Monday, May 3, 2010

Selamat Hari Lahir , Vie Zaara 03.05.10


Buat anakku Vie Zaara

"Setiap kata yang diungkap mungkin tidak seindah pengertian yang hendakku layangkan..

kerana kita sedia maklum bahawa impian dan angan-angan itu indah dari dunia yang nyata..

dan betapa hidup ini terlalu banyak persoalan yang tergantung tanpa sebarang jawapan..

Cuma yang pasti kita cuba menghindarkan diri dari sebarang kemusnahan"


Wahai anakku Vie Zaara,

Tatkala menatap wajahmu terasa benar sinar cinta dan sayang ini..

Seperti hadirnya cahaya yang lebih besar nilainya dari sang suria..

Kehadiranmu menjadi suatu cerita yang indah dalam sejarah kehidupanku..

Seakan aku tidak mahu melihat tubuhmu membesar dewasa...

dan takkan mampu melepaskan dikau diruangan kehidupan ini..

takut akan dikau berhadapan dengan derita.. dan jika itu terjadi, ibu merelakan kebahagiaan ibu menjadi pengganti pada tangis sedih kecewamu..


Wahai anakku Vie Zaara,

Jika dikau dapat fahami...

Maka ketahuilah bahawa ibu mengharapkan masa depanmu seperti kerlipan bintang yang menyinari ruangan kelamnya malam, menjadi titik kesayangan pada Penyair malam...

Ketahuilah juga bahawa ibu mengimpikan suaramu seperti laungan azan menyeru kebenaran pada simpang-simpang kepincangan kehidupan..

Selain itu, ketahuilah bahawa ibu mengangankan jasadmu seperti jula-juli yang memberi inspirasi pada ruangan kepercayaan kejayaan seseorang...

dan ketahuilah bahawa ibu meletakkn tempatmu seperti sebentuk permata yang diidamkan disetiap sudut hati insan untuk dimiliki namun nilainya terlalu tinggi dari semua batasan dunia...


Wahai anakku Vie Zaara,

Kerisauanku pada setiap inci tubuhmu, perasaanmu dan tingkah lakumu..

Tidak sesekali ibu merelakan 'calar' pada dirimu wahai sayangku..

Mungkin 'impian' ibu ini terlalu mahal untuk dimiliki diruangan kehidupan biasa...

Namun ibu ingin kau tahu bahawa betapa hebatnya kehadiranmu padaku..

Menjadi persoalan sebelum kehadiranmu, dan pabila dikau wujud di rahimku.. dikau menjadi 'impian dan angan'ku..

Kini, dikau segalanya seperti 'permintaanku' terhadap-Nya...


Wahai anakku Vie Zaara,

Ibu ingin kau tahu bahawa ibu 'terpaksa' berkongsikan dirimu pada dunia..

Kerana dikau bukan milik ibu tetapi milik Nya...

Segala perjalanan langkah kakimu selepas ini adalah segalanya dalam tangan Allah swt..

ibu hanya mampu mendoakan jasad dan kerohanian yang terbaik buat hidupmu..

Ingatlah pesan ibu,

Sebagaimana apa yang ibu ingin dikau fahami dan ketahui tentang impian ibu terhadapmu..

Dan sesungguhnya, dikau adalah seperti nyawaku..

Friday, March 26, 2010

Sekilas Ikan Di Air

"Personaliti kita adalah apa yang kita fikirkan, perlakuan kita adalah imej diri kita ''

Vie terpanggil untuk menulis tentang suatu peristiwa yang agak 'menghairankan' apabila ada individu yang 'syok' sendiri menghentam Vie di facebook mereka sedangkan Vie sendiri tidak tahu hujung pangkal 'drama' mereka. kalau dah 'syok' sendiri tidak apa tapi yang lebih ajaib ada pula KONONNYA Vie yang ambik tau kisah mereka.. Buat apa Vie nak kisah hal dia ? Dia ingat dia siapa ? Dia patut lihat dirinya sebelum dia menyatakan Vie cemburu dengan kehidupan dia.. Excuse me ?

Bukan Vie riak atau sombong tapi kadang-kadang bila kita tidak cakap, orang tidak akan nampak kesilapan mereka dan apa yang Vie ingin utarakan di sini adalah 'kenyataan' dari mata kasar Vie yang PATUT mereka terima (ini semua Anugerah Illahi).

Pertama, Alhamdulillah.. Allah SWT mencipta Vie dengan cukup sempurna dan sering diberi 'kredit' daripada pemerhati diluar sana. Selain tu, Vie bersyukur dijodohkan dengan EY yang sangat baik menjaga dan menerima Vie seadanya sebagai isteri, mempunyai anak yang disayangi ramai, ahli keluarga yang senantiasa menyokong Vie dan kawan-kawan yang ikhlas mendekati Vie. Lalu mengapa pula Vie harus cemburu pada dia sedangkan Vie ada semuanya?

Ke-dua, bukan Vie mahu mengejar glamour tapi rezeki yang berpihak kepada Vie. Perlu diingatkan disini ! Jodoh pertemuan di tangan Allah SWT. Salahkah Vie bernikah dengan EY ? dan inikah cara untuk orang menghukum Vie sekali lagi sehingga meletakkan Vie sebagai individu yang gila glamour ? Atau pun apabila Vie sering keluar di Media Massa (baik majalah mahupun TV), Segala ruang yang ada di media massa itu yang memilih Vie untuk buat pengiklanan dan bukannya Vie 'offer' diri untuk mengiklankan diri sendiri. Kenapa pula Vie mahu mengejar glamour kalau asyik dicemuh masyarakat, cuma Vie MESTI dan HARUS meneruskan hidup.. Kalau Vie asyik mendengar cakap orang.. Vie telah lama mati ! lagi-lagilah wujud insan seperti 'dia' yang tidak pernah puas untuk melihat orang menderita.

