Saturday, March 28, 2009

Kasut Tinggi Kristal Ku…

"Dari cerita hati untuk santapan nurani, Semoga menjadi suatu cahaya yang selama ini berlindung di sebalik awan yang tebal”

Ketika kanak-kanak lain sedang lena dalam kehangatan pelukan seorang bapa.. Ketika itu lah aku lena diulit kesejukan malam.. Ketika kanak-kanak lain menangis mengigaukan mainan.. Ketika itulah aku rindukan ibu yang sedang mencari nafkah dari berjualan...Ku lihat kakak dan adik.. mereka hanya sebayaku.. Apa yang mereka mampu lakukan? Di jendela bilik kelihatan halaman rumah yang luas.. Aku ingin berlari dan bermain di sana tapi kami telah dikurung oleh insan yang telah mengambil hak dengan sewenang-wenangnya menghukum lantas menarik kebebasan kami untuk mencipta apa yang diertikan 'zaman kanak-kanak’... Apa salah kami diusia sebegini ( 5, 4 dan 3 tahun)? haruskah kanak-kanak seperti ini dihukum? mungkin pada mereka.. Bukan menjadi milik kami untuk mengukir senyuman di wajah apatah lagi hilai ketawa..

Ketika remaja lain bersuka-ria ke sekolah.. Ketika itulah aku memikul beban keluarga.. Aku telah membuat satu keputusan yang menarik aku jatuh terhempas dan tersungkur.. Lain yang kuharapkan lain pula yang menimpa dan dari 'kejatuhan' itu telah merampas 'zaman remaja' ku..Ketika itulah aku terkenang, saat Cinderella kehilangan 'kasut tinggi kristal’nya, Ibarat diriku yang tidak pernah dihargai namun sering dicerca, dihina dan difitnah demi kepuasan hati mereka.. Diketika inilah 'maruah'ku telah hilang.. Tapi mereka lupa 'mereka merancang dan Allah SWT yang berhak seberhaknya menentukan'...

Berbekalkan harapan itu, aku gagahi hidupku, aku percaya.. Jatuhku ada ruang untuk bangkit lagi.. Kerana 'kesan’ itulah buat aku sedar erti suatu kehidupan... Walau terpaksa bertongkatkan harapan aku kan tetap gigih mencapai impian.. Suka atau tidak 'hidup ini mesti diteruskan’...

Kisahku ibarat 'kasut tinggi kristal’ yang senantiasa jadi dambaan walau dasarnya terlalu sukar untuk diberi perlindungan.. Jika sebelah kiri kasut itu pernah pecah dan terburai, tapi tidak pada sebelah kanan.. Kerana aku belajar dari sebuah ukiran sejarah perit dihamparan mata lepas kehidupan..

Kini.. Setelah selesai dari sebuah perjalanan yang jauh.. Aku kembali pulang tapi bukan dengan cerita dongeng yang didengar dari seberang.. Aku kembali mengangkat darjatku, temui maruahku dan melayakkan diriku.. Siapa sangka, yang dulu pernah mencerca kini memuji sudah.. Yang dulu pernah menghina kini merayu sudah.. Yang dulu pernah memfitnah kini menginspirasi sudah dan yang penting.. Yang dulu pernah 'meludah' kini menjilat semula! Hanya dengan bukti bahawa ‘aku adalah aku’… tidak perlu bercerita ke seluruh dunia dan sesungguhnya hati insan mana pun sukar untuk dipuaskan.. Hanya yang hakiki 'kebenaran pasti keluar dipenghujung jalan’.

Tiada siapa yang tahu bagaimana rasa deritanya berada sebagai ‘Vie Shantie’.. Mereka yang sentiasa menghakimi adalah kerana 'harga’ dan 'status’ kecantikan 'kasut tinggi kristal’ ku.. Tapi pernahkah mereka merasa diri seumpama aku, namun aku bersyukur kerana yang pasti aku telah temui gerbang kebahagiaanku… amin !

