Tuesday, October 5, 2010

Berpisah Dengan Mu, Luluh Hati Ku..

Sejak pertama kali detik jantungnya tertanam dikandunganku dan selama 9 bulan 1 hari, puteriku Zaara tidak pernah berpisah denganku sehingga hari ini. Pertama kali menjadi sejarah dalam hidupku bila aku terpaksa meninggalkan dia. Dalam 2 tahun 5 bulan, Zaara masih lagi berkongsi susu dengan adiknya Zareef.. Bukan menjadi keberatan kepadaku akan tanggungjawab itu, tetapi kesihatan badanku tidak mengizinkan untuk aku memikulnya. Besar harapanku agar perpisahan kami ini akan membuatkan dia alpa pada 'NENEN' yang selalu menjadi kekasih hidup dan teman karipnya diwaktu siang dan malam.

Jam di tangan kananku menunjukkan pukul 12:30 tengah hari, perpisahan kami sejam yang lepas benar-benar memukul jiwaku dan seakan-akan aku tidak rela meneruskan perjalananku untuk kembali ke Kuala Lumpur. Ternyata aku tidak dapat menahan sebak didadaku, linangan airmata terus jatuh mencurah bagaikan hujan.. Aku cuba mencari ketenangan namun apabila dia hadir dibenakku, dia telah mencuri akalku dan air mata ini pasti akan mula berkolam sekali lagi. Dihati kecilku, aku bertanya 'Jika ada seorang ibu yang selalu meninggalkan anak nya berminggu-minggu, dan kekadang sampai bertahun lamanya.. Apakah perasaan mereka ? Ada ketikanya mereka susah untuk bertanya kan khabar '.. Tapi aku, belum pun sampai sejam berpisah.. Aku sudah mulai tidak keruan..

Andai saja Zaara bisa tau, ini adalah untuk kebaikan dia dan ibunya. Jika tidak kerana Zareef dan tubuh badan ku yang selalu sakit, pasti aku akan menyusukan dia sehingga dia sendiri menolakku.. Disekian waktu dulu, aku teringat akan zaman kanak-kanakku dimana ibu terpaksa meninggalkan kami demi mencari nafkah membesarkan kami dan menjadikan kami insan pada hari ini. Kini barulah aku faham dan sangat mengerti tentang kasih sayang seorang manusia yang bergelar 'IBU'.. Zaara anakku sayang, maafkan ibu kerana terpaksa berpisah sementara waktu dengan mu.. Ketahuilah sesungguhnya biarpun lautan memisahkan kita namun tiada sedetik waktu pun ibu melupakan mu dalam fikiran ini.. Ku amat menyangimu wahai anak ku..

Tuesday, September 14, 2010

Antara Rasa Dan Kenyataan

Bismillah..

Vie memulakan tulisan ini dengan izin dari Allah SWT.. Mungkin tulisan ini lain ceritanya dengan yang lain tetapi akar umbinya tetap sama iaitu ku lihat dan ku rasa dari pengalaman ku sendiri..

Sering kali peristiwa itu menjadi tanda tanya kepada ku.. Mungkinkah segala rasa dan kenyataan itu berbeza bagi setiap manusia ? Sehingga menjadi satu tabiat dan sikap yang membentuk seorang insan untuk menjadi lebih peka dan afdal kepada kehidupannya... Atau mungkin kehadiran keyakinan yang rendah untuk memiliki kesempurnaan diri ? Atau juga langsung tidak mahu mengubah apa-apa kerana takut untuk berhadapan dengan kenyataan ?

Entahlah... Walau apa pun persoalan yang dilontarkan.. Hakikatnya inilah kehidupan yang terpaksa kita tempuhi dalam kerendahan keredhaan dalam diri.

Rasa ? Sering dikaitkan dengan sesuatu yang tidak bisa kita lihat tetapi hanya bisa disentuh oleh hati dan perasaan. Lalu kita cuba ungkapkan ia dengan belaian dan kata-kata.. Namun ciptaan Allah SWT pada 'rasa' itu lebih besar dari segala perbuatan sekalipun dibina segah Taj mahal untuk menggambarkan betapa hebatnya 'rasa'.