Ke-tiga, mungkin dimata segelintir masyarakat melihat sejarah silam Vie sangat kotor (walhal, mereka tidak tahu kejadian yang sebenarnya menimpa Vie dan mungkin itu saja yang dijadikan MODAL untuk mengutuk Vie) tapi MASA INI, sekurang-sekurangnya (Alhamdulillah) Vie berusaha untuk mengubah kehidupan Vie dari hari ke hari dan kita kena ingat bahawa hanya Allah SWT sahaja yang MAHA MENGETAHUI di mana tempat kita disisi-Nya sekarang. Bukan kamu !!

Ke-empat, bila Vie telah CUBA berubah (bertudung) mengapa ada pula insan seperti 'dia' yang sewenang-wenangnya menyatakan bahawa Vie 'berpura-pura' Astagfirulaala'zim !! Dari masa lepas, cukup Vie terima azab daripada segelintir masyarakat yang memandang diri mereka lebih suci dari segala-galanya. Tapi bila kita berubah, segelintir manusia-manusia ini tidak mahu menadah tangan menyambut kita dengan fikiran yang LEBIH positif... Vie bukannya mengharapkan belas ehsan daripada sesiapa tapi sekurang-kurangnya berhentilah 'menghukum' sehingga menimbulkan kekeliruan 'apa yg sebaiknya kita lakukan di dunia ni ?'.. Tapi Vie percaya dan menguatkan lagi semangat Vie bahawa 'Sedangkan Allah SWT yang mencipta hamba-Nya dimuka bumi ini pun sering dipersoal dan dipersalahkan. Inikan pula insan sesama insan yang sering menganggap diri mereka lebih istimewa dari insan lain'


Ke-lima, Vie tidak mahu jadi insan 'Bagaikan berludah mendongak ke langit lalu terkena muka sendiri' kerana kita adalah insan biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan, bila kita mengata orang akan tiba pula masa kita dijadikan bahan bualan masyarakat . Vie berpesan sesama kita, Janganlah jadi insan yang 'akibat nyamuk seekor habis kelambu dibakar'. Mungkin hari ini, kita bermusuh tapi mungkin disuatu hari kita saling memerlukan antara satu dengan yang lain untuk menjayakan dakwah agama kita. Kalau memandang diri tu benar-benar matang, mengapa perlu membuang waktu dengan saling bercakaran? bukankah ada banyak perkara yang boleh dilakukan bagi membina sivik dalam diri kita sendiri ?


Ke-enam, siapa diantara kami yang menjadi 'penyibuk' bila dia menggunakan (mengikuti) 'BLOG' Vie sebagai alasan bahawa Vie ni berlagak 'baik'? menggunakan nama Allah SWT sebagai 'batu loncatan' iaitu menyelitkan ayat-ayat Quran dan Hadith. Mengapa Vie mesti melakukan itu ? Mengapa Vie harus perdagangkan agama dan TUHAN Vie sendiri? kalau apa yang Vie lakukan ini sebagai satu kesilapan, pada siapa yang harus Vie jadikan teladan dan peringatan sedangkan yang meletakkan hukum itu adalah Allah SWT ?


Mari kita fikir sejenak...Orang yang baik tidak akan memikirkan perkara yang buruk pasal orang lain kerana yang 'baik' itu akan lahir dengan fikiran yang positif, manakala orang yang 'jahat' akan sentiasa memikirkan perkara yang buruk kerana sentiasa berfikiran negatif.. Jadi di manakah tempat Vie dan 'dia' sebenarnya?


Hidup ini ibarat lukisan, kita sendiri yang melakar coraknya manakala yang mentafsir itu adalah dari 'mata-mata' yang ada diluar sana. Baik matanya maka baiklah pujinya, rosak mata-nya maka rosaklah 'pandangan'nya.. Semua tertakluk kepada nawaitu hati budi 'mata'nya. Ingat ! Apa yang kita cakap adalah gambaran tentang sikap kita sendiri...


Mungkin dia bertuah sebab bukan semua masyarakat ingin mengetahui perihal hidupnya dan BERBEZA dengan dunia Vie yang mungkin lebih dikenali ramai dan sebab itulah segelintir manusia yang lebih banyak menilai Vie dari AIB yang diperkatakan orang.. Sehingga 'dia' boleh mentafsir darjat Vie terbakar di NERAKA. Mungkin kita lupa bahawa NERAKA DAN SYURGA ADALAH RAHSIA ALLAH SWT..


YA, BAIK ITU DATANG DARI ALLAH SWT DAN YANG BURUK ITU DATANG DARI KEKURANGAN KITA....


WaAllahua'lam..

Monday, February 8, 2010

Dari Mata Yang Kita Lihat & Dari Mulut Yang Kita Dengar

"MUNGKIN APA YANG KITA LIHAT TIDAK SEPERTI YANG KITA LIHAT DAN MUNGKIN APA YANG KITA DENGAR TIDAK SEPERTI YANG KITA DENGAR"

Kehadiran blog ini bukanlah dicipta untuk menjadi propaganda yang mengaburi mata orang 'siapa kononnya aku ini' atau dengan kata lain 'berlagak suci' tapi kehadiran blog ini adalah 'menjadi wakil kepada diriku untuk bersuara bagi membela diriku sendiri yang mana sering disalah-ertikan oleh insan-insan yang jahil kerana baru mendengar deru petir dilangit habis semua air ditempayan dicurahkan. Kita cuci baju kerana mahu baju itu bersih begitu juga dengan diri aku sendiri. Hadir blog ini sebab mau mencuci mulut-mulut kotor diluar sana yang lebih kenal diri aku melebihi tuan punya badan.

Kenapa aku sering menyimpan hadith ? kerana hadith adalah satu hujah yang terang dan nyata untuk menjadi senjata 'penyokong' kepada kata-kataku yang sering dianggap 'kosong', agar para jahiliah ini tahu bahawa hadith adalah 'tungkat' kepada setiap perbuatan yang kita perlakukan dan bukannya aku cuba menunjukkan bahawa kononnya aku ini adalah alim dan tersangat suci. Fikirlah ! bukankah hadith itu turun untuk menjadi panduan atau sekadar perhiasan saja (kalau tidak digunakan) ?

