari erti AIR MATA
dan SENGSARA. Fikirlah! Kita yang memilih jalan hidup kita maka kita WAJIB bertanggungjawab ke atas itu.. Jika kita tidak pernah puas dengan kehidupan kita maka inilah yang dinamakan "nafsu lebih tinggi dari kemampuan" kerana tidak pernah ingin bersyukur dengan pemberian Allah SWT.


Ingatlah ! Esok masih ada.. Sejauh mana pun kita lari tetapi masa tetap mengejar kita dan 'masalah' pasti melanda selagi kita bergelar MANUSIA..

Tuesday, September 1, 2009

Disebalik Kecantikan Mawar Berduri..

“Disebalik Kecantikan Mawar, Terselit Kisah Jahat Yang Durjana, Kekadang Ia Menjadi Penghias Di Sudut Keceriaan Tetapi Kekadang Ia Menjadi Sebuah Racun Yang Mendukakan… Inilah Hakikat, Antara Dunia dan Karma”

Puas hati dan perasaan ini melakarkan kata namun hanya segelintir saja yang bisa mengertikan kerana yang lain mungkin hanya melihat kelemahan dari kekuatan. Mungkin sebab itu Negara Jepun lebih maju dari Negara kita kerana kita sentiasa melihat pada kelemahan dari kekuatan dan tidak sesekali memberi peluang pada kehidupan. Jepun pernah hampir menjajah seluruh Asia pada ketika dulu dan Cuma berniat untuk menyatukan Negara-negara Asia tetapi kecundang kerana kita sedar bahawa setiap kita mempunyai hak masing-masing dan di dunia ini kita tidak boleh memonopoli keadaan. Tapi mereka (Jepun) patut dibanggakan kerana mereka telah menjajah dunia dengan jenama-jenama buatan mereka seperti Toyota, Nissan, Panasonic, Sony, Honda, dan paling kecil pun selipar JIPUN. Tapi kita ? Kereta Kancil pun susah nak jual kat luar Negara tapi kalau jual mulut… Vie rasa kita tempat pertama kot ;-)

Vie melihat suatu keadaan realiti yang berlaku depan mata Vie terhadap nasib seorang kawan yang juga bernasib sama ‘keadaan’ seperti Vie. Biar Vie cerita sikit ya… Vie tidak mahu mengetengahkan nama kawan Vie itu kerana takut dijadikan isu, maklumlah banyak orang yang suka pada kelemahan orang. Kawan Vie merupakan isteri pada artis yang sangat popular pada masa kini, dia memang super-duper hot ! suaminya menjadi pujaan ramai orang tetapi malangnya isteri dia pula menjadi kutukan ramai orang. Keadaan yang mana peminat nak bergambar dengan artis ni sehingga sanggup membelakangi isteri artis tersebut, mereka buat seperti isteri itu langsung tidak wujud atau mungkin menganggap isteri tersebut tidak mempunyai perasaan. Yang paling durjana, ada pula yang sanggup menyumpah hubungan mereka agar bercerai-berai. Kenapa ? Mungkin nak bersaingkan ? kesian mereka. Fikirlah secara logik, suami orang kawin isteri dia sebab dia sayang dan dia merasakan isterinya adalah segala-galanya.

Kenapa kita harus menjadi Mawar yang cantik tetapi berduri ? kenapa kita nak jadi peminat yang ramai tetapi mengundang kepada kemusnahan hubungan rumahtangga orang ? ke mana hilangnya sahsiah diri, nilai, agama, adat dan mungkin juga martabat kita sendiri jika hanya menjadi duri ? Arwah Datuk Vie pernah berpesan, kalau kita mendoakan kebahagiaan orang lain maka Allah SWT akan menutup kesulitan dan membuka jalan rahmat buat kita tetapi jika hanya nak menyumpah orang maka secara tak langsung darjat kita akan sama seperti syaitanlah, bukankah syaitan suka menyesatkan dan merosakkan manusia ?

Vie berkata Ikhlas kerana Allah SWT, jikalau hati kita jujur dan ikhlas untuk membantu insan lain walaupun hanya dengan berdoa maka Allah SWT akan membalas kebaikkan kita itu dengan berlipat ganda lagi, oleh kerana Dia adalah satu-satunya tuhan yang Maha Besar dan Maha Kaya, maka Dia menilai perbuatan hamba-hambanya dengan sebesar Zarah untuk diberikan ganjaran ataupun pembalasan. Jikalau kita memyumpah seseorang, keadaan itu sama seperti kita melantunkan ludah ke langit lalu terkena muka sendiri atau lebih manis lagi, buang ludah jilat balik. Kenapa keadaan boleh jadi macam tu ? jawabnya sebab Allah SWT itu maha Pemberi balasan atas perbuatan bodoh kita sendiri. Masa itulah kita akan rasa ludah basi kita dan masa itu juga kita akan tahu langit ni tinggi ataupun rendah.

Situasi di atas, antara keadaan diperlekehkan, doa dan sumpah pernah berlaku pada diri Vie sendiri sebab tu Vie tulis warkah ‘kosong’ ini. Bagaimana rasanya menjadi ‘orang kayu’ dari segelintir masyarakat sehingga lupa Vie juga ada perasaan seperti mereka, bagaimana rasanya mendoakan kebahagiaan orang sehingga Vie bahagia dengan hidup Vie sekarang dan bagaimana menjadi mangsa sumpah untuk melihat kejatuhan Vie sedangkan hidup mereka sendiri terumbang-ambing sehingga sekarang. Dulu, macam-macam fitnah Vie dapat tetapi Allah SWT melindungi mangsa yang dianiaya ni sehingga hidup yang Vie kecapi sekarang jauh dari jangkaan dan impian Vie sendiri.