Kita takkan bisa melihat ajaibnya 'rasa' jika kita tidak hadir dalam semangat jiwa kita sendiri untuk meluahkan segalanya dalam bentuk sebulat perbuatan baik kata-kata mahupun sentuhan. Bagiku, insan yang hidup dalam jiwanya adalah insan yang menikmati seluruh hidupnya dengan penuh erti dan makna. Syurga itu ada kekal di sana (akhirat) tapi 'rasa' akan menemukan kita dengan hembusan angin syurga di sini (dunia), dengan keikhlasan yang ada di hati.

Keadaan akan jadi berbeza jika insan yang hidup dalam karektor lahiriahnya yang hanya berpandukan pandangan sosial semata-mata.. Mungkin memuaskan hati semua orang tapi bukan hatinya sendiri dan sesat dalam perjalanan hidupnya sendiri kerana terlalu banyak tanda tanya yang tiada berpenghujung dan tiada jawapan ikhlas yang nyata.. Mungkin yang ada cuma lakonan lahiriah dan watak kenyataan semata-mata. Apa Akhirnya ? Mungkin juga cuma tinggal simpati dan kata takziah ! Erm.... Kemudian hati akan berbisik "bersyukur pada apa yang ada". Jadi apa guna akal yang tiada batasan ? Apa guna Tuhan cipta tulang empat kerat ? Apakah segala kata-kata redha yang tiada keikhlasan itu terus-menerus akan keluar ?

Kita mungkin takkan membuka mata jika belum kenal buku dan ruasnya. Tapi bila dah kena batang hidung sendiri, ketika itu pula wujud persepsi kotor.. Contonnya "Biarlah ini terjadi.. Hanya Tuhan saja yang membalas segala kejahatan" paling tidak pun "Hari ni hari aku, ada juga hari kau nanti". Rentetan dari cerita itu, kita seolah-olah menyerah pada Tuhan untuk menghukum segala kejadian sedangkan itu semua berpunca dan bermula dari sebarang 'persoalan' yang kita timbulkan.. Bagus ! Inilah org tua-tua cakap "menepuk air di dulang terkena muka sendiri", kalau dah sendiri yang mula kenapa tidak sendiri yang menghabiskan ??

Itu adalah kenyataan yang apa saja rasanya baik manis, pahit, tawar, asam ataupun masin.. Kita kena terima dan tempuhi juga.. Kerana ini adalah hidup yang takan ada sempurnanya tapi sesungguhnya kita mampu membuatkan ia secukup rasa..

Wednesday, July 14, 2010

07.07.2010 - Lahirnya mimpi yang tidak pernah ku impikan.

Bolehkah aku berkongsi bersama semua tentang lakaran 3 tahun jalan hidupku bagaimana perasaan dan pengalaman menjadi suatu sejarah indah yang telah dibuai oleh masa

Dikala hatiku telah dicuri olehnya, daku melihat dunia dari suatu rungan yang cukup indah.. Tentang bagaimana terhasilnya cerita cinta Juliet terhadap Romeonya, yang rela berkorban nyawa demi isi sebuah cinta… Bagaimana deritanya hati Shah Jahan menerima kepahitan akibat kehilangan Mumtaz seklaipun Taj Mahal digalas gantinya… dan bagaimana kuat kasihnya Samson pada Dlaila hingga tiada rahsia lagi akan kelemahan dirinya sehingga meragut keistimewaan baginda..

Bagitulah indahnya cerita hidup ini jika ingin digambarkan cerita hidupku… dari mata seorang insan yang sudi mengankat darjatku di mata masyarakat sehingga menukar segala prasangka dan syak terhadap diriku… Insan ini telah membawa segala kegembiraan dunia yang mungkin dulu tidak pernah terfikir oleh ku untuk melihat atau merasa secara nyata..