Bagi diriku adalah terlalu sukar untuk menjaga pusaka ini.. Aku harus berhati-hati dengan setiap langkah perjalanan kakiku kerana mata-mata yang ada di sekeliling sentiasa mencari silap perjalanan hidupku... kerana kasut tinggi kristalku sentiasa menjadi igauan dan impian orang untuk memilikinya..

Wednesday, March 25, 2009

Minta Maaf..

"Merendah diri tidak merendahkan martabat seseorang tetapi boleh meninggikan, maka hendaklah kamu merendah diri, moga-moga Allah akan meninggikan darjatmu. Memberi kemaafan tidak jatuh hina seseorang bahkan akan perolehi kemuliaan, maka hendaklah kita memberi kemaafan, nanti Allah akan memuliakan mu dan bersedekah tidak mengurangkan harta seseorang tetapi akan bertambah, maka bersedekahlah, nanti Allah akan merahmati mu."

Tidak sesenang mengungkap perkataannya iaitu 'MAAF'. Meminta maaf sememangnya bukan bererti 'kalah' atau 'menang' tetapi mengakui kesilapan dan kelemahan diri untuk mencuba memperbaiki keadaan. Mengakui kesilapan dan seterusnya meminta maaf adalah sikap yang amat terpuji. Memang tidak ramai orang yang sanggup mengakui kesilapan diri, lebih-lebih lagi kepada orang yang di bawah 'kekuasaan' seperti seorang isteri. Tetapi sekiranya seorang suami itu sanggup mengakui kelemahan diri dan kesilapan yang dilakukanya, bererti dia seorang suami yang rasional dalam erti kata lain iaitu 'GENTLEMAN'. Tetapi walaubagaimanapun, seorang suami mesti menjaga kewibawaan dirinya. Janganlah pula terlalu kerap melakukan kesalahan dan asyik meminta maaf kepada isteri. Nanti ini akan merendahkan martabat suami dimata isteri dan jika ianya berlarutan, boleh membawa masalah dalam keluarga. Buat suami dan isteri hendaklah sering bermaaf-maafan bagi mengeratkan lagi hubungan agar ikatan kekeluargaan lebih utuh.

Kepada semua teman-teman dan pembaca setiaku sekalian, janganlah sesekali ada terlintas di fikiran kita untuk cuba menyembunyikan kesalahan yang telah kita lakukan dan menafikanya dengan cara berbohong pula. Sebaliknya berbanggalah kalian jika dapat menewaskan nafsu dan perasaan amarah terhadap sesuatu penganiayaan. Ingin Vie berkongsi satu cerita teladan yang wajar kita berikan perhatian bersama iaitu 'PEMAAF SEORANG SAHABAT'.

"Suatu hari, ketika Qais bin Asim duduk berehat. Masuklah jariahnya (hamba perempuanya) membawa panggang besi berisi daging panggang yang masih panas. Tanpa disengajakan, besi pemanggang itu jatuh terlepas dari tanganya, lalu menimpa anak kecil Qais. Anak itu menjerit kesakitan, lalu meninggal dunia. Qais menghadapi kejadian yang menyayat hati itu dengan tenang. Dia sedar semua itu adalah takdir Allah SWT. Dia memandang kepada jariahnya (hamba perempuannya) yang pucat lesi menggeletar ketakutan itu lalu berkata, 'AKU BUKAN SAJA TIDAK MARAH KEPADAMU, TETAPI MULAI HARI INI AKU MEMERDEKAKAN KAMU'... "

"Dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu, tidakkah kamu suka Allah memberi keampunan kepada kamu? dan Allah maha pengampun lagi maha mengasihani" ( Surah Al-Nur Ayat 22)

Saturday, March 21, 2009

Cinta Orang Ketiga...