Aku tidak akan seberani sekarang jika tidak kerana 'pembohongan' yang tersangat banyak berlaku ke atas ku untuk menindas dan mendurjanakan diriku. Mungkin insan diluar sana tidak peka dengan apa yang menimpa diriku tapi di suatu masa mereka juga akan mengetahui dengan merasainya kerana ini adalah 'lumrah-karma' dunia. "Kekadang kita berada di bawah dan kekadang kita berada di atas", Ada ketikanya kita menjadi 'kegemaran' ada ketikanya kita menjadi 'kebencian' orang.. Tapi apa yang aku pelajari dari kehidupanku adalah 'bukan tugas kita untuk puaskan hati semua orang' tapi cukup sekadar kita tidak mengacau hidup orang lain supaya sama-sama merasa ketenangan.

Bukan aku cuba menunjukkan bahawa ku ini orang yang 'bijak pandai' atau terlalu 'sempurna' tapi setiap ungkapanku adalah dari apa yang aku pelajari melalui kitaran cerita hidupku sama ada berlaku ke atasku, mahupun orang lain. Allah SWT memberikan kita 'akal' untuk melihat duna dari perspektif kita sendiri.. "MUNGKIN APA YANG KITA LIHAT TIDAK SEPERTI YANG KITA LIHAT DAN MUNGKIN APA YANG KITA DENGAR TIDAK SEPERTI YANG KITA DENGAR". Sesungguhnya Allah swt itu maha, maha dan maha menegtahui dan maha besar. Dia akan membalas setiap perlakuan kita, 'Tunai' di dunia dan menjadi 'hutang' untuk kita menebusnya diakhirat kelak. Fikirlah...

Apa bala yang menimpa ke atas kita adalah dari sisa-sisa perbuatan kita sendiri. Pernahkah kita terfikir 'kenapa setiap "kecacatan" dipertengahan kehidupan kita yang aman itu boleh berlaku kepada kita kalau tidak kerana bersebab ?'. Allah swt tidak akan menguji hamba-Nya di luar kemampuan kita. Hanya orang-orang yang jahil saja berfikir sejengkal untuk mempercayai cerita sejengkal dari fikiran 'seorang katak' yang baru keluar dari tempurungnya, walhal dunia ini luas untuk diterokai sebelum menyokong teori 'katak' tadi.

Betul ! kalau kita sering balas-membalas antara kita maka hidup kita tidak pernah merdeka dari peperangan ataupun mungkin kita mahu menyamatarafkan 'hero' kita dengan bangsa israel yang suka menyerang kaum palestin ? Dimana pula nilai 'islam adalah bersaudara' itu sendiri ? Patutlah Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah kerana diserang musuh yang dianggotai Abu Lahab untuk memusnahkan baginda dan para pengikut-Nya. Maka dengan itu baginda telah membuka lembaran baru kepaa kaum Muhajirin dan Ansar untuk bersatu memerangi musuh melalui 'perjanjian Madinah'. Dikehidupan kita sebagai insan biasa kita patut berhijrah dari pemikiran dan perwatakan kita sendiri agar kita 'merdeka' dari kekotoran batin yang kita miliki. Lihatlah dulu diri kita sebelum kita menggali lubang kehidupan orang lain. Suci sangatkah kita ni ?

Jangan terlalu DEGIL, RIAK dan SOMBONG dengan hati dan kepercayaan sendiri kalau tidak kita yang mahu bantu diri kita siapa lagi ? oh ya, maaf aku terlupa satu perkara yang paling penting dan mungkin pembaca juga terlupa iaitu ALLAH SWT BERSAMA-SAMA ORANG YANG BENAR DAN SABAR !! sebab itulah Rasulullah saw boleh berjaya menegakkan islam. Jadi, jikalau kita berdiri dengan niat yang bersih.. InsyAllah, hidup kita dalam keberkatan Allah swt.

Fikirlah, jangan pula guna hati yang kotor tapi gunalah akal kerana akal itu adalah kudrat yang paling ajaib dari Allah swt...Wallahua'lam...

Friday, December 25, 2009

Usah Melawan Takdir

Daripada al-Hassan bin Ali bin Abi Talib r.a, Nabi SAW bersabda : "Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu. Sesungguhnya kebenaran adalah ketenangan, dan pembohongan adalah keraguan" ( Riwayat al-Tarmizi dan Ahmad).


Adakalanya kita menjadi manusia degil yang cuba menentang 'hipotesis' dunia dan cuba 'menepis' fakta sejarah dari cerita teladan yang pernah terjadi dikalangan manusia. Apa yang cuba kita nyatakan di sini ? Adakah ingin dilihat sebagai 'Hero'? ataupun menjadi salah satu daripada lagenda hitam yang tertulis sebagai 'mangsa keadaan'?


Di suatu ketika malah sehingga hari ini, Vie banyak belajar dari kesilapan dan kedegilan sama ada yang pernah Vie lakukan dulu ataupun mengutip cerita dari teman-teman yang berkongsi keadaan, walhal Allah SWT telah memberikan tanda jelas bahawa 'langkah' yang diambil itu adalah 'salah' mahupun 'silap' Tidak keterlaluan jika Vie turut menyatakan bahawa 'langkah' itu juga akibat daripada sikap terburu-buru untuk berbuat keputusan sedangkan keputusan itu adalah soal maruah, tanggungjawab, dan masa depan. Malah 'langkah' itu juga mempengaruhi corakkan emosi, kepanjangan akal, dan kegagahan fizikal untuk mengharungi onak-duri dari kepergian 'langkah' yang salah.


Pada saat itu berlaku seakan menjadi manusia yang hidup hanya kerana bernyawa tetapi telah lama berhadapan dengan 'arwah' sedangkan ketika itu kita masih boleh menikmati dunia, namun kerana 'langkah' kita sendiri maka kita harus mempertanggungjawabkannya. Dan pada saat itu jugalah kita menjadi insan yang matang lebih dari usia kerana kepahitan dan kesengsaraan yang kita lalui, menjadi makanan minda pada setiap saat dan detik kerana asyik mencari jalan untuk patah kembali dari 'langkah' salah yang kita pilih.