Jika ada senyuman berbunga dibibirku maka datangnya dari dia... Jika ada mimpi indah ditidurku maka itu dari lamunannya… Jika ada ayat cinta yang terungkap, maka itu hasil dari layanan kasihnya…

Aku bukanlah sesiapa sehingga dia kutemukan… Dia menjadikan duniaku penuh makna... menjadikan aku seorang isteri, pencinta dan yang paling bahagia adalah ibu pada anak-anaknya…

Terima kasih wahai sidia kerana telah melengkapkan hidupku semahunya.. Atas nama Eizlan Yusof suamiku, kau lah cintaku sampai kepenghujungnya… InsyaAllah, Amin !!

Monday, May 3, 2010

Selamat Hari Lahir , Vie Zaara 03.05.10


Buat anakku Vie Zaara

"Setiap kata yang diungkap mungkin tidak seindah pengertian yang hendakku layangkan..

kerana kita sedia maklum bahawa impian dan angan-angan itu indah dari dunia yang nyata..

dan betapa hidup ini terlalu banyak persoalan yang tergantung tanpa sebarang jawapan..

Cuma yang pasti kita cuba menghindarkan diri dari sebarang kemusnahan"


Wahai anakku Vie Zaara,

Tatkala menatap wajahmu terasa benar sinar cinta dan sayang ini..

Seperti hadirnya cahaya yang lebih besar nilainya dari sang suria..

Kehadiranmu menjadi suatu cerita yang indah dalam sejarah kehidupanku..

Seakan aku tidak mahu melihat tubuhmu membesar dewasa...

dan takkan mampu melepaskan dikau diruangan kehidupan ini..

takut akan dikau berhadapan dengan derita.. dan jika itu terjadi, ibu merelakan kebahagiaan ibu menjadi pengganti pada tangis sedih kecewamu..


Wahai anakku Vie Zaara,

Jika dikau dapat fahami...

Maka ketahuilah bahawa ibu mengharapkan masa depanmu seperti kerlipan bintang yang menyinari ruangan kelamnya malam, menjadi titik kesayangan pada Penyair malam...

Ketahuilah juga bahawa ibu mengimpikan suaramu seperti laungan azan menyeru kebenaran pada simpang-simpang kepincangan kehidupan..

Selain itu, ketahuilah bahawa ibu mengangankan jasadmu seperti jula-juli yang memberi inspirasi pada ruangan kepercayaan kejayaan seseorang...

dan ketahuilah bahawa ibu meletakkn tempatmu seperti sebentuk permata yang diidamkan disetiap sudut hati insan untuk dimiliki namun nilainya terlalu tinggi dari semua batasan dunia...


Wahai anakku Vie Zaara,

Kerisauanku pada setiap inci tubuhmu, perasaanmu dan tingkah lakumu..

Tidak sesekali ibu merelakan 'calar' pada dirimu wahai sayangku..

Mungkin 'impian' ibu ini terlalu mahal untuk dimiliki diruangan kehidupan biasa...

Namun ibu ingin kau tahu bahawa betapa hebatnya kehadiranmu padaku..

Menjadi persoalan sebelum kehadiranmu, dan pabila dikau wujud di rahimku.. dikau menjadi 'impian dan angan'ku..

Kini, dikau segalanya seperti 'permintaanku' terhadap-Nya...


Wahai anakku Vie Zaara,

Ibu ingin kau tahu bahawa ibu 'terpaksa' berkongsikan dirimu pada dunia..

Kerana dikau bukan milik ibu tetapi milik Nya...

Segala perjalanan langkah kakimu selepas ini adalah segalanya dalam tangan Allah swt..

ibu hanya mampu mendoakan jasad dan kerohanian yang terbaik buat hidupmu..

Ingatlah pesan ibu,

Sebagaimana apa yang ibu ingin dikau fahami dan ketahui tentang impian ibu terhadapmu..

Dan sesungguhnya, dikau adalah seperti nyawaku..

Friday, March 26, 2010

Sekilas Ikan Di Air

"Personaliti kita adalah apa yang kita fikirkan, perlakuan kita adalah imej diri kita ''

Vie terpanggil untuk menulis tentang suatu peristiwa yang agak 'menghairankan' apabila ada individu yang 'syok' sendiri menghentam Vie di facebook mereka sedangkan Vie sendiri tidak tahu hujung pangkal 'drama' mereka. kalau dah 'syok' sendiri tidak apa tapi yang lebih ajaib ada pula KONONNYA Vie yang ambik tau kisah mereka.. Buat apa Vie nak kisah hal dia ? Dia ingat dia siapa ? Dia patut lihat dirinya sebelum dia menyatakan Vie cemburu dengan kehidupan dia.. Excuse me ?