Sejenak Vie terfikir tentang hidup ini 'bolehkah aku berkongsi kasih?'. Sesaat jantung ini berdegup kencang memikirkan tentang berkongsi kasih atau berkongsi pasangan hidup kita.. Penerimaan masyarakat tentang hidup bermadu bukanlah satu perkara yang luar biasa kerana ianya sering terjadi kepada pasangan2 yang telah mendirikan rumah tangga dan bagi sesetengah orang, itu adalah takdir yang telah ditentukan di dalam hidup mereka.. Tahukah kamu, kita manusia hanya mampu merancang tapi Allah SWT lah yang akan menentukan segalanya.. Jodoh adalah rahsia Allah SWT tapi kita punya pilihan untuk tentukan jodoh hidup kita, walaupun mungkin amat perit bagi kita kerana terpaksa melalui pelbagai macam dugaan.. Bagi Vie, jika cinta haruslah kita perjuangkan perasaan itu hingga ke akhir hayat hidup kita di dunia ini.. Cinta adalah satu perasaan yang tidak boleh di lihat tapi dapat kita rasa didalam diri dan hati kita..

Mungkin kerana perasaan cinta yang teramat kuat mampu untuk menghanyutkan kita terus kepada perasaan cemburu dan tidak ingin berkongsi apa yang kita rasai dengan orang ketiga.. Vie tidak dapat terima jika kasih sayang yang Vie miliki 100% terpaksa dibahagikan kepada orang ketiga, sekiranya lelaki meletakkan diri mereka seketika ditempat perempuan dan dibahagi cintanya apa yang akan mereka rasa? Perasaan itu adalah perasaan yang tidak mungkin akan dihindari oleh insan yang bergelar manusia tetapi dalam situasi sebegini kita punya pilihan sama ada mahu meneruskan atau mengelakkan diri daripada terjadinya cinta dan bibit-bibit kasih yang bakal mendatang.. Tuhan telah kurniakan hambaNya dengan akal fikiran dan dengan itulah kita boleh membezakan buruk baiknya sesuatu perkara atau situasi yang akan kita hadapi.. Pertahankanlah cinta yang kita ada demi keharmonian istana yang telah atau yang bakal dibina bersama insan yang tersayang kerana sekiranya tidak, rugi rasanya untuk menabur cinta dan akhirnya terkandas di pertengahan jalan umpama "mengharap panas hingga ke petang tetapi rupanya hujan ditengahari".

Ini adalah pendapat Vie sahaja dan mungkin juga Vie silap.. Vie ingin mendapatkan komen dan pendapat yang bernas tentang isu di atas dari teman-teman supaya kita sama-sama dapat untuk berkongsi idea atau pengalaman sambil kita bertukar-tukar pendapat...

Friday, March 13, 2009

Pengalaman Adalah 'GURU' Kehidupan

Pernahkah kita terfikir bahawa 'warna' yang paling indah adalah 'warna' abstrak dari kehidupan kita sendiri?..

Ada satu cerita yang mencuit hati untuk dikongsi bersama kepada semua tetapi sebenarnya cerita ini memberikan suatu perspektif dan persepsi yang sangat luas kepada Vie sehingga membuatkan fikiran Vie 'segar' memikirkan pengalaman hidup Vie yang lepas-lepas... ceritanya seperi ini...

Suatu hari Pablo Picaso ditanya oleh para pelajarnya tentang lukisan abstrak yang telah di buatnya memandangkan beliau merupakan pelukis yang terkemuka ketika itu. Para pelajar mentafsir lukisan-lukisannya dengan perkataan dan persoalan yang cukup tinggi nilai dan ilmu karyanya. Pablo Picaso hanya berdiam dan menunjukkan muka hairan mengapa para pelajar seni itu berkata demikian namun dalam masa yang sama, beliau kagum dengan kesungguhan pelajar-pelajar tersebut mempelajari karya seni. Pablo Picaso berkata 'Sebelum saya memulakan lukisan, idea itu hanya Tuhan dan saya saja yang tahu....' dia berdiam, para pelajar ternanti-nanti apakah yang akan diucapkan beliau selepas itu. 'Apa sambungannya Tuan?' seorang pelajar terus bertanya. Pablo Picaso menjawab "Setelah lukisan itu siap... idea itu hanya Tuhan saja yang tahu"...