Mungkin kita patut menteladani cerita ibubapa kita itu, Nabi Adam r.a serta Hawa r.a apabila berjaya digoda oleh syaitan untuk memakan buah dari sepohon pokok yang dilarang oleh Allah SWT sehingga mereka telah dikeluarkan dari syurga ke Bumi.


Seperti dalam surah al-A’raf ayat 23 yang berbunyi : "Wahai Tuhan kami ! kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampunkan kami dan berikan kami rahmat, nescaya jadilah kami orang-orang yang rugi".


Mungkin kita harus membuka naluri 'ke-enam' kita untuk melihat tanda-tanda daripada Allah SWT sebelum kita melangkah jauh dari landasan kehidupan kita. Lihatlah pada keluarga, usah terlalu mementingkan soal nafsu sendiri semata-mata sehingga sanggup bertindak diluar batasan tanggungjawab kita. Lihatlah pada kebaikan, usah terlalu memaksa diri mejadi Hero menentang segalanya sedangkan kudrat kita tidak sekuat mana. Lihatlah pada agama, Allah SWT menyukai hambaNya yang sabar.


Daripada Anas bin Malik r.a, Nabi SAW bersabda : "Permudahkanlah, jangan manyusahkan, tenangkanlah dan jangan melakukan sesuatu yang menyebabkan orang menjauhkan diri dari kamu"(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Vie juga amat memahami bahawa kita sama sekali tidak mempunyai kuasa untuk mengetahui apa yang terjadi di masa hadapan, tetapi kita mempunyai daya untuk bertanya kepada Allah SWT tentang apa yang kita lakukan itu benar-benar terbaik ataupun tidak iaitu dengan banyakkan berdoa serta bersembahyang istikharah. Berlapanglah dada kepada Allah SWT, kerana Dia yang menentukan segalanya.


Seperti firman Allah SWT "Jangan takut, jangan berdukacita" (Al-Ankabut 29:33).


Setiap 'langkah' kita itu jadikanlah satu pengajaran yang terbaik kerana 'guru' yang terbaik adalah dari pengalaman kita sendiri. Seperti yang tertulis dalam firman-Nya di atas, 'jangan takut' kerana Dia sentiasa bersama-sama dengan kita dan 'Jangan berdukacita' kerana kedukaan itu boleh menghapuskan dosa serta menyucikan diri dari kesilapan kita yang lepas. Sesungguhnya Allah SWT mempunyai satu rahsia yang kita tidak ketahui namun sentiasalah berfikiran positif dengan hikmah disebalik semua kejadian.


WAllahua'lam bissawab...

Thursday, November 12, 2009

BUDI apa ?

Di suatu perjalanan masa dari parut luka,

Tersingkap kesedaran luka yang berdarah,

Ibarat pasir digenggam dalam lautan,

Ibarat air menyimbah daun keladi,

Tiada manis harus disimpan kerna yang tinggal..

Hanya sepah untuk dibuang..


Bagaimana harus Vie mula dengan coretan ini ? kerna pangkalnya bukan tercipta 1 tapi lebih dari itu Cuma yang Vie pasti penghujungnya adalah satu, iaitu “kosong”. Keadaan ini ibarat seorang insan yang melangkah berpuluh tahun di bumi dengan kaum keluarga dan akhirnya pergi sebagai 1 hamba.


BUDI apa ? tatkala kita menabur benih di atas bumi untuk menyemai rasa riak, sombong dan bongkak dunia kepada apa-apa kebaikan yang kita lakukan sedangkan asalnya kita boleh mendapat ganjaran yang lebih besar daripada sasaran kita sendiri iaitu rezeki, redha dan keberkatan Allah SWT.


BUDI apa ? ketika bersedekah menghulurkan dua tangan yang diiringi dengan niat kanan untuk mengunjuk dan kiri untuk menghebohkannya perbuatan kita, sedangkan lebih baik memberi dengan tangan kanan yang seolah-olah tangan kiri tidak mengetahuinya.


BUDI apa ? ketika kita susah menumpang hidup pada yang mampu, dia menyambut baik kedatangan kita namun mengadu-domba dan berwas-was buruk dibelakang kita sedangkan lebih baik berterus terang daripada menjadi manusia yang munafik... hanya baik di depan mata tetapi betapa kedana dan laknatnya kita dibelakang mereka.


Dari Ummur Ra'ih dari Salman ibnu 'Amir r.a, dari Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya bersedekah kepada orang miskin itu pahalanya satu sedekah dan sedekah kepada sanak keluarga pahalanya dua kali sedekah, pahala sedekah, dan silaturrahim."

(Hadis Sunan An Nasa'iy Jilid 3. Hadis Nombor 2442)


BUDI apa ? berbuat 100 perkara baik lalu meninggalkan 1 kesan kotor yang menjatuhkan maruah, harapan dan kepercayaan sedangkan jika benar berdiri dengan keikhlasan maka tidak sesekali akan mencemarinya."Buat baik berpadah-padah, buat jahat jangan sekali" Jangan menjadi islam yang 1000 tahun menegakkan agama tetapi menjadi hamba yang murtad dipenghujungnya... Nau’dzubillahimin zaliqh...


Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. pernah ditanya orang: "Amal yang bagaimanakah yang paling disukai Allah?" Jawab beliau, "Amal yang dikerjakan secara tetap walaupun sedikit.

(Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0755).


BUDI apa ? Bila kita diberi kelebihan, kekuatan dan kesempatan untuk membantu kepada mereka yang memerlukan dan menjadi bahan 'ungkitan'. Apakah yang kita panggil sebagai 'Budi' sedangkan segalanya tidak lagi bererti dari seribu pahala yang kita cari akhirnya berakhir dengan sebuah dosa ?