Bukan Vie riak atau sombong tapi kadang-kadang bila kita tidak cakap, orang tidak akan nampak kesilapan mereka dan apa yang Vie ingin utarakan di sini adalah 'kenyataan' dari mata kasar Vie yang PATUT mereka terima (ini semua Anugerah Illahi).

Pertama, Alhamdulillah.. Allah SWT mencipta Vie dengan cukup sempurna dan sering diberi 'kredit' daripada pemerhati diluar sana. Selain tu, Vie bersyukur dijodohkan dengan EY yang sangat baik menjaga dan menerima Vie seadanya sebagai isteri, mempunyai anak yang disayangi ramai, ahli keluarga yang senantiasa menyokong Vie dan kawan-kawan yang ikhlas mendekati Vie. Lalu mengapa pula Vie harus cemburu pada dia sedangkan Vie ada semuanya?

Ke-dua, bukan Vie mahu mengejar glamour tapi rezeki yang berpihak kepada Vie. Perlu diingatkan disini ! Jodoh pertemuan di tangan Allah SWT. Salahkah Vie bernikah dengan EY ? dan inikah cara untuk orang menghukum Vie sekali lagi sehingga meletakkan Vie sebagai individu yang gila glamour ? Atau pun apabila Vie sering keluar di Media Massa (baik majalah mahupun TV), Segala ruang yang ada di media massa itu yang memilih Vie untuk buat pengiklanan dan bukannya Vie 'offer' diri untuk mengiklankan diri sendiri. Kenapa pula Vie mahu mengejar glamour kalau asyik dicemuh masyarakat, cuma Vie MESTI dan HARUS meneruskan hidup.. Kalau Vie asyik mendengar cakap orang.. Vie telah lama mati ! lagi-lagilah wujud insan seperti 'dia' yang tidak pernah puas untuk melihat orang menderita.

Ke-tiga, mungkin dimata segelintir masyarakat melihat sejarah silam Vie sangat kotor (walhal, mereka tidak tahu kejadian yang sebenarnya menimpa Vie dan mungkin itu saja yang dijadikan MODAL untuk mengutuk Vie) tapi MASA INI, sekurang-sekurangnya (Alhamdulillah) Vie berusaha untuk mengubah kehidupan Vie dari hari ke hari dan kita kena ingat bahawa hanya Allah SWT sahaja yang MAHA MENGETAHUI di mana tempat kita disisi-Nya sekarang. Bukan kamu !!

Ke-empat, bila Vie telah CUBA berubah (bertudung) mengapa ada pula insan seperti 'dia' yang sewenang-wenangnya menyatakan bahawa Vie 'berpura-pura' Astagfirulaala'zim !! Dari masa lepas, cukup Vie terima azab daripada segelintir masyarakat yang memandang diri mereka lebih suci dari segala-galanya. Tapi bila kita berubah, segelintir manusia-manusia ini tidak mahu menadah tangan menyambut kita dengan fikiran yang LEBIH positif... Vie bukannya mengharapkan belas ehsan daripada sesiapa tapi sekurang-kurangnya berhentilah 'menghukum' sehingga menimbulkan kekeliruan 'apa yg sebaiknya kita lakukan di dunia ni ?'.. Tapi Vie percaya dan menguatkan lagi semangat Vie bahawa 'Sedangkan Allah SWT yang mencipta hamba-Nya dimuka bumi ini pun sering dipersoal dan dipersalahkan. Inikan pula insan sesama insan yang sering menganggap diri mereka lebih istimewa dari insan lain'


Ke-lima, Vie tidak mahu jadi insan 'Bagaikan berludah mendongak ke langit lalu terkena muka sendiri' kerana kita adalah insan biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan, bila kita mengata orang akan tiba pula masa kita dijadikan bahan bualan masyarakat . Vie berpesan sesama kita, Janganlah jadi insan yang 'akibat nyamuk seekor habis kelambu dibakar'. Mungkin hari ini, kita bermusuh tapi mungkin disuatu hari kita saling memerlukan antara satu dengan yang lain untuk menjayakan dakwah agama kita. Kalau memandang diri tu benar-benar matang, mengapa perlu membuang waktu dengan saling bercakaran? bukankah ada banyak perkara yang boleh dilakukan bagi membina sivik dalam diri kita sendiri ?