Apa yang kamu paham setelah terbaca cerita ini ? kalau bagi Vie, para pelajar menginterpretasikan hasil lukisan Pablo Picaso dengan sesuatu yang sangat tinggi dan berharga tetapi Pablo Picaso sendiri tidak mengetahui apa sebenarnya idea yang cuba dia sampaikan... maknanya, kadang kala masyarakat bijak mentafsir sesuatu tetapi sebenarnya apa yang mereka fikirkan bukanlah seperti yang mereka fikirkan. Dalam erti yang lain, 'kita merancang tetapi Allah SWT yang menentukan dan segala kekurangan datangnya daripada insan itu sendiri, dan sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah SWT'.

Jika seorang insan terluka akibat terkena pisau adakah kita akan merasa kesakitannya walaupun pada dasarnya kita turut bersimpati atau mungkin ada insan yang akan berkata 'padan muka' ? Kita sebenarnya, tidak akan merasa apa yang dihadapi oleh insan lain melainkan kita sendiri berhadapan dengan kesakitan itu. Begitu juga dengan berat beban yang kita pikul takkan dirasa oleh orang lain. Namun, segala kesakitan dan beban itulah sebenarnya yang memberikan kita kekuatan. Keadaan ini sama dengan badan kita, jika kita terbiasa dengan sesuatu keadaan ia akan menjadi imune kepada kita begitu juga dengan kehidupan. Apa pun yang berlaku, kita sepatutnya menerima masalah dengan fikiran dan hati yang terbuka. 'Hidup akan jadi mudah jika kita menganggapnya mudah dan begitu juga sebaliknya'.

Jika hari ini diri dan iman kita lebih kuat, tabah, sabar dan berani menempuh dugaan hidup maka kita patut berterima kasih dengan kehidupan lepas kita. Bukankah kita terbangun dari segala kejatuhan yang pernah kita lalui? bukankah kita pandai berubat dari luka yang pernah tercalar? dan bukankah kita tertawa dari tangisan yang pernah kita rasai?

Kita sepatutnya berbangga (tapi bukan riak) dengan diri sendiri, jika hari ini aku menempuh kemengangan adalah kerana 'hadiah' daripada hidup lepas ku..


"Ya Allah, Engkau yang menjadikan aku dan hanya kepada Engkau aku berserah..." wahai sahabatku... ingatlah 'kelmarin adalah sejarah, masa depan adalah misteri dan hari ini adalah anugerah'.

Wednesday, March 4, 2009

Musuh Dalam Selimut

'Berlindung dari kesejukan malam dengan hadiah selimut yang diberikan teman, rupanya lebih baik merasa sejuknya malam dari diracun putar-belit ceritanya teman'

Fikiran ini tidak habis untuk memikirkan tentang sikap insan-insan yg berada di sekeliling hidup Vie. Entahlah, mungkin selagi hari masih ada, selagi itu persoalan hidup tidak pernah sudah. Mungkin kerana itu fikiran ini terbuka untuk menulis 'musuh dalam selimut' akibat sekian kali menjadi kambing hitam (mangsa keadaan) dalam sesuatu keadaan.

Sesebuah perjalanan ilmu yang dikutip dari pengalaman diri Vie boleh dijadikan sebahagian dari tauladan untuk dikongsi bersama teman-teman, wahai para pembaca setiaku sekalian, berhati-hatilah dengan senyuman manis yang dilemparkan kerana disebalik kemanisan biasanya terdapat kepahitan, berwaspadalah dengan kata-kata pujian yang diajukan kerana disebalik pujian biasanya terdapat penghinaan, berjaga-jagalah dengan kenyataan pembelaan yang diceritakan kerana disebalik 'belaan' itu biasanya terdapat penindasan. Ada kalanya seakan-akan berlagak menjadi penguasa untuk mereka-reka cerita hidup orang sehingga diri orang itu sendiri bertanya 'mereka lebih tahu cerita aku sendiri berbanding diri aku sendiri...hebat!' Padahal cerita-cerita yang mereka sebarkan adalah cerita yang belum pun terjadi dan tidak pernah sama sekali terjadi. Perkara yang paling menyedihkan adalah apabila nama Vie digunakan untuk menentang musuh sesama mereka sendiri sehingga sanggup memfitnah dan sekaligus menimbulkan kontroversi yang tidak boleh dimaafkan. Sedangkan Vie sedar persahabatan ini pun atas dasar kepentingan diri mereka sendiri... kalau tidak, masakan mereka ingin berkawan dengan insan yang dihina mereka sendiri, betul kan ?