Mewartakan kepada kami Muhammad bin Yahya, mewartakan kepada kami Abu Nuaim, mewartakan kepada kami Israil dari Al-Hakam, dari Abu Juhaifah, dia berkata: Rasulullah SAW. bersabda: "Barangsiapa yang bertindak dengan tindakan yang baik, kemudian diamalkan tindakan tersebut setelahnya, maka baginya mendapat pahala serta pahala amal mereka tanpa terkurangi sedikitpun pahala-pahala mereka." Dan barangsiapa yang bertindak dengan tindakan yang buruk, kemudian diamalkan tindakan itu setelahnya, maka baginya memperoleh dosa serta seperti dosa-dosa mereka tanpa terkurangi sedikitpun dosa-dosa mereka sama sekali." Dalam Az-Zawaid: Isnad hadis ini Daif.

(Hadis Sunan Ibnu Majjah Jilid 1. Hadis Nombor 0207)


BUDI apa ? Dihiasai dengan dosa mengungkit, dosa riak, dosa sombong, dosa fitnah, dosa bohong dan akhirnya bergelar manusia munafik ! Hanya melewati hidup yang penuh KESEPIAN dari RIUHAN mulut kita sendiri ?, TANGISAN yang kita cari dari hilai KETAWA kita sendiri ?, dan dari himpunan GUNUNG pahala lalu terhakis menjadi sebuah tanah RATA kosong yang digali untuk KUBUR kita sendiri ?

Mungkin kita lupa, setiap orang yang berbudi berada nun di atas kerana ketika itu roda kehidupannya sedang berada di atas sana dan akan tiba harinya roda itu bakal berpusing meletakkan dia di bawah ? kerana dunia tidak ada janji kekalnya...


”Tuhan mencipta kita dengan dua pasang tangan, satu untuk memberi dan satu lagi untuk menerima”

Bak kata orang tua dahulu kala... ”orang berbudi kita berbahasa”

Thursday, October 15, 2009

Ibu Intanku (Juliah binti Ahmad)

Melangkah sepi di ruang lelah,
Meratapi sunyi tanpa cahaya,
Pada sudut hikmah panahnya doa,
Menunggu makbul kuasanya Allah (SWT).

Mengapaku Pilih tajuk ‘Ibu Intanku’ kerana kisah kali ini ku petik dari kesengsaraan ibu membesarkan kami semasa ketiadaan bapa di sisi. Bagiku, ibu ibarat intan yang dikubur diruang lumpur kehidupan namun intan tetap bersinar dan takkan sekali-kali bertukar RUPA. Intan, bukan setakat cantik, mahal tetapi juga kebal. Walau pecah seribu, serbuknya tetap dijadikan perhiasan.. begitulah ibuku.

Ibu, menjejak perkahwinan pada usia 17 tahun yang ketika itu dunia remajanya menjadi julangan dalam alam persekolahan, ibu menjadi ketua pengawas sekolah, sering mendapat anugerah pelajar terbaik, menjadi kesayangan guru-guru dan menjadi contoh kepada kawan-kawan. Namun ibu gagahi perjuangan untuk menduduki SPM walaupun hanya 3 bulan bergelar pelajar tingkatan 5. Dengan keberkatan dari Ilahi dan kebijaksanaan ibu, ibu telah lulus SPM. Beliau telah bergelar ibu diusia 18 tahun, mengorbankan cita-cita, masa dan impian. Mungkin sdh rezeki ibu, di usia Zia baru 11 bulan, ibu telah mengandungkan Vie. Malangnya, bapa telah meninggalkan ibu pada ketika ini yang terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki. Namun, setelah usiaku 10 bulan dilahirkan.. Bapa datang ke Sabah untuk mengambil kami tingal bersamanya di Kuala Lumpur.

Ibu telah meninggalkan kaum keluarganya di Sabah dan mengikuti suami ke Kuala Lumpur demi melengkapkan hidup anak-anaknya kerana takut tidak berbapa. Harapkan pagar boleh menjaga padi rupanya pagarlah punca kehancuran padi. Ibu perjudi nasib balik ke Sabah bersama Zia, Vie dan Adey yang baru 3 bulan dalam kandungan.

Perjuangan menjadi ibu tunggal berbekal harapan 5 tahun menanti khabar dan kepulangan bapa. Ibu yang nekad membesarkan kami dan telah membawa erti betapa besarnya kasih ibu. Ibu tidak kisah bergelar penjual kuih, sayur dan ikan serta pernah menjadi orang gaji demi mencari rezeki yang halal buat membesarkan kami. Akibat menjadi ibu tunggal, ibu dilontar bermacam-macam kata fitnah dan caci-maki dari saudara serta masyarakat.Kepayahan ibu, tiada siapa yang dengar atau simpati tapi ibu tetap gah berdiri.

"Teriak ibu, tiada siapa yang peduli..
menang lagi suara unggas dan kodok.

Suara ibu, tiada nilai dan hak..
kerana tempatnya bersedia untuk diganti..

Sedih ibu, tiada siapa yang paham...
menjadi lali ditelan masa.

Tangis ibu, tiada siapa yang padam...
didodoi masak oleh kepenatan.

Peperangan antara diri dan takdir,
habis mati segala keistimewaan..

Hanya tinggal tanggungjawab memimpin diri...
kerna..
menjadi keutamaan pada diri mereka !
Ibu, Zia, Vie dan Adey...hanya insan tumpangan...
Bagi mereka, Ibu harus paham, mengerti dan kebal..
Kerana tanggungjawab, nasib dan adat !!!"

Ibu bukannya bodoh, tetapi keadaan tidak mengizinkan.. ibu pernah dipanggil kerja di Penjara sebagai Pegawai tetapi terpaksa di tolak kerana tiada siapa mahu menjaga kami, ibu pernah ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Kent tetapi dia menutup mata menolak tawaran itu kerana ada 3 nyawa yang perlu dibesarkannya. Ibu pernah cuba untuk menitip kami tetapi kami hanya dijadikan mainan, gurauan dan ujian dari hinaan, sumpahan dan deraan masyarakat. Maka dengan itu, harapan ibu hanya pada kami.