Ke-enam, siapa diantara kami yang menjadi 'penyibuk' bila dia menggunakan (mengikuti) 'BLOG' Vie sebagai alasan bahawa Vie ni berlagak 'baik'? menggunakan nama Allah SWT sebagai 'batu loncatan' iaitu menyelitkan ayat-ayat Quran dan Hadith. Mengapa Vie mesti melakukan itu ? Mengapa Vie harus perdagangkan agama dan TUHAN Vie sendiri? kalau apa yang Vie lakukan ini sebagai satu kesilapan, pada siapa yang harus Vie jadikan teladan dan peringatan sedangkan yang meletakkan hukum itu adalah Allah SWT ?


Mari kita fikir sejenak...Orang yang baik tidak akan memikirkan perkara yang buruk pasal orang lain kerana yang 'baik' itu akan lahir dengan fikiran yang positif, manakala orang yang 'jahat' akan sentiasa memikirkan perkara yang buruk kerana sentiasa berfikiran negatif.. Jadi di manakah tempat Vie dan 'dia' sebenarnya?


Hidup ini ibarat lukisan, kita sendiri yang melakar coraknya manakala yang mentafsir itu adalah dari 'mata-mata' yang ada diluar sana. Baik matanya maka baiklah pujinya, rosak mata-nya maka rosaklah 'pandangan'nya.. Semua tertakluk kepada nawaitu hati budi 'mata'nya. Ingat ! Apa yang kita cakap adalah gambaran tentang sikap kita sendiri...


Mungkin dia bertuah sebab bukan semua masyarakat ingin mengetahui perihal hidupnya dan BERBEZA dengan dunia Vie yang mungkin lebih dikenali ramai dan sebab itulah segelintir manusia yang lebih banyak menilai Vie dari AIB yang diperkatakan orang.. Sehingga 'dia' boleh mentafsir darjat Vie terbakar di NERAKA. Mungkin kita lupa bahawa NERAKA DAN SYURGA ADALAH RAHSIA ALLAH SWT..


YA, BAIK ITU DATANG DARI ALLAH SWT DAN YANG BURUK ITU DATANG DARI KEKURANGAN KITA....


WaAllahua'lam..

Monday, February 8, 2010

Dari Mata Yang Kita Lihat & Dari Mulut Yang Kita Dengar

"MUNGKIN APA YANG KITA LIHAT TIDAK SEPERTI YANG KITA LIHAT DAN MUNGKIN APA YANG KITA DENGAR TIDAK SEPERTI YANG KITA DENGAR"

Kehadiran blog ini bukanlah dicipta untuk menjadi propaganda yang mengaburi mata orang 'siapa kononnya aku ini' atau dengan kata lain 'berlagak suci' tapi kehadiran blog ini adalah 'menjadi wakil kepada diriku untuk bersuara bagi membela diriku sendiri yang mana sering disalah-ertikan oleh insan-insan yang jahil kerana baru mendengar deru petir dilangit habis semua air ditempayan dicurahkan. Kita cuci baju kerana mahu baju itu bersih begitu juga dengan diri aku sendiri. Hadir blog ini sebab mau mencuci mulut-mulut kotor diluar sana yang lebih kenal diri aku melebihi tuan punya badan.

Kenapa aku sering menyimpan hadith ? kerana hadith adalah satu hujah yang terang dan nyata untuk menjadi senjata 'penyokong' kepada kata-kataku yang sering dianggap 'kosong', agar para jahiliah ini tahu bahawa hadith adalah 'tungkat' kepada setiap perbuatan yang kita perlakukan dan bukannya aku cuba menunjukkan bahawa kononnya aku ini adalah alim dan tersangat suci. Fikirlah ! bukankah hadith itu turun untuk menjadi panduan atau sekadar perhiasan saja (kalau tidak digunakan) ?