Atau mungkin diri Vie memang daif untuk menilai yang mana satu kilauan kaca dan yang mana pula sebenarnya adalah permata kerana dunia sekarang terlalu banyak kilauan kaca yang disangkakan permata. Hati yang ikhlas saja tidak cukup untuk menerima setiap insan yang ingin mewarnai hidup ini apabila sering disalah ertikan. Entahlah, mungkin juga mereka ingin mengambil kesempatan kerana mereka juga mempunyai kepentingan (niat lain) untuk diri mereka sendiri. Jangan ditanya mengapa Vie berkata begini, dari semua sudut kata-kata ini semuanya lahir dari sejarah penindasan mereka yang bergelar 'teman', yang pada mulanya manis tersenyum, indah pujian dan hebat belaan dan akhirnya mereka memusnahkan semua tanggapan dan harapan. Apa yang seorang teman itu mahu pun Vie tidak pasti... Vie tidak kata yang Vie ni baik namun, sebagai manusia biasa jika itulah yang dipanggil 'teman' maka kita akan menerimanya dengan dua cabang yang bertentangan iaitu melihat pada kelebihannya juga pada kekurangannya. Cuma, jika kekurangan itu boleh menggoncang kesabaran sehingga boleh menjatuhkan maruah maka patut bagi Vie untuk berkeputusan menjauhkan diri dari mereka sebelum banyak lagi 'tikaman yang datang dari belakang'.

Tuesday, March 3, 2009

Membunuh 100 Orang?

Wahai sahabat2 ku sekalian tahukah kamu matlamat dan peranan kita sebagai manusia dalam hidup telah dijelaskan oleh Aqidah Islam sejelas-jelasnya bahawa manusia tidak di jadikan sia2 dan tidak di biarkan begitu sahaja. Kita dijadikan untuk tujuan dan hikmah tertentu. kita memikul amanah yang terbesar dalam hidup yang pendek ini iaitu amanah taklif dan tanggungjawab. Manusia ditapis dengan dugaan dan digilap maka dengan itulah kita menjadi matang dan bersedia untuk kehidupan yang lain, iaitu kehidupan yang kekal selamanya tanpa penghujung (Akhirat).

Sebelum kalian, ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang. Kemudian dia bertanya kepada penduduk sekitar tentang seorang yang alim. Maka dia ditunjukkan kepada rahib(pendeta Bani Israil). Dia pun pergi berjumpa pendeta tersebut dan menceritakan yang dia telah membunuh 99 orang, dia bertanya apakah dia boleh bertaubat? Pendeta itu jawab, 'Tidak' maka pendeta itu pun dibunuhnya sehingga genaplah jumlah orang yang dibunuhnya menjadi 100 orang. Kemudian dia terus bertanya di mana dia boleh bertemu seseorang yang paling alim di atas muka bumi ini. Dia pun ditunjukkan pula kepada seorang lelaki alim. Ketika menghadap orang alim itu, dia bercerita bahawa dirinya telah membunuh 100 jiwa. Dia bertanya 'boleh aku bertaubat?' Orang alim itu menjawab 'Ya, siapakah yang akan menghalangi orang bertaubat?'. Pergilah kamu ke kota ini (sambil menunjukkan ciri-ciri kota yang di maksud) kerana di sana terdapat orang yang menyembah Allah Taala. Beribadahlah kamu kepada Allah bersama mereka dan janganlah kembali ke kotamu, kerana kotamu merupakan daerah yang jelek'. Lelaki itupun berangkat menuju ke kota yang dimaksudkan, ketika menempuh separuh perjalanan maut menghampirinya.Kemudian terjadilah perselisihan antara Malaikat Rahmat dengan Malaikat Azab siapakah yang lebih berhak membawa ruhnya? Malaikat Rahmad beralasan bahawa orang ini datang dalam keadaan bertaubat, lagi pula pembunuh ini telah menghadapkan hatinya terhadap Allah Taala. Sedangkan Malaikat Azab (bertugas menyiksa orang berdosa) beralasan bahawa orang ini tidak pernah melakukan amal baik. Kemudian Allah SWT mengutuskan Malaikat yang menyerupai manusia mendatangi keduanya untuk menyelesaikan masalah itu dan berkata, 'ukurlah jarak dari tempat dia meninggal ke kota asalnya dan kota asalnya mana yang lebih dekat maka itulah baginya'. Para Malaikat itupun mengukur lalu mereka mendapati bahawa ketika meninggal si pembunuh itu jaraknya lebih dekat ke kota yang ditujunya. Maka malaikat Rahmatlah yang berhak membawa ruh orang tersebut. (Imam Nawawi Riyadhus Shalihin "Terj" 1992, Pustaka Azzam Jakarta ms 48-49)