"Pada siapa ibuku hendak luahkan ?
Jika telinga saja mendengar...
Mata kononnya dapat menyaksikan..
Sedangkan hati degil tertutup rapat !"

Harapan ibu perlahan-lahan kami kotakan. Suami kami berkat dari zat angan-angan ibu yang meniginkan suami yang soleh memimpinnya, yang telus menerima kami apa adanya, dan yang bertanggungjawab mengasihi kami. Kejayaan Kak Zia adalah berkat yang sentiasa diiringi restu dan doanya dari impian ibu yang pernah terkubur dulu.

"kami akan tetap menanti..
Selagi ada sebuah harapan..
Buta akan dapat melihat...
Pekak akan dapat mendengar...
Cuma... yang selama ini asyik bercakap mungkin akan terkelu bisu
Inilah kebenaran tidak pernah terkubur pada KENYATAAN !"

Thursday, October 8, 2009

ZIA Dan VIE

Kami ibarat,
Sepasang tangan antara kiri dan kanan...
Hubungan yang erat seperti nyawa dan badan..
Hidup pada satu hati dan satu impian..
Kerana kasih kakak dan adik akan kekal sepanjang zaman..
1 tahun 2 bulan beza usia kami..
Namun jalan cerita hidup yang hampir sama..
Kerana kami membesar bersama..
Jika,
Satu tangan jatuh, maka satu tangan akan memimpin..
Satu air mata jatuh, maka satu akan menjadi penawar..
Satu lemah, maka satu akan menjadi kekuatan..
Satu kekurangan, maka satu akan menjadi kelengkapan..
Mutlaknya ! kami tetap bersama..
Kerana duka antara kami adalah duka bersama..
Kerana tawa antara kami adalah tawa bersama..
Vie,
Kini pembawa puteri comel untuk Zia..
Kehadiran Zaara turut melengkapkan hidup Zia sebagai
'Mama Pinjam'..
Zia,
Telah memperlihatkan Vie pada keadaan..
Bagaimana bijak seorang anak membahagi masa.
Bagaimana besar pengorbanan seorang pelajar bergelar isteri..
Bagaimana kuat semangat seorang kakak memberi harapan kepada adik-adiknya..
Dan yang amat membanggakan Vie..
Anak, pelajar, isteri dan kakak itu adalah Zia.. kakak kesayangan Vie..
Terima kasih kepada Kak Zia,
Kerana membuka ruang semangat dan kebanggaan kepada keluarga serta Vie...
TAHNIAH ! diatas anugerah....
IJAZAH SARJANA MUDA PSIKOLOGI DENGAN KEPUJIAN
(PSIKOLOGI KAUNSELING),
Dari UNIVERSITI MALAYSIA SABAH pada Majlis Konvokesyen yang ke – 11..
Selepas 3 tahun berperang dengan buku dan komputer..
Kali ini,
Zia telah melengkapkan..
Impian Ibu dan Ayah..
Serta memberi semangat dan harapan..
Adik-adik untuk berani mengerjar cita-cita..
Kali ini juga,
Telah sekali lagi mencipta sejarah..
Zia telah membawa anugerah terindah kepadaku apabila melihat kejayaannya..
Vie pula melihat anugerah kedua dalam kandunganku..
Terima Kasih Ya Allah (SWT)..
Engkau telah memberi cahaya yang gemilang dalam hidup kami berdua..

Monday, September 14, 2009

Apabila Nafsu Melampaui Kemampuan

"Jika kau merasakan diri kau adalah benar, Mengapa perlu bertanya dari suara insan lain sedangkan kau ada jawapannya"


Situasi di atas mengungkai satu cerita yang agak menarik untuk dibincangkan pada tajuk kali ini iaitu 'bila nafsu tinggi dari kemampuan'. Hal ini melibatkan 3 situasi yang kompleks tetapi pada dasarnya cerita ini hanya satu kes yang biasa. Mungkin inilah yang dikatakan 'hidup ini akan menjadi mudah jika kita menganggap ianya mudah dan hidup ini boleh menjadi rumit jika kita menganggap sedemikian'.


Bagi Vie, hidup ini ringkas dan ringan jika kita tahu bersyukur dari segala apa yang telah diberikan untuk kita. Tidak kah kita terfikir bahawa 'Allah SWT memberikan kita apa yang kita LAYAK dapat'.. Bukankah Dia maha mengetahui kerana Dia yang menjadikan kita ? Jika masih susah untuk kita faham, cuba kita imbas kembali dan nilaikanlah diri kita sendiri dari segala perbuatan yang pernah kita lakukan. Adakah perkataan BERBALOI hanya akan dipakai apabila berhadapan dengan 'hadiah-hadiah' yang istimewa ? Mengapa BERBALOI itu tidak diletakkan pada 'balasan' yang menimpa kita ?.


Tiga
situasi yang dimaksudkan Vie adalah, situasi 1- Sebagai suami isteri yang sering bertelaga untuk menyatakan dan membuktikan siapa diantara mereka yang lebih baik, mulia, dan amanah, Walhal mereka tidak pernah melihat kelemahan diri untuk diperbaiki. Bukankah dengan 'berbincang' dari hati ke hati, rumahtangga dapat dicegah dari perpecah-belahan antara fahaman dan hubungan ?


Situasi ke2
- Apabila sahabat mengharapkan yang terbaik dari sahabatnya sedangkan dia sendiri pun tidak memberikan 'kesan' yang baik sebagaimana yang diharapkan dalam perhubungan. Dia (sahabat) sering meminta 'pandangan' yang kononnya untuk memperbetulkan keadaan bagi membina dan merubah keadaan tetapi malang yang mendukacitakan apabila 'pandangan' yang diharapkan itu sebenarnya adalah suatu ’sokongan’ yang boleh membawa kepada kepincangan. Ingin Vie tegaskan, jika seorang kawan hanya membawa kepada KEMUSNAHAN, itu bukanlah dianggap sebagai kawan tetapi LAWAN. Kerana hadir seoarang kawan adalah untuk menerima kita dalam susah dan senang.