Wahai sahabatku, jadilah seperti bunga teratai yang menjadi teman kepada kodok. Walaupun wajah tak seindah mawar tapi jasanya lebih cantik dari jasad bunga tulip. Berilah ruang kepada kodok untuk riang dan bahagia agar suatu hari ia menjadi contoh teladan kepada kita. insyAllah….

Ingat ! Allah SWT itu Maha Mengetahui atas segala niat, tingkah laku dan pemikiran kita….

Monday, August 24, 2009

Bersyukurlah !

"Jika kita naik kereta, bersyukurlah kerana ada insan lain yang naik motor, jika kita naik motor, bersyukurlah kerana ada insan lain yang naik basikal, jika kita naik basikal, bersyukurlah kerana ada insan lain yang berjalan kaki, jika kita jalan kaki, bersyukurlah kerana ada insan lain yang tidak punya kaki"

Mengapa insan sering memikirkan kelebihan orang lain berbanding dengan kelebihan diri sendiri ? Sedangkan 'kelebihan diri sendiri' itulah yang boleh mendidik diri kita untuk menjadi insan yang bersyukur dan meredhai takdir. Mungkin kita lupa tentang kejadian alam yang ‘sementara’ ini sehingga kita lupa tentang erti ‘alam barzakh’, ‘kiamat’, dan ‘akhirat’ yang akan menyimpan jasad kita kekal kelak. Sehingga kita mengejar nikmat dunia berlebih-lebih lalu lupa bahawa nikmat Allah SWT jauh lebih besar dari apa yang kita bayangkan. Rumah ? kereta ? duit ? jenama ? pangkat ? itu semua sementara saja dan mungkin juga itu akan membawa kita kekal ke dalam neraka jika tidak pernah mengucapkan ‘SYUKUR ALHAMDULILLAH’ dengan apa yang telah dikurniakan kepada kita.

Sesekali kita lihat pada diri kita, Pernahkah kita bersyukur dengan apa yang kita ada sedangkan kita boleh lena dengan selesa, makan dan minum tidak pernah putus, pakaian yang lengkap, dan perlindungan yang selamat ? Tidakkah kita merasa bertuah kerana banyak perkara kita telah ‘rasa’ di dunia ini jika hendak dibandingkan dengan orang lain ? Mungkin bagi kita kecil apabila kita ‘diINSAFkan’ dengan nasib malang yang menimpa bumi Palestine, Kosovo, Bosnia, Pakistan, Myanmar, Vietnam, Filipina dan lain-lain apabila disentuh soal penindasan, peperangan, kurang upaya, nasib malang, kelaparan, miskin, teraniaya, penderitaan dan sebagainya. Tidakkah dengan hal begini kita boleh memikirkan bahawa kita bertuah tinggal di Malaysia yang aman damai tanpa sebarang peperangan ? Bukankah mereka juga layak mendapathak’ untuk hidup selesa dan tenang seperti kita ?

Itu menyentuh soal ‘secubit’ nasib malang dari negara lain untuk membandingkan dengan kelebihan yang kita ada. Jika dilihat dari kejadian yang berlaku dalam Negara kita, kita hanya berdepan dengan kejadian-kejadian yang kecil saja iaitu stress seharian dalam persekolahan, pekerjaan ataupun perkahwinan. Ini juga sering dikaitkan dengan ‘tak ada masalah, nak cari masalah’. Hal-hal kecil boleh diselesaikan dengan baik tetapi sering diperbesar-besarkan terutamanya dalam perhubungan. Hal ini berlaku kerana tiada nilai-nilai kesyukuran dalam diri masing-masing yang mana sering mengejar sesuatu yang lebih baik dari apa yang dimiliki. Bila hal ini wujud, tanpa sedar sesuatu perhubungan akan sering berhadapan dengan pergaduhan kerana tidak mempunyai persefahaman antara satu dengan yang lain. Mulalah jadi ‘seperti kucing dengan anjing’, tapi zaman sekarang anjing dan kucing pun dah mula berkawan kan ? manusia sesama manusia pula nak bercakaran.. Heran !

Tidak salah jika kita meningkatkan keselesaan diri Cuma biarlah hal itu dalam redha Allah SWT atau dengan kata lainnya ‘tidak melebihi batasan’ atau ‘memudaratkan’. Boleh juga kaitkan hal ini dengan ‘ukur baju biarlah di badan sendiri’. Individu yang sentiasa tidak bersyukur dengan pemberian Allah SWT sering dikaitkan dengan individu yang sentiasa memenangkan nafsu mereka kerana nafsu dicipta untuk melahirkan kemahuan kita yang tidak pernah puas, manakala akal pula untuk kita memikirkan tentang baik dan buruk sesuatu tindakan yang kita lakukan dan fungsi iman pula bertugas untuk mengawal ‘kemahuan’ kita. Secara ringkas, orang yang tidak pernah bersyukur adalah individu yang ‘kuat nafsu’ (yang sentiasa mencari keseronokkan) manakala bagi individu yang sentiasa bersyukur adalah individu yang beriman.