Friday, February 27, 2009

Siapa Kita Untuk Menilai Orang Lain

Erm.. kenapa perlu celik akal?. Allah SWT menciptakan manusia dan binatang dengan otak namun, yang membezakan antara manusia dengan binatang adalah akal. Sebab tulah Vie pilih celik akal sebagai 'pencuci mulut' buat santapan minda kita. Bagi Vie, semua manusia itu mempunyai akal namun hanya sebilangan sahaja daripada kita yang benar-benar menggunakannya. Tahukah kamu bahawa otak kita merupakan bahagian tubuh yang sangat penting dan sebagai pusat pengatur dari semua kegiatan manusia. Otak terletak di dalam rongga tengkorak kepala, beratnya lebih kurang 1/50 dari berat badan 'Popper K.R. and J.C. Eccles 1977'. Tapi, bagaimana pula kita hendak mengukur akal? Itulah salah satu kuasa Allah Azza Wajallah Maha Besar.

Sejenak diri ini memikirkan tentang manusia yang bijak menggunakan akal untuk merosakkan hidup orang dengan menabur fitnah, mencaci, menghina, dan sebagainya demi untuk memuaskan nafsu dan kepentingan diri sendiri. Meningkatkan diri sendiri dengan hasil daripada kejatuhan orang lain untuk mendapatkan perhatian masyarakat dan mengecapi kesenangan dengan mengambil kesempatan kotor atas nama penipuan dan penindasan. Menutupi kelemahan dan dosa sendiri sedangkan bersenang-senang bercerita tentang hal orang lain dan menuding satu jari menandakan 'kau yang melakukan segalanya' sedangkan empat jari memantul balik ke arah diri sendiri, bijak kan? Mungkin ini yang mereka belajar di dalam hidup mereka dan mereka membawa bukti bahawa inilah NILAI diri mereka dan keadaan ini juga membuktikan bahawa mereka sebagai Lawyer Buruk... Tahu kenapa? Sebab secara tidak langsung mereka sudah melakukan sikap negatif, yang suka menghukum dan menghakimi orang lain.

Jika kita insan yang waras, kita akan sedar bahawa tugas yang seberhaknya menghukum adalah urusan Allah SWT kerana Dia yang menciptakan kita dan padaNya lah tempat kita kembali kelak. Bukankah Dia yang Maha Mengetahui atas segala perkara? Siapa dan apa hak kita untuk menghakimi kehidupan orang lain? Sesuci manakah diri kita sehingga menghina orang lain dan mulia sangatkah kita apabila bergelar penghina? Jika kita tidak dapat mencerminkan 'siapa' diri kita yang sebenarnya, sekurang-kurangnya renungilah sejarah silam tentang apa yang pernah kita lakukan dulu. Maka dengan itu mereka akan sedar bahawa 'ludah' mereka yang sememangnya berbau yang selama ini hanya asyik 'meludah' ke arah orang lain. Buktinya sudah ada 'apabila sering mengata dan mencari kelemahan orang lain' dan sesekali tanyalah diri kita sendiri, 'baik sangatkah aku nie?' Kesimpulanya disini, marilah kita fikir mengunakan akal kita sebelum hati kita menjadi hitam akibat jauh daripada mendapat hidayah daripada Allah SWT.

'Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu. Sesungguhnya kebenaran adalah ketenangan dan pembohongan adalah keraguan' (Riwayat al-Tirmizi dan Ahmad)...

Monday, February 23, 2009

Pelajaran Menjamin Ke Syurga?

Teori tanpa praktikal atau praktikal tanpa teori. Pertaruhkan pendidikan sebagai satu kebanggaan tapi tidak meletakkan di tempat yang betul. Seperti teori kosong yang disangkal di dalam kajian dan hanya mendapat kerugian. Namun, sesuatu yang berbeza jika praktikal yang diangkat menjadi teori dan menjadi ikutan orang. Seperti pertaruhkan kemahuan sebagai pembuka jalan untuk mencari pengalaman sehingga berada di mercu kejayaan. Adakah taraf pendidikan yang di ukur sebagai kebijaksanaan seseorang, jika sering mereka hanya melihat kepada kelemahan orang lain? Kemana hilangnya taraf pendidikan yang menjadi ukuran jika ianya langsung tidak menunjukkan kematangan seseorang itu yang kononnya berpendidikan tinggi?.

Kekadang bila ianya di renungkan kembali, seolah-olah mereka yang berpendidikan punya kuasa untuk menghina dan merendahkan martabat orang lain. Adakah ini yang mereka belajar di menara gading sehingga tercapainya impian menggengam segulung ijazah?.Sebagai manusia kita masing2 diberikan kelebihan dari pelbagai aspek yang berlainan dan berbeza di antara satu sama lain. Lagipun tidak kita di bezakan di sisiNya, melainkan amalan kita yang akan di hisab kelak. Pelajaran (yang tidak digunakan ke jalan yang benar) juga tidak menjanjikan kita syurga apatah lagi nanti jika kita kembali kepadaNya, hanya kain putih yang akan membaluti tubuh kita kelak. Ijazah, rupa paras, harta, pangkat, kemewahan dunia akan kita tinggalkan buat selama-lamanya kecuali anak yang soleh, amal jariah kita dan ilmu yang memberi manfaat jugalah yang akan berkekalan sehingga ke akhir zaman. Kesimpulannya di sini, janganlah sesekali kita riak dan mendabik dada dengan apa yang telah di anugerahkan oleh Allah SWT pada kita, kerana semua itu hanyalah pinjaman semata-mata. Ikutlah resmi padi, makin berisi makin menunduk menyembah bumi.

Sunday, February 22, 2009

Kealpaan..

"Terdapat insan yang sering menyelam sambil minum air tapi insan itu lupa, akibat terlalu kenyang minum air, badan akan menjadi lemah, penat dan akhirnya mati akibat lemas."

Dimana kita meletakkan diri kita selepas sering kali melihat kekuatan seseorang itu menjadi kelemahan mereka sendiri? Menyempurnakan impian mereka daripada kelemahan orang lain dan mengambil juga kesempatan ke atas kesulitan orang lain? Tahukah kamu, setiap fitnah yang kamu sebarkan pada sekalian manusia akan kamu tanggung di dunia dan akhirat, sehinggalah orang yang kamu fitnah itu memaafkan kamu kelak. Sedangkan pada hakikat yang sebenar, mereka yang akan merana dari perbuatan mereka itu sendiri (walaupun jasad dipenuhi dengan kemewahan duniawi) dan 'mangsa' mereka yang akan merasai nikmat hidup dengan penuh kebahagiaan (kerana mendapat keredhaan daripada Illahi). Tepuk dada jangan tanya selera, tapi tanyalah minda dan sesungguhnya ikut hati mati, ikut rasa binasa..