Situasi ke3
, Apabila berhadapan dengan insan yang suka menjaga tepi kain orang tetapi kain sendiri yang terlondeh. Mengapa ingin menjadi insan yang ayik mencari maklumat peribadi orang lain sedangkan hal sendiri belum pernah habis-habis ’kecewa’ ?. Adakah kita ingin dikenali sebagai insan yang 'berwajah cantik tetapi bermulut besar ?' atau 'kononnya berstatus tinggi tetapi berpesonaliti rendah ?'


Jika kita merasakan kita adalah SEMPURNA dalam semua sudut, maknanya kita akan menghampiri satu lembaran kehidupan yang dikenali sebagai KESUNYIAN. Kerana insan-insan yang sempurna tidak mempunyai ’warna’ dalam kehidupan mereka. Bukankah masalah datang sebagai ’Warna’ kehidupan ? Cuba bayangkan hidup kita sebagaimana yang kita impikan, mungkin kita akan mencari erti AIR MATA
dan SENGSARA. Fikirlah! Kita yang memilih jalan hidup kita maka kita WAJIB bertanggungjawab ke atas itu.. Jika kita tidak pernah puas dengan kehidupan kita maka inilah yang dinamakan "nafsu lebih tinggi dari kemampuan" kerana tidak pernah ingin bersyukur dengan pemberian Allah SWT.


Ingatlah ! Esok masih ada.. Sejauh mana pun kita lari tetapi masa tetap mengejar kita dan 'masalah' pasti melanda selagi kita bergelar MANUSIA..

Tuesday, September 1, 2009

Disebalik Kecantikan Mawar Berduri..

“Disebalik Kecantikan Mawar, Terselit Kisah Jahat Yang Durjana, Kekadang Ia Menjadi Penghias Di Sudut Keceriaan Tetapi Kekadang Ia Menjadi Sebuah Racun Yang Mendukakan… Inilah Hakikat, Antara Dunia dan Karma”

Puas hati dan perasaan ini melakarkan kata namun hanya segelintir saja yang bisa mengertikan kerana yang lain mungkin hanya melihat kelemahan dari kekuatan. Mungkin sebab itu Negara Jepun lebih maju dari Negara kita kerana kita sentiasa melihat pada kelemahan dari kekuatan dan tidak sesekali memberi peluang pada kehidupan. Jepun pernah hampir menjajah seluruh Asia pada ketika dulu dan Cuma berniat untuk menyatukan Negara-negara Asia tetapi kecundang kerana kita sedar bahawa setiap kita mempunyai hak masing-masing dan di dunia ini kita tidak boleh memonopoli keadaan. Tapi mereka (Jepun) patut dibanggakan kerana mereka telah menjajah dunia dengan jenama-jenama buatan mereka seperti Toyota, Nissan, Panasonic, Sony, Honda, dan paling kecil pun selipar JIPUN. Tapi kita ? Kereta Kancil pun susah nak jual kat luar Negara tapi kalau jual mulut… Vie rasa kita tempat pertama kot ;-)

Vie melihat suatu keadaan realiti yang berlaku depan mata Vie terhadap nasib seorang kawan yang juga bernasib sama ‘keadaan’ seperti Vie. Biar Vie cerita sikit ya… Vie tidak mahu mengetengahkan nama kawan Vie itu kerana takut dijadikan isu, maklumlah banyak orang yang suka pada kelemahan orang. Kawan Vie merupakan isteri pada artis yang sangat popular pada masa kini, dia memang super-duper hot ! suaminya menjadi pujaan ramai orang tetapi malangnya isteri dia pula menjadi kutukan ramai orang. Keadaan yang mana peminat nak bergambar dengan artis ni sehingga sanggup membelakangi isteri artis tersebut, mereka buat seperti isteri itu langsung tidak wujud atau mungkin menganggap isteri tersebut tidak mempunyai perasaan. Yang paling durjana, ada pula yang sanggup menyumpah hubungan mereka agar bercerai-berai. Kenapa ? Mungkin nak bersaingkan ? kesian mereka. Fikirlah secara logik, suami orang kawin isteri dia sebab dia sayang dan dia merasakan isterinya adalah segala-galanya.

Kenapa kita harus menjadi Mawar yang cantik tetapi berduri ? kenapa kita nak jadi peminat yang ramai tetapi mengundang kepada kemusnahan hubungan rumahtangga orang ? ke mana hilangnya sahsiah diri, nilai, agama, adat dan mungkin juga martabat kita sendiri jika hanya menjadi duri ? Arwah Datuk Vie pernah berpesan, kalau kita mendoakan kebahagiaan orang lain maka Allah SWT akan menutup kesulitan dan membuka jalan rahmat buat kita tetapi jika hanya nak menyumpah orang maka secara tak langsung darjat kita akan sama seperti syaitanlah, bukankah syaitan suka menyesatkan dan merosakkan manusia ?

Vie berkata Ikhlas kerana Allah SWT, jikalau hati kita jujur dan ikhlas untuk membantu insan lain walaupun hanya dengan berdoa maka Allah SWT akan membalas kebaikkan kita itu dengan berlipat ganda lagi, oleh kerana Dia adalah satu-satunya tuhan yang Maha Besar dan Maha Kaya, maka Dia menilai perbuatan hamba-hambanya dengan sebesar Zarah untuk diberikan ganjaran ataupun pembalasan. Jikalau kita memyumpah seseorang, keadaan itu sama seperti kita melantunkan ludah ke langit lalu terkena muka sendiri atau lebih manis lagi, buang ludah jilat balik. Kenapa keadaan boleh jadi macam tu ? jawabnya sebab Allah SWT itu maha Pemberi balasan atas perbuatan bodoh kita sendiri. Masa itulah kita akan rasa ludah basi kita dan masa itu juga kita akan tahu langit ni tinggi ataupun rendah.