Ingat ! jika kita boleh membataskan kemahuan kita dan bersyukur dengan apa yang Allah SWT berikan buat kita, maka kita akan mula mengenal dan merasa erti ketenangan dan kebahagiaan. Kalau tak percaya… cubalah ! Vie alaminya sendiri sebab tu Vie kongsi bersama-sama pembaca semua.

Wednesday, July 29, 2009

26 Julai 2009

26 Julai 1986, tarikh bersejarah bermulanya hidup bagi seorang insan.. yang memberi sinar untuk seseorang yang bergelar ibu.. Menatap wajah anaknya yang kecil dan mungkil.. Tangisan bayi itu umpama satu nada yang merdu tiada tandingannya bagi si ibu.. Sekian bulan telah berlalu, bayi merangkak, berjalan dan berlari..


26 julai ini telah datang kembali, memberi satu ruang kepada seorang insan untuk merasa alam kanak-kanak.. Namun hidup tak selalunya indah, amat susah untuk menggambarkan hidup pabila zaman itu telah dirampas oleh keadaan dan desakan.. Jika dalam 'sepuluh' perkara orang merasa zaman itu namun insan ini hanya merasanya 'satu'..


26 julai datang seperti sediakala, yang pasti menukar era tentang apa yang dikenali sebagai remaja.. namun sesuatu yang sukar terus dilalui oleh insan ini. Pelbagai derita dan sengsara menjadi permainan hakiki sehingga telah merampas ukiran senyuman dan bunga-bunga gurauan.. namun dengan pertolongan ALLAH SWT, insan itu gah berdiri. Jatuh bangun dianggap sebagai GURU dalam menggorak langkah perjalanan hidupnya. Tidak pernah mengeluh atas apa yang menimpa sebaliknya derita itu dianggap sebagai pelangi kehidupan.. yang datang hanya seketika tetapi mewarnai hidup sebagai pengalaman...


Cuma pada 26 julai kali ini amat berbeza, lagi berseri dan bahagia.. Hidup yang ditemani seorang insan yang membawa cinta serta satu lagi insan yang lahir sebagai permata.. Kedua-duanya sangat tidak ternilai.. Menjadi tiara yang bertakhta di hati dan sanubari.. Menjadi penawar kala racun merebak memakan diri dan menjadi bintang yang menyerikan nasib dimalam hari.. Mungkin insan ini mula mengerti apa yang diiktiraf sebagai janji, kasih dan cinta..


Insan ini akan terus yakin bahawa 26 julai yang mendatang akan tidak pernah lagi kusam dan muram kerana pelukis dan pewarnanya ada disisi menemani... Mungkin seseorang masih mencari tetapi insan ini telah menemuinya dalam perjalanan panjang yang penuh liku, onak dan duri.. Ya, benar sabda Rasulullah SAW ''kemenangan bagi orang-orang yang bersabar''...

Insan yang dimaksudkan adalah diri ini sendiri... Vie Shantie bte Harun...

Monday, July 20, 2009

Cermin Peribadi Yang Sempurna..

Kita sentiasa mencapai sesuatu yang kita label sebagai 'KESEMPURNAAN'. Maslow menyatakan bahawa manusia sentiasa memperbetulkan hidup mereka demi mencari satu tahap yang dipanggil sebagai 'sempurna', Manakala Adler pula menyatakan bahawa setiap kita cenderung untuk mempelajari hidup untuk mencari kesempurnaan dan disokong oleh Frued yang menyatakan bahawa naluri Id sering dikawal oleh super ego kita. Id adalah naluri tidak sedar dan super ego adalah pandangan positif tentang tindakan yang kita lakukan. Huraian tadi adalah teori-teori yang dikemukakan oleh ahli-ahli psikologi tentang 'mencapai kesempurnaan kendiri' bagi setaip individu itu.

Apalagi jika disentuh soal pengajaran 'islam', islam adalah agama yang sempurna. Setiap muslim diwajibkan bertaubat untuk menyucikan diri mereka daripada dosa-dosa yang lepas. Apakah hikmah disebalik suruhan ini ? Hikmahnya adalah... Agar kita boleh memberikan peluang kepada diri kita sendiri untuk mencapai kesempurnaan. Dari mana kesempurnaan ini boleh terjadi ? Biar Vie bercerita dari sudut pendangan vie sendiri melalui pengalaman dalam kehipun yang Vie lalui..

Jika kita mengharapkan kesempurnaan, maknanya kita telah membuka ruang untuk sesuatu 'perubahan'. Perubahan haruslah dimulai dengan 3 perkara utama. 1- Bermula dari diri sendiri.. ke 2- Berlaku serta-merta dan ke 3- Permulaan dari perkara yg kecil..

1- 'Bermula dari diri sendiri', maknanya kita jangan menuding telunjuk pada individu lain sedangkn kita sendiri masih dengan perangai lama kita. Jika menuding terlunjuk pada indvidu lain maknanya kita tidak memberi ruang pada individu itu untuk berubah. Hal ini sama juga keadaannya dengan diri kita. Maka, untuk melihat perubahan pada individu lain, kita kena tunjukkan moral yang lebih baik agar dapat dijadikn contoh pada masyarakat lain.

2-'Berlaku serta-merta', maknanya jangan ditunda dari minit ke jam, dari jam ke hari, dari hari ke bulan dan dari bulan ke tahun pula. Alamatnya, kita akan mati dgn roh yang kosong tanpa ada kepuasan hidup sebagai hamba yang bertaqwa. Kematian kita hanya Allah SWT sahaja yang tahu makanya jangan ada pernyataan ''nantilah aku berubah'' siapa tahu perkataan ''nanti'' itu tidak lagi milik kita.

3- 'Permulaan dari perkara yang kecil', maknanya di sini jika kita hendak membuat suatu bangunan yang besar maka kita harus membinanya dari himpunan batu-bata yang kecil. Sama juga keadaannya dengan ombak yang menghempas batu karang di tepian laut, lama-kelamaan batu karang itu akan goyah dan terhakis sedikit demi sedikit. Sedangkan batu itu keras kan ?? Lagipun mungkin ianya kecil di mata kita tapi besar di mata Allah SWT.


Dikaitkan pula dengan hak individu, setiap kita mempunyai keinginan dan kemahuan yang berbeza-beza. Tapi tetapkan keinginan itu pada satu matlamat yang utama iaitu kita semua inginkan kebahagiaan.. Dari mana kebahagian boleh diraih ? Semuanya bergantung pada sejauh mana kita mengiktirafkan 'kesempurnaan' yang ingin kita capai..

Kita juga perlu ingat, 'kesempurnaan' itu sentiasa dicari oleh insan yang serba kekurangan seperti kita. Maknanya, tidak ada diantara kita yang sempurna tapi kita boleh pergi kearah itu 'KESEMPURNAAN'...



Wallahua'lam...

Sunday, July 5, 2009

Julai 7, 2009

Detik mula aku mengenalmu seolah-olah alam ini berbicara padaku..
Udara tidak pernah sesegar sebelum ini,
Mentari pula tak seriang seperti biasa,
Dan entah bagaimana hari ini ada saja pelangi disana-sini..

Hatiku bagai tidak pernah seriang ini,
Senyuman juga tak pernah semekar ini,
Dan ingin sahaja aku menyanyikan lagu-lagu cinta untuk menyatakan yang sebenarnya...

Terasa rindu yang teramat dan terlalu dingin ku rasai,
Seakan jiwa dan ragaku dipeluk oleh seseorang..

Ketika kau mula merapatkan dirimu padaku,
Aku seperti sedang melihat dunia ini hanya untukku..
Tidur, Makan dan Hariku hanya teringatkan mu..
Kau curi segalanya..
Dan ingin aku luahkan padamu bahawa Kau hidup dihatiku..

Saat kau melafazkan cintamu padaku,
Hanya TUHAN sahaja yang tahu jatuhnya hatiku ke dalam lubuk yang paling dalam..
Terlalu keramat ! Indah....
Hanya kau sahaja yang membawa aku ke alam ini..
Tiada siapa lagi yang pernah memberikan kehangatan seperti cintamu pada ku..

Sungguh telus dan luhurnya cintamu,
Ketika hidupku dilempar bebanan duri dan dusta yang terbesar sehingga bisa mencabut roh serta nurani...
Ketika itulah kau telah menggenggam erat tanganku
Dan bersedia untuk mengharunginya bersama..

Inginku katakan,
Perlindungan yang dikau beri dan hamparkan seakan satu mukjizat kepadaku..
Cinta ciptaan TUHAN ini,
Benar-benar memberikan satu nafas dan semangat baru dalam aku menyusuri liku-liku hidup ini..
Kau membawa pengertian yang tidak bisa dilafaz dan diterjemah oleh sesiapa..

Detik cinta kita berpadu di mahligai perkahwinan,
Sekali lagi kau berikan aku satu darjat yang teragung bagi seorang perempuan iaitu gelaran 'ISTERI'..
Membersihkan kotoran pada tapak kaki perjalanan hidupku
Dan menghapuskan debu-debu Serta bisa mulut orang terhadapku..

07 JULAI 2009
,
Genap usia perkahwinan kita yang ke-2 tahun..
Dalam perjalanan ini, Kau telah melakar corak hidupku yang dulu kusam namun kini bergemerlapan..

Ketika tidur aku mula melihat mimpi indah
Dan apabila tibanya pagi aku berani melihat mentari kerana ku yakin kau bisa melindungiku..
Aku sedar, hariku takkan indah tanpa bisikan kata
'I LOVE U, DARLING'..
Nurkilanku takkan berbunga jika tidak dari belai kasihmu,
Dan periku takkan secantik permaisuri jika tidak kerana kau rajanya..

Wahai suamiku,
Aku ingin kau tahu...
Takkan ada lagi cinta semekar ini,
Takkan ada lagi hidup sebahagia ini,
Dan takkan ada lagi mimpi seindah realiti ini..
Jika aku ditanya tentang indahnya syurga maka ingin aku nyatakan bahawa
'CINTA ITU ADA PADA EIZLAN YUSOF '

Thursday, June 18, 2009

Pahit Matahari, Manis Untuk Pelangi..

"Disebalik awan yang tebal, Tuhan sembunyikan matahari dan siapa tahu, disebalik awan itulah, Tuhan hadiahkan pelangi"

Kita selalu merintih nasib apabila musibah datang tetapi kita lupa bahawa musibah itulah yang memberi kita kekuatan... Banyak perkara yang boleh di tukar dengan wang, tetapi ada satu perkara yang tidak pernah dinilai dengan wang, iaitu pengalaman... Buat apa merintih jika tahu bahawa Allah SWT bersama-sama orang yang sabar? Iman membuktikan kekuatan takwa dan redha kita pada Allah SWT... Tiada esok untuk 'dirancang' dan tidak wujud istilah 'penyesalan' jika kita mengetahui tentang nasib kita di masa akan datang, maka jalan yang terbaik adalah tawakal padaNYA.

Arwah 'nenek' Vie pernah berpesan, Jangan terlalu makan 'gula-gula' nanti dapat kencing manis... Dan sesekali sakit kepala penawarnya adalah 'panadol' yang amat pahit.. 'Nenek' juga sering berpesan, yang manis itu jangan terus ditelan kerana yang manis itu bukan semuanya baik... Kadang-kadang yang manis itulah racun dan yang pahit jangan terus dibuang... Kadang-kadang yang pahit itulah penawar.. Jika ingat tentang 'gula-gula' dan 'panadol' maka diri ini sedar bahawa inilah realiti kehidupan yang sementara.. Kita berpijak dibumi yang nyata, sakit memang menyeksakan.. Tetapi bukankah dari sakit itulah dapat menghapuskan 'dosa-dosa' kecil?... Dan sakit itu juga mengingatkan kita pada Allah SWT... Perkara yang manis itu sering membuat kita lalai, sehingga sanggup melupakan 'Tuhan' yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa dengan setiap apa yang kita lakukan...

Pengajarannya disini, jadikanlah yang pahit itu sebagai kemanisan hidup kerana dari yang pahit itulah kita belajar erti 'hidup' dan menjadikan kita kuat, tabah dan biasa dan janganlah terlalu mengagungkan perbuatan manis kita kerana kemanisan itu sering diakhiri dengan kemudaratan.. Seperti keadaan kita menjual kuih di tengah panas, terlalu pahit menjual kerana pelbagai rintangan harus dilalui... Tetapi apa yang manisnya adalah apabila mendapat duit yang halal dan bersama dalam redha Allah SWT...

Pilihlah antara dua keadaan, 'PAHIT' dahulu tapi 'MANIS' dikemudian hari atau 'MANIS' dahulu tapi 'PAHIT' di kemudian hari? Jika kita takut dengan penyeksaan selepas mati maka kita akan memilih pahit dahulu.. Kerana setiap kesengsaraan itu sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah SWT tetapi jika kita memilih 'MANIS' dahulu maknanya kita bersedia mengenal apa yang dipanggil "SEKSA KUBUR"...


Wallahua'lam... !

Monday, June 1, 2009

Mengapa 'Insan' Tetap 'Insan'..

'Insan' diertikan sebagai mahluk tuhan yang pelupa. Mengapa Pelupa, kerana lalai ? kerana dalam diri setiap insan itu mengandungi nafsu. Nafsu dicipta Allah SWT adalah untuk menguji hamba-hambaNya dan yang mengawal nafsu adalah kekuatan iman dalam diri seseorang insan itu. Tahukah anda bahawa setelah 9 kali tuhan membakar nafsu ke dalam neraka barulah nafsu itu mengaku bahawa Allah SWT adalah tuhannya dan satu-satunya tempat untuk ditaati. Setiap yang dicipta Allah mempunyai pasangannya, bagi menemani nafsu dalam diri seseorang insan, Allah menciptakan akal untuk memberi petunjuk kepada nafsu. Namun jika akal tidak diasah dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat melalui pendekatan dalam Al-Quran, ilmu-ilmu sivik, akidah dan teladan maka akal akan menjadi tumpul dan terbantut. Tonny Buzan menyatakan bahawa "kita yang membatasi otak kita". Maknanya disini, akal kita terbantut jika kita percaya setakat itulah kemampuan kita. Jika perkara itu berlaku, tidak mustahil kita akan dikenali sebagai insan yang 'bodoh' atau dalam bahasa manisnya seperti 'katak bawah tempurung'.

Mari kita lihat 'insan' sebagai lelaki dan wanita. Allah SWT mencipta 9 akal dan 1 nafsu untuk lelaki manakala bagi wanita, Allah SWT mencipta 9 nafsu 1 akal. Jika kita berfikir dengan waras, mengapa perlu wanita dengan lelaki itu dipasangkan ? Ia semata-mata adalah untuk melengkapi antara satu dengan lain. Jika lelaki dan wanita yang waras disatukan maka sempurnalah 10 akal dan 10 nafsu itu. Tetapi jika terus dipisahkan, semua ini akan terjadi percanggahan dan tidak bermakna.

Menyentuh soal akal dan nafsu, kita sering berhadapan dengan situasi yang mana 'insan-insan' sering menyalahkan 'sebelah pihak' dan bagi kita yang terbaik itu adalah diri kita. Ungkapan 'insan' amat wajar untuk kita yang bergelar manusia ini kerana kita sering lupa bahawa 'sebelah pihak' itu juga mewakili kita. Tahu mengapa ? kerana kita juga diadili dan dihakimi 'insan' lain. Masalahnya disini, pernahkah kita bertanya pada diri sendiri "Baik sangatkah aku ini sehingga sanggup melihat orang lain lebih jahat dari aku?" sedangkan dalam persoalan ini pun kita telah menghakimi orang ?

'Insan' sebagai 'pembunuh'. kita sering mentakrifkan 'pembunuh' adalah insan A membunuh insan B tapi sebenarnya jika kita membuat buruk dibelakang orang lain turut dikenali sebagai 'pembunuh'. Kelakuan buruk yang dimaksudkan seperti mengumpat, mencaci, mengadu domba, apalagi memfitnah. Jika kita pernah berbuat begitu maknanya kita telah 'membunuh maruah insan lain', 'membunuh kehidupan insan lain', 'membunuh masa depan insan lain, ' membunuh semangat insan lain', dan yang paling durjana adalah sekaligus 'membunuh kebahagiaan insan lain'. Jika anda tergolong dalam insan 'pembunuh' adakah kita masih boleh menikmati hidup sendiri sedangkan orang yang kita bunuh itu dalam kedukaan dan kesakitan ?

Mungkin persoalan-persoalan seperti ini harus kita tanya sekiranya 'pembunuh' itu adalah 'aku' : 'Sedang aku dalam hilai ketawa mangsaku pula dalam tangisan, 'sedang aku tidur lena mangsaku pula dalam terjaga, 'sedang aku mengambil kesempatan mangsaku pula dalam kesempitan', 'sedang aku dalam keseronokan mangsaku pula dalam keperitan' dan 'sedangkan aku menikmati dunia mangsaku pula berfikir untuk meninggalkan dunia'.

Mungkin masa ini kita tidak merasa kerana tidak menggunakan akal untuk berfikir secara waras dan inilah bukti kemenangan nafsu kita. Nafsu yang menghanyutkan kita ke satu jurang yang paling layak iaitu NERAKA jika simangsa tidak memberi ruang untuk KEMAAFAN.

Wahai 'insan-insan' yang bergelar lelaki, pimpinlah wanita dengan kurniaan 9 akalmu kerana wanita mudah terpesong dengan 9 nafsunya dan jika kamu (wahai lelaki) ingin menikmati kebahagiaan dunia maka lengkapilah 1 nafsumu dengan 9 nafsu dari wanita. Sesungguhnya sebaik-baik perhiasan dunia adalah dari wanita solehah dan diriku yakin, seyakin-yakinnya jika segalanya terkawal oleh iman dan ehsan maka tidak akan berlaku kepincangan dan penindasan dari kita yang bergelar 'insan'.

Assobru minal iman !

Wednesday, May 27, 2009

Astagfirullah A'lazim.. !

A'u'dzubillahiminnasyaitannirazim.... !

Vie terpanggil untuk menulis lagi di blog kesukaan ramai ini apabila seorang 'hantu' (kerana tak mengenal identitinya) yang telah menghantar 'komen' yang berisi satu laman blog (yang sedang menikmati atau menumpang glamour orang lain demi untuk mempublisitikan blognya). Vie tahu tujuan dan objektif sebenar 'hantu' tersebut, ia semata-mata ingin memprovoke dan memalukan Vie untuk memuaskan hatinya. Tidak cukup dengan itu, 'hantu' ni telah menghantar alamat blog tersebut kepada EY dan ternyata tujuan utamanya adalah untuk memporak-porandakan hidup dan rumahtangga orang.

Kewujudan 'hantu' ini ternyata mempunyai satu motif yang jelas iaitu dia menginginkan Vie sengsara dan terus menderita. Cerita-cerita yang dilemparkan dalam blog tersebut sangat pedih sehingga boleh meluluhkan hati dan nurani. Namun Vie bersyukur kerana sokongan dan dorongan EY pada Vie telah menguatkan hati dan perasaan Vie untuk berhadapan dengan 'hantu-hantu' ini dengan tabah dan bertawakal kepada Allah SWT. Mujur juga Kakak Vie sendiri mempunyai kebolehan untuk memberi motivasi pada Vie, begitu juga dengan ahli keluarga yang lain serta sokongan daripada kawan-kawan pada Vie.

Vie ingin tegaskan kepada 'hantu-hantu' yang tidak berperikemanusiaan dan tidak mempunyai nilai sivik dalam diri mereka ini bahawa kita hidup dimuka bumi ada ketikanya kita berada diatas dan ada masanya kita akan merasa jauh dibawah cuma yang membezakan adalah masa dan keadaan. Mungkin dengan kebiadapan yang anda lakukan ini anda akan peroleh kepuasan tetapi sebagai insan yang berhadapan dengan keperitan situasi ini Vie hanya mampu meluahkan perasaan sedih Vie.

Penganiayaan yang berlaku mendesak Vie menulis.... 'sebagaimana hancur dan luluhnya hati Vie dengan apa yang telah mereka lemparkan pada Vie, Vie berdoa agar mereka akan merasa penderitaan itu lebih teruk daripada apa yang Vie terima', 'kepada sesiapa yang menyebarkan fitnah, hasutan dan cacian yang tidak berasas itu, Vie tidak pernah akan memaafkan mereka kerana tindakan durjana mereka boleh menimbulkan padangan buruk masyarakat terhadap kehidupan Vie', 'Jika mereka memberikan keburukan kepada Vie sedangkan Vie tidak pernah mengacau hidup mereka, Vie berdoa agar mereka merasa keadaan yang sama suatu masa nanti' dan 'jika niat mereka ingin memporak-porandakan hidup Vie, Vie berdoa semoga tiada syurga buat mereka kelak kerana kita semua tahu bahawa "tidak cium bau syurga bagi sesiapa yang memutuskan silaturrahim, sesiapa yang menfitnah dosanya sebesar seperti membunuh dan yang mencerita keaiban seseorang seperti memakan daging saudaranya sendiri".

Apa yang mencerminkan peribadi 'hantu-hantu' ini adalah sikap mereka sendiri, selain mengata dan memfitnah hidup orang secara liar mereka juga memperlihatkan kebodohan mereka sendiri dengan bergaduh sesama sendiri dalam blog sanjungan mereka tersebut. Ternyata mereka adalah dari golongan yang mempunyai nilai moral dan sivik yang rendah. Vie tahu mereka mengikut perkembangan Vie sebab itulah Vie sentiasa 'dihantui' kiriman yang tidak beridentiti ini dan kerana itu jugalah Vie menggelarkan mereka 'hantu' kerana kehadiran mereka cukup 'mistik' iaitu tidak dikenali dan tidak diketahui.

Buat 'hantu-hantu' sekalian, Vie memang kisah dengan apa yang telah kamu rencanakan tapi Vie ingin anda semua tahu bahawa VIE TERSANGATLAH BAHAGIA DENGAN KEHIDUPAN VIE SEKARANG. Sebenarnya, Vie tahu siapa punya angkara ni semua tetapi biarlah Allah SWT yang membalas segala amalan 'hantu' tersebut kerana Allah SWT yang mengadili hamba-hamba-Nya. Biarlah Vie ingatkan disini, segala amalan dan tingkah laku kita dihisap oleh Allah SWT bukan 'hantu-hantu' sekalian. Lihatlah diri anda dahulu sebelum mengata orang ! Semua orang tahu bahawa hidup Vie telah menjadi lebih baik dari dulu sebab tu ramai yang ingin menjatuhkan dan menghancurkan... tapi hidup anda bagaimana ???!!
Kesian...

Bila berhadapan dengan "HANTU-HANTU" sebegini satu perkataan yang mampu Vie ucapkan iaitu A'u'dzubillahiminnasyaitannirazim.... !

Saturday, May 9, 2009

Buat Wanita Yang Bergelar 'IBU'..

Disini,
Tiada yang adil diperkatakan..
Betapa pun berat mata memandang..
Sarat sengsara yang menanggung..
Hakikat cinta ibu pada anaknya..
Kita merasa, tapi tahukah betapa nilainya ?
Perempuan,
Seorang wanita yang ku kenal sebagai 'IBU'..
Mengandung.. Bertarung nyawa melahirkan..
Menyusukan juga Membesarkan..
Pernahkah dia berkata 'penat atau bosan'?
Aku pernah dengar budinya tapi tidak percaya
Dan bila ku lihat dengan suara hati..
Itulah Ibu..
Ibu yang rela mengorbankan masa..
Bersengkang mata, Membuka salur telinga
Dan Membanting tulang empat kerat untuk membesarkan anaknya..
Tidak jijik dan meluat..
Bermain dengan najis..
Tidak marah dan benci..
Mendengar sumbang suara tangisan anaknya..
Tidak sesekali meragui dan kesal..
Mendapat anak yang entah apa jadinya kelak..
sebaliknya Ibu menyambut anak dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran kehadrat Illahi..
Hari ini dan disini..
Kita hidup kerana jasa, pengorbanan dan semangat Ibu..
Dan aku pasti..
Ibu tidak meminta balasan serta ganjaran..
Hanya mengharap secebis kasih cuma..
Dari insan yang bernama ANAK..

"SELAMAT HARI IBU" buat Ibuku yang tersayang, JULIAH AHMAD

Thursday, May 7, 2009

Nilai Kemanusiaan

"Kenapa Masyarakat tidak memberi kesempatan untuk seorang insan lain memperbetulkan hidupnya ?"

Vie dikejutkan dengan satu komen yang telah dihantar oleh seorang hamba Allah yang Vie tidak kenali identitinya yang mengatakan bahawa seolah-olah Vie meminta simpati dari pihak pembaca dengan mengutarakan pendapat yang Vie luahkan di blog peribadi milik Vie sendiri walhal kehadiran blog ini sesekali tidak pernah akan mengganggu hidupnya.

Bagi Vie, setiap individu mempunyai hak peribadi untuk melakukan apa saja yang mereka hendak lakukan asalkan perkara itu tidak mengganggu kehidupan orang lain. Dalam Blog Vie ini, Vie banyak mengutarakan soal pendapat Vie berpandukan dengan pengalaman masa lepas dan masa kini yang telah banyak berlaku di sekeliling kehidupan Vie kerana Vie percaya bahawa kisah-kisah dalam hidup Vie boleh diambil iktibar untuk dijadikan pedoman dan landasan kepada kehidupan orang lain.

Jika Vie meminta simpati, mengapa ada individu lain yang masih hendak mencabar Vie untuk menghentikan topik-topik dalam blog Vie dan beliau menyuruh Vie menceritakan tentang kebahagiaan yang Vie miliki sekarang. bukankah kehadiran insan-insan sepertinya yang tidak senang melihat kebahagiaan yang dimiliki oleh orang lain lalu sewenang-wenangnya mengkritik kehidupan orang lain ? Dulu orang tidak kenal siapa itu Vie shantie binti Harun tetapi apabila Vie ditakdirkan berkahwin dengan EY banyak pula timbul kejadian-kejadian yang ghaib lagi ajaib berlaku dalam kehidupan Vie. Bolehlah Vie katakan disini bahawa "Bila kita senang orang cuba menjatuhkan kita tapi bila kita mula bersuara duka orang kata kita minta simpati". Ada sesiapa yang boleh bagitau Vie, apa jalan terbaik untuk Vie ?

Syukurlah, adanya Blog seperti ini sedikit sebanyak dapatlah membersihkan nama Vie yang telah diconteng dengan hina dari mereka-mereka yang tidak mempunyai jiwa kemanusiaan. Pernahkah mereka memikirkan bagaimana susahnya untuk menghadapi kesukaran ini ? Pendek cerita, pernahkah mereka memikirkan bagaimana payahnya menjadi Vie Shantie ?

Semua orang mempunyai keinginan untuk memperbetulkan hidup mereka. Ahli Psikologist seperti Gestalt menyatakan manusia mengarah ke tahap 'kesempurnaan kendiri' sebab itulah manusia sentiasa mencari ruang dan masa untuk bertanggungjawab merubah hidup mereka agar menjadi lebih baik dari sebelumnya. Dalam teori Psikoanalisis yang diasaskan oleh seorang tokoh yang bernama Sigmund Frued pula menyatakan bahawa manusia sering mengelak dari menjadi pesalah dengan menggunakan kemahiran membela diri secara tidak sedar yang dikenali sebagai 'Mekanisma Bela Diri'. Ini bertujuan untuk mempertahankan diri dari berterusan diserang oleh konflik dan dijadikan sebagi pesalah dalam kehidupan mereka. Cukuplah keterangan ini menyokong hujah Vie bahawa semua individu ingin memperbetulkan kehidupan mereka demi mencari sebuah kesempurnaan serta kebahagiaan.
Vie percaya, tidak ada seorang insan pun di dunia ini ingin dijadikan hamba dari cacian dan hinaan mulut orang. Begitu juga dengan Vie, sebab itulah jika insan-insan lain seringan nya mengutuk tentang diri Vie, walhal kami tidak pun saling mengenal antara satu dengan lain Mengapa tidak diri Vie yang dijadikan seperti 'Pisang goreng yang panas' ini sendiri tampil untuk membela diri Vie sendiri ? Salahkah Vie bertindak begini ?

Selama ini Vie tidak pernah mengacau hidup orang apatahlagi ingin menjadi 'dalang' untuk memusnahkan maruah seseorang. Ingin Vie tegaskan disini, hadirnya Blog ini adalah untuk menjadi bingkisan sebuah luahan perasaan dari pengalaman yang banyak menjadi 'guru' kepada Vie. Kalau pembaca boleh perasan, Vie banyak menggunakan 'Persoalan' sebab Vie mahu kita bersama-sama memikirkan jika anda berada dalam situasi Vie Shanti, bagaimana dan apa yang akan anda lakukan ? mungkin anda juga akan mengambil keputusan yang sama.

Kita kena sedar bahawa kita adalah insan yang lemah yang bermaksud kita tidak lari dari melakukan sebarang dosa sama ada dosa itu datang sebagai dosa yang besar mahupun dalam bentuk dosa yang kecil. cuma yang membezakan kita adalah takdir ! Sebab itulah kita diberitahu oleh agama bahawa Allah SWT menyuruh hamba-Nya bertaubat pada setiap kali melakukan dosa. Bukan kah Dia yang Maha Mengetahui atas semua kejadian kerana Dia yang mencipta semua hamba-hamba-Nya ? Kita jangan lupa kenyataan bahawa 'semua insan itu adalah lemah' dan tidak akan lekang dari berbuat dosa. Setelah itu, kita akan berasa menyesal lalu cuba untuk kembali kepada jalan-Nya. Hanya pada Allah SWT tempat kita memohon keapunan kerana Dia Maha Pengampun dan jika manusia yang diamanah untuk mengampunkan manusia maka tidak ada seorang manusia pun yang akan bersih dari dosanya walau berkurun kalinya dilahirkan di dunia ini kerana manusia bersifat pengunkit dan perjudis terhadap orang lain.

Wahai Pembaca yang dihormati sekalian, cuba renungkan... Jika seorang pencipta boleh mengampunkan hamba-Nya sedangkan Dia bisa menarik segala kemanisan hidup yang diberi oleh-Nya hanya dengan sekelip mata, mengapa tidak kita sesama manusia yang serba-serbih kekurangan ini ?

Fikirkanlah, Perjalanan hidup kita akan terhenti bila sampai ke destinasi yang telah ditentukan. Bekalkanlah hidup kita dengan amalan yang berguna dan bukannya menghancurkan roh dan jasad untuk dijahamankan di akhirat kelak. Takutlah pada Allah SWT, kerana akan sampai waktunya kitakan kembali pada-Nya. Semakin hari Vie dihina dan dicacih semakin banyaklah pahala Vie perolehi manakala keadaan pengumpat-pengumpat dan penghina-penghina ini hanya melabur dosa dicacatan amalan hidup mereka. Cuma Vie sebagai insan terlalu lemah untuk menghirup segala kekotoran lembaran dari bicara-bicara liar dari mulut mereka yang tidak berperikemanuisaan ini.

Dan sekurang-kurangnya, Vie telah bertaubat dan kembali di jalan yang berlandasan langkah sepatutnya Vie susuri. Anda pula bagaimana ??

Pada kesempatan ini, Vie mohon maaf jika Vie pernah berbuat dosa pada kalian sehingga timbul perasaan dendam dan nekad untuk menjatuhkan hidup Vie. Tetapi jika Vie tidak pernah mengacau hidup kamu, Vie mohon berilah Vie ruang untuk bernafaz dan menikmati kehidupan yang Vie perolehi sekarang. Lagipun setahu Vie, Vie tidak pernah mengganggu hidup orang dan Vie harap kamu sedar akan hakikat itu...

KITA TIDAK AKAN TERSALAH LANGKAH, JIKA KITA TAHU TAKDIR KITA UNTUK HARI ESOK !