Islam memandang tabiat manusia dari perspektif yang cenderung mengambil berat aspek-aspek realistik dan manusiawi. Islam mengingatkan manusia terhadap titik-titik kelemahannya, meskipun dia memiliki pelbagai kemampuan, kepandaian dan pancaindera yang telah dianugerahkan Allah SWT ke atas dirinya. Oleh itu, pemikiran Islam meletakkan manusia pada kedudukan yang realistik. Semoga Allah SWT akan memberi petunjukNya kepada setiap umat di dalam menunaikan amanah yang telah diberikanNya dengan sempurna dan menjadikan kita semua sebagai umat yang selamat di dunia dan akhirat... Amin


"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?" (Surah Fushshilat: Ayat 35)

Sekadar Renungan

Hadith qudsi yang diriwayatkan dari Abu Dzar Radhiyallahu'anhu dari Nabi Shallallahu'alaihi wasallam, sebagaimana yang diriwayatkan dari Allah Subahanahu wa Ta'ala, bahawa
Dia berfirman:


"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diriKu dan menjadikannya haram di antara kamu. Maka janganlah kamu saling berbuat kezaliman. Wahai hamba-hambaKu, kamu semua sesat, kecuali orang-orang yang Aku beri petunjuk. Maka mintalah petunjuk kepadaKu, nescaya Aku akan memberi petunjuk kepadamu. Wahai hamba-hambaKu, kamu semua dalam keadaan telanjang, kecuali orang yang Aku beri pakaian. Maka mintalah pakaian kepadaKu, nescaya Aku akan memberi pakaian kepadamu. Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu berbuat dosa pada malam dan siang hari, tetapi Aku bersedia mengampuni semua dosa-dosamu. Maka pohonlah keampunankepadaKu, nescaya Aku akan mengampunimu. Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnnya kamu tidak akan dapat memudharatkan Ku sehingga kamu dapat memberikan mudharat kepadaKu, dan kamu tidak akan dapat memanfaatkanKu sehingga kamu dapat memberi manfaat kepadaKu. Wahai hamba-hambaKu, seandainya orang yang pertama dan orang yang terakhir di antara kamu, manusia dan jin di antara kamu, semuanya memiliki hati sebagaimana yang dimiliki oleh orang yang paling bertaqwa di antara kamu, maka itu tidak akan menambah sesuatu pun dalam kerajaanKu. Wahai hamba-hambaKu, seandainya orang yang pertamadan orang yang terakhir di antara kamu, manusia dan jin di antara kamu, semuanya memiliki hati yang sebagaimana yang dimiliki oleh orang yang paling derhaka di antara kamu, maka itu tidak akan mengurangi sesuatu pun dalam kerajaanKu. Wahai hamba-hambaKu, seandainya orang yang pertama dan orang yang terakhir diantara kamu, manusia atau jin di antara kamu, semuanya berdiri di satu hamparan, lalu mereka memohon kepadaKu dan Aku memberikan kepada setiap orang apa yang dipohonnya, maka itu tidak akan mengurangi apa yang ada di sisiKu kecuali seperti berkurangnya jarum jika dimasukkan ke dalam lautan. Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya ini adalah amal-amal kamu. Aku telah mencatatnya untuk kamu dan memberi balasan kepadamu mengikut amalan-amalan itu. Barangsiapa memperolehi sesuatu yang baik, maka hendaklah dia memuji Allah. Dan barangsiapa memperolehi selain itu, maka janganlah dia mencela selain dirinya sendiri
."


Masya'Allah, terpegun aku seketika setelah membaca ayat ini. Terdetik di dalam hati ku berkata "Ingin aku berkongsi kepada semua pembaca yang beragama Islam". Semoga dengan demikian, matlamat utama kita mentaati Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah untuk melaksanakan perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Disamping manfaatnya kembali kepada diri muslim itu sendiri, samada kepada kesihatan jasad, kesucian jiwa mahupun keredhaan di bawah naungan ibadah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.