Situasi di atas, antara keadaan diperlekehkan, doa dan sumpah pernah berlaku pada diri Vie sendiri sebab tu Vie tulis warkah ‘kosong’ ini. Bagaimana rasanya menjadi ‘orang kayu’ dari segelintir masyarakat sehingga lupa Vie juga ada perasaan seperti mereka, bagaimana rasanya mendoakan kebahagiaan orang sehingga Vie bahagia dengan hidup Vie sekarang dan bagaimana menjadi mangsa sumpah untuk melihat kejatuhan Vie sedangkan hidup mereka sendiri terumbang-ambing sehingga sekarang. Dulu, macam-macam fitnah Vie dapat tetapi Allah SWT melindungi mangsa yang dianiaya ni sehingga hidup yang Vie kecapi sekarang jauh dari jangkaan dan impian Vie sendiri.

Wahai sahabatku, jadilah seperti bunga teratai yang menjadi teman kepada kodok. Walaupun wajah tak seindah mawar tapi jasanya lebih cantik dari jasad bunga tulip. Berilah ruang kepada kodok untuk riang dan bahagia agar suatu hari ia menjadi contoh teladan kepada kita. insyAllah….

Ingat ! Allah SWT itu Maha Mengetahui atas segala niat, tingkah laku dan pemikiran kita….

Monday, August 24, 2009

Bersyukurlah !

"Jika kita naik kereta, bersyukurlah kerana ada insan lain yang naik motor, jika kita naik motor, bersyukurlah kerana ada insan lain yang naik basikal, jika kita naik basikal, bersyukurlah kerana ada insan lain yang berjalan kaki, jika kita jalan kaki, bersyukurlah kerana ada insan lain yang tidak punya kaki"

Mengapa insan sering memikirkan kelebihan orang lain berbanding dengan kelebihan diri sendiri ? Sedangkan 'kelebihan diri sendiri' itulah yang boleh mendidik diri kita untuk menjadi insan yang bersyukur dan meredhai takdir. Mungkin kita lupa tentang kejadian alam yang ‘sementara’ ini sehingga kita lupa tentang erti ‘alam barzakh’, ‘kiamat’, dan ‘akhirat’ yang akan menyimpan jasad kita kekal kelak. Sehingga kita mengejar nikmat dunia berlebih-lebih lalu lupa bahawa nikmat Allah SWT jauh lebih besar dari apa yang kita bayangkan. Rumah ? kereta ? duit ? jenama ? pangkat ? itu semua sementara saja dan mungkin juga itu akan membawa kita kekal ke dalam neraka jika tidak pernah mengucapkan ‘SYUKUR ALHAMDULILLAH’ dengan apa yang telah dikurniakan kepada kita.

Sesekali kita lihat pada diri kita, Pernahkah kita bersyukur dengan apa yang kita ada sedangkan kita boleh lena dengan selesa, makan dan minum tidak pernah putus, pakaian yang lengkap, dan perlindungan yang selamat ? Tidakkah kita merasa bertuah kerana banyak perkara kita telah ‘rasa’ di dunia ini jika hendak dibandingkan dengan orang lain ? Mungkin bagi kita kecil apabila kita ‘diINSAFkan’ dengan nasib malang yang menimpa bumi Palestine, Kosovo, Bosnia, Pakistan, Myanmar, Vietnam, Filipina dan lain-lain apabila disentuh soal penindasan, peperangan, kurang upaya, nasib malang, kelaparan, miskin, teraniaya, penderitaan dan sebagainya. Tidakkah dengan hal begini kita boleh memikirkan bahawa kita bertuah tinggal di Malaysia yang aman damai tanpa sebarang peperangan ? Bukankah mereka juga layak mendapathak’ untuk hidup selesa dan tenang seperti kita ?

Itu menyentuh soal ‘secubit’ nasib malang dari negara lain untuk membandingkan dengan kelebihan yang kita ada. Jika dilihat dari kejadian yang berlaku dalam Negara kita, kita hanya berdepan dengan kejadian-kejadian yang kecil saja iaitu stress seharian dalam persekolahan, pekerjaan ataupun perkahwinan. Ini juga sering dikaitkan dengan ‘tak ada masalah, nak cari masalah’. Hal-hal kecil boleh diselesaikan dengan baik tetapi sering diperbesar-besarkan terutamanya dalam perhubungan. Hal ini berlaku kerana tiada nilai-nilai kesyukuran dalam diri masing-masing yang mana sering mengejar sesuatu yang lebih baik dari apa yang dimiliki. Bila hal ini wujud, tanpa sedar sesuatu perhubungan akan sering berhadapan dengan pergaduhan kerana tidak mempunyai persefahaman antara satu dengan yang lain. Mulalah jadi ‘seperti kucing dengan anjing’, tapi zaman sekarang anjing dan kucing pun dah mula berkawan kan ? manusia sesama manusia pula nak bercakaran.. Heran !

Tidak salah jika kita meningkatkan keselesaan diri Cuma biarlah hal itu dalam redha Allah SWT atau dengan kata lainnya ‘tidak melebihi batasan’ atau ‘memudaratkan’. Boleh juga kaitkan hal ini dengan ‘ukur baju biarlah di badan sendiri’. Individu yang sentiasa tidak bersyukur dengan pemberian Allah SWT sering dikaitkan dengan individu yang sentiasa memenangkan nafsu mereka kerana nafsu dicipta untuk melahirkan kemahuan kita yang tidak pernah puas, manakala akal pula untuk kita memikirkan tentang baik dan buruk sesuatu tindakan yang kita lakukan dan fungsi iman pula bertugas untuk mengawal ‘kemahuan’ kita. Secara ringkas, orang yang tidak pernah bersyukur adalah individu yang ‘kuat nafsu’ (yang sentiasa mencari keseronokkan) manakala bagi individu yang sentiasa bersyukur adalah individu yang beriman.

Ingat ! jika kita boleh membataskan kemahuan kita dan bersyukur dengan apa yang Allah SWT berikan buat kita, maka kita akan mula mengenal dan merasa erti ketenangan dan kebahagiaan. Kalau tak percaya… cubalah ! Vie alaminya sendiri sebab tu Vie kongsi bersama-sama pembaca semua.