Aku tidak akan seberani sekarang jika tidak kerana 'pembohongan' yang tersangat banyak berlaku ke atas ku untuk menindas dan mendurjanakan diriku. Mungkin insan diluar sana tidak peka dengan apa yang menimpa diriku tapi di suatu masa mereka juga akan mengetahui dengan merasainya kerana ini adalah 'lumrah-karma' dunia. "Kekadang kita berada di bawah dan kekadang kita berada di atas", Ada ketikanya kita menjadi 'kegemaran' ada ketikanya kita menjadi 'kebencian' orang.. Tapi apa yang aku pelajari dari kehidupanku adalah 'bukan tugas kita untuk puaskan hati semua orang' tapi cukup sekadar kita tidak mengacau hidup orang lain supaya sama-sama merasa ketenangan.

Bukan aku cuba menunjukkan bahawa ku ini orang yang 'bijak pandai' atau terlalu 'sempurna' tapi setiap ungkapanku adalah dari apa yang aku pelajari melalui kitaran cerita hidupku sama ada berlaku ke atasku, mahupun orang lain. Allah SWT memberikan kita 'akal' untuk melihat duna dari perspektif kita sendiri.. "MUNGKIN APA YANG KITA LIHAT TIDAK SEPERTI YANG KITA LIHAT DAN MUNGKIN APA YANG KITA DENGAR TIDAK SEPERTI YANG KITA DENGAR". Sesungguhnya Allah swt itu maha, maha dan maha menegtahui dan maha besar. Dia akan membalas setiap perlakuan kita, 'Tunai' di dunia dan menjadi 'hutang' untuk kita menebusnya diakhirat kelak. Fikirlah...

Apa bala yang menimpa ke atas kita adalah dari sisa-sisa perbuatan kita sendiri. Pernahkah kita terfikir 'kenapa setiap "kecacatan" dipertengahan kehidupan kita yang aman itu boleh berlaku kepada kita kalau tidak kerana bersebab ?'. Allah swt tidak akan menguji hamba-Nya di luar kemampuan kita. Hanya orang-orang yang jahil saja berfikir sejengkal untuk mempercayai cerita sejengkal dari fikiran 'seorang katak' yang baru keluar dari tempurungnya, walhal dunia ini luas untuk diterokai sebelum menyokong teori 'katak' tadi.

Betul ! kalau kita sering balas-membalas antara kita maka hidup kita tidak pernah merdeka dari peperangan ataupun mungkin kita mahu menyamatarafkan 'hero' kita dengan bangsa israel yang suka menyerang kaum palestin ? Dimana pula nilai 'islam adalah bersaudara' itu sendiri ? Patutlah Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah kerana diserang musuh yang dianggotai Abu Lahab untuk memusnahkan baginda dan para pengikut-Nya. Maka dengan itu baginda telah membuka lembaran baru kepaa kaum Muhajirin dan Ansar untuk bersatu memerangi musuh melalui 'perjanjian Madinah'. Dikehidupan kita sebagai insan biasa kita patut berhijrah dari pemikiran dan perwatakan kita sendiri agar kita 'merdeka' dari kekotoran batin yang kita miliki. Lihatlah dulu diri kita sebelum kita menggali lubang kehidupan orang lain. Suci sangatkah kita ni ?

Jangan terlalu DEGIL, RIAK dan SOMBONG dengan hati dan kepercayaan sendiri kalau tidak kita yang mahu bantu diri kita siapa lagi ? oh ya, maaf aku terlupa satu perkara yang paling penting dan mungkin pembaca juga terlupa iaitu ALLAH SWT BERSAMA-SAMA ORANG YANG BENAR DAN SABAR !! sebab itulah Rasulullah saw boleh berjaya menegakkan islam. Jadi, jikalau kita berdiri dengan niat yang bersih.. InsyAllah, hidup kita dalam keberkatan Allah swt.

Fikirlah, jangan pula guna hati yang kotor tapi gunalah akal kerana akal itu adalah kudrat yang paling ajaib dari Allah swt...Wallahua'